Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Jun 21, 2012

Merangsang anak supaya minat belajar



Manusia sebenarnya suka belajar, suka mengambil tahu perkara yang baru tapi disebabkan sedari kecil kita tidak diberikan stimulasi yang betul, maka kita menganggap bahawa belajar itu tidak menyeronokkan.


Mari kita tengok insiden-insiden yang membantutkan minat anak kita untuk belajar bermula dari mereka kecil. Ada tahap umur di mana anak kita akan memasukkan semua barang yang dipegang ke dalam mulut. Apa reaksi kita ketika itu? Cepat-cepat kita tarik barang tersebut mungkin atas alasan keselamatan dan kesihatan. Seharusnya kita menyediakan barang-barang yang selamat dan bersih untuk dirasai oleh anak-anak ketika itu kerana mereka sedang belajar sesuatu melalui perlakuan tersebut. Kehadiran kita di sisi mereka ketika itu adalah untuk memantau dan memberi dorongan bukan untuk menghalang. 


Ketika anak kita mula boleh berjalan, keinginan mereka untuk meneroka dan mengetahui tentang persekitaran adalah lebih tinggi. Hampir semua penjuru rumah diterokai. Apa reaksi kita ketika itu?


"Jangan!" begitulah agaknya reaksi kita apabila melihat anak bertatih menghampiri tangga.


Alasan kita, anak belum mahir memanjat tangga jadi kita bimbang dia akan jatuh. Bukanlah maksud saya supaya membiarkan anak berhadapan dengan bahaya jatuh tangga tapi reaksi pertama kita yang menghalang perlakuannya boleh membantut keiginan mereka. Sesekali kita boleh biarkan mereka memanjat tangga sambil kita mengawasi untuk mengelakkan mereka dari terjatuh. Mungkin kita terlalu sibuk atau letih untuk memantau dan mengawasi sehingga menyebabkan banyak larangan dan pantang larang dibuat. Itu tak boleh buat, ini tak boleh buat sehingga anak-anak kita tak boleh buat apa-apa pun. Ini tidak bagus di saat otak mereka sedang berkembang dengan pesatnya.


Kemudian, ketika anak kita sudah boleh bercakap, perasaan ingin tahu semakin tinggi.


"Ibu, ini apa?"

"Ayah, kenapa bola bulat?"


Banyak benar soalan bertanya itu dan ini sehingga kadang-kadang kita penat untuk melayan. Kadang-kadang soalan yang ditanya, kita sendiri tidak tahu jawapannya atau pun susah untuk kita memberi jawapan bagi memahamkan mereka. Kadang-kadang soalan mereka berulang-ulang kerana mereka tidak puas hati dengan jawapan kita dan akhirnya begini respon kita…


"Boleh tak Shafiq jangan banyak bertanya… ibu penat nak menjawab..ibu tengah memasak ni"

"Eh, tadikan Shafiq dah tanya soalan ni.. Ayah dah bagitau jawapannya, kenapa tanya lagi?"


Proses pembelajaran anak-anak kecil berlaku melalui pengalaman. Mereka mengalami sesuatu dan mereka belajar dari situ. Mereka ingin memegang cawan untuk minum sendiri sedangkan kita menghalang mungkin kerana cawan kaca kita mahal harganya atau mungkin kerana kita bimbang air atau susu akan tumpah dan mengotorkan lantai. Kita ajar mereka cara memegang cawan yang betul dan sentiasa berada di sisi mereka untuk membantu. Accident can happen to anyone. Kita yang dewasa ni pun boleh pecahkan atau tumpahkan air jadi tidak mustahil itu juga akan berlaku pada anak-anak kecil kita yang masih belum berpengalaman. Bila kita asyik marah atau menghalang mereka melakukan sesuatu, itu akan melumpuhkan daya pembelajaran mereka. Nah, siapa sebenarnya yang membuatkan anak jadi malas belajar? Kemudian kita mengeluh…


"Anak aku tak minat belajar…anak aku malas belajar.."


Amir, berusia lapan tahun, darjah dua. Ibu bapanya mengeluh bahawa anak mereka tidak suka belajar. Pencapai Amir di sekolah tidak memberangsangkan. Dalam peperiksaan asyik mendapat nombor tercorot. Kerjanya asyik bermain…bermain bolasepak. Oleh kerana ibu bapa melarang Amir untuk bermain di luar rumah atas alasan keselamatan (banyak sangat kejadian kidnap budak sekarang ni), Amir bermain bola sepak di dalam rumah. Sudah beberapa biji pasu bunga plastik ibunya pecah. Ternyata sungguh Amir suka bola sepak. Dia mengenali hampir semua pemain bolasepak kebangsaan, siapa penjaga gol, siapa penyerang dan siapa yang berada di barisan pertahanan. Kalau ada perlawanan bolasepak yang ditayangkan di TV, dia akan menonton sehingga selesai. Bapa borek, anak rintik.. Ayah Amir juga peminat bolasepak. Minat itu dikongsi oleh dua beranak tersebut tapi bila memerhatikan yang Amir terlalu taksub dengan bolasepak sehingga kurang tumpuan untuk belajar, ibu dan bapanya mula risau dan mengeluh.


Anak yang boleh menghafal semua nama pemain bolasepak kebangsaan adalah anak yang bijak, otaknya cerdik cuma otak itu tidak berfungsi bila belajar pelajaran di sekolah. Hardwarenya tidak ada masalah cuma yang bermasalah ialah software anak tersebut. Lantas apa yang perlu dibuat untuk memperbaiki software Amir supaya dia mudah dan minat belajar pelajaran di sekolah? Ya, yang perlu diperbaiki ialah ibu dan bapanya kerana mereka yang akan membantu Amir untuk mengatasi masalah malas dan kurang minat untuk belajar.


Mungkin tips di bawah boleh membantu ibu bapa Amir dan kita untuk menanamkan sikap suka belajar pada anak-anak.


1.Ketika anak pulang dari sekolah, ibu dan bapa hendaklah rajin bertanya.."Sayang belajar apa hari ini? Ada tak perkara yang menyeronokkan berlaku di sekolah?" Secara automatik, otak anak akan mencari dan cuba mengingati perkara-perkara yang menyeronokkan sepanjang dia berada di sekolah. Ini secara tidak langsung akan memberitahu anak bahawa sekolah ialah tempat yang menyeronokkan. Ini juga akan memasukkan elemen positif ke dalam otak anak - belajar itu adalah sesuatu yang menyenangkan.


2. Lakukan hypnosis. Ini selalu disarankan oleh Datuk Dr Fadilah Kamsah. Ketika anak sedang tidur, bercakap perlahan-lahan kepada anak untuk menghantar gelombang. Mungkin kita boleh katakan… "belajar di sekolah seronok…. sama seperti bermain, belajar juga sangat menyenangkan…membaca, mengira, menulis tentu menjadi mudah jika kamu minat belajar…"


3. Pujian harus selalu diberikan. Ini bukan bermaksud pujian mengampu dan tidak ikhlas. Kita harus mencari sesuatu yang baik yang dilakukan oleh anak dan memberi pujian yang ikhlas. Misalnya jika anak dapat menyelesaikan satu soalan matematik, berilah pujian dengan ikhlas sebaliknya jangan marah-marah atau memperkecilkan kebolehannya jika anak tidak dapat menjawab soalan yang nampak mudah bagi kita. Bantu dia menyelesaikan soalan tersebut dengan baik dan lembut. Mintalah bantuan guru di sekolah dan keluarga lain untuk meningkatkan keyakinan dan harga diri anak kita. Memberi pujian yang ikhlas dan memberi semangat jauh lebih penting dari mengajar teknik-teknik membaca dan mengira cepat.


4. Jelaskan kepada anak tentang manfaat dan kebaikan dari apa-apa yang dipelajarinya di sekolah sesuai dengan minat anak tersebut. Mungkin kita boleh katakan begini untuk anak yang masih kecil… "Kalau Amir pandai Bahasa Inggeris, nanti kalau Amir dapat bertemu dengan pemain-pemain bola sepak dari luar negeri, Amir boleh bercakap dengan mereka. Tentu seronok dapat berbual dengan pemain-pemain bola sepak yang hebat. Untuk pandai Bahasa Inggeris, Amir kena rajin dan minat belajar bahasa tersebut"


5. Anak yang masih kecil, suka dibacakan buku-buku cerita. Walaupun anak tersebut sudah boleh membaca sendiri, tetapi ada masanya dia suka jika ibu bapa membacakan buku cerita untuknya justeru ibu bapa jangan memberi apa-apa alasan. Sesekali bacakan buku cerita untuk mereka. Letak anak di pangkuan kita dan baca buku cerita dengan intonasi dan gaya. Secara tidak langsung kita menghantar mesej kepada otak mereka bahawa membaca buku adalah perkara yang sangat menyeronokkan.


6. Ibu bapa dan anak boleh bermain 'secret note' or 'secret letter'. Katakan kepada anak…"Sayang, di bawah bantal kamu, ibu telah meletakkan sepucuk surat. Isinya menjadi rahsia kita berdua. Nanti sebelum kamu tidur, kamu boleh membuka surat rahsia itu dan membacanya." Dalam surat rahsia itu kita boleh menulis kata-kata perangsang atau cerita motivasi. Juga kita boleh meluahkan perasaan kita melalui surat itu mengenai kegiatan yang baik yang dilakukan oleh anak samada di sekolah atau di rumah. Tell him/her how proud you are..


Itu di antara tips yang boleh kita cuba dan amalkan. Selebihnya kita berdo'a agar Allah menjadikan anak kita seorang yang suka dan minat untuk belajar. 



Share:

0 comments:

Post a Comment

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Join 139 Other Subscribers

Recent Posts

Popular Posts

Parenting Books

 photo belajarsantai150.jpg photo bijakberfikir150.jpg photo anaknakal150.jpg photo carabijak150.jpg

Blogviews


Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com