Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Jan 14, 2015

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 4


Kanak-kanak bermain kerana ia menyeronokkan. Bermain adalah penting untuk pembelajaran dan perkembangan mereka. Ia membantu kanak-kanak:
  • membangunkan pengetahuan, pengalaman, rasa ingin tahu dan keyakinan
  • belajar dengan mencuba sesuatu, membandingkan keputusan, bertanya soalan dan memenuhi cabaran
  • membangunkan kemahiran bahasa, berfikir, merancang, mengurus dan membuat keputusan.

Apabila ibu bapa dan penjaga bercakap dan berinteraksi dengan kanak-kanak ketika bermain, ia membantu kanak-kanak membangunkan keupayaan untuk berfikir dan meluahkan perasaan. Kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki perlu diberi peluang yang sama untuk bermain dan berinteraksi dengan semua ahli keluarga, termasuk adik beradik, datuk dan nenek, serta dalam aktiviti di luar rumah. Bermain dan interaksi dengan ibu dan bapa membantu mengukuhkan ikatan antara anak dan kedua-dua ibu bapanya.

ibu bapa dan penjaga boleh membantu kanak-kanak belajar dengan memberikan mereka tugas-tugas yang mudah dengan arahan yang jelas, menyediakan objek untuk bermain dan mencadangkan aktiviti baru. Ibu bapa dan penjaga tidak harus menguasai permainan/aktiviti tersebut sebaliknya membiarkan anak bermain untuk membolehkan mereka berfikir. Kehadiran ibu bapa di dalam aktiviti tersebut hanya sebagai pemberi rangsangan, pendapat dan cadangan. Segala keputusan yang perlu dibuat dalam aktiviti tersebut harus dibuat oleh anak.

Kanak-kanak memerlukan pelbagai bahan mainan mudah yang sesuai untuk peringkat usia dan tahap kemampuan mereka untuk belajar. Bahan-bahan yang sedia ada di sekeliling kita seperti air, pasir, periuk/tudung periuk, sudu, kotak kadbod, blok kayu, bekas-bekas plastik adalah bahan-bahan yang mudah didapati dan sebaik alat-alat mainan yang dibeli daripada kedai. Justeru, tidak ada alasan bahawa kanak-kanak tidak boleh bermain (belajar) tanpa alat-alat mainan yang canggih yang tidak mampu kita beli.

Ibu bapa dan penjaga perlu bersabar apabila anak berkeras mahu mencuba untuk melakukan sesuatu tanpa bantuan. Biarkan mereka mencuba kerana dari situ mereka akan belajar membuat sesuatu sehingga mereka berjaya tanpa cepat berputus asa. Tugas kita adalah memastikan mereka selamat dan tidak merbahayakan diri mereka. Perjuangan untuk melakukan sesuatu yang baru dan sukar adalah satu langkah positif dalam perkembangan kanak-kanak.

Kanak-kanak akan cepat berkembang dengan kebolehan baru. Ibu bapa harus prihatin dengan perubahan ini serta mengikuti langkah perkembangan tersebut. Tindak balas dan galakan daripada ibu bapa akan membantu kanak-kanak membangunkan/berkembang dengan lebih cepat.

Sebagai kanak-kanak yang semakin membesar, mereka memerlukan peluang untuk belajar dan bergaul dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengan usia mereka. Aktiviti pembelajaran secara berkumpulan, yang dikendalikan oleh seorang penjaga atau guru terlatih di rumah atau di tadika, adalah penting dalam membantu kanak-kanak bersedia untuk sekolah.



Share:

Jan 10, 2015

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 3


Sentuhan, pendengaran, bau, penglihatan dan rasa adalah alat yang digunakan oleh bayi dan kanak-kanak untuk meneroka dan memahami diri dan dunia di sekeliling mereka.

Kasih sayang, perhatian dan rangsangan

Minda kanak-kanak berkembang dengan pesat:
  • apabila mereka disentuh dan dipeluk serta dilayan berbual oleh ibu bapa  
  • apabila mereka melihat wajah-wajah dan mendengar suara-suara yang biasa  
  • apabila mereka mengendalikan objek yang berbeza.

Kanak-kanak belajar dengan cepat: 
  • apabila mereka berasa disayangi dan selamat
  • apabila mereka bermain dan berinteraksi dengan ahli keluarga dan orang lain yang rapat dengan mereka. 

Lebih kerap ibu bapa bermain, bercakap dan bertindak balas kepada kanak-kanak itu, lebih cepat mereka belajar.

Ibu bapa perlu bercakap, membaca dan menyanyi kepada bayi dan kanak-kanak secara konsisten. Walaupun mereka belum lagi dapat memahami perkataan, 'perbualan' awal ini adalah untuk membangunkan kemahiran sosial dan bahasa serta keupayaan pembelajaran. Ibu bapa boleh membantu kanak-kanak belajar dan berkembang dengan memberikan mereka sesuatu yang baru, menarik dan selamat untuk mereka lihat, dengar, bau, sentuh, rasa dan bermain dengannya.

Kanak-kanak yang merasa selamat dan disayangi biasanya menunjukkan prestasi yang lebih baik di sekolah, lebih yakin kepada diri sendiri, mempunyai harga diri (self esteem) yang tinggi dan mampu bertahan menghadapi cabaran.

Permakanan yang baik

Penyusuan ibu sepenuhnya hendaklah diberi kepada bayi dalam tempoh enam bulan pertama. Pada usia 6 bulan, makanan yang sesuai, selamat dan berkhasiat boleh diperkenalkan kepada bayi manakala penyusuan ibu boleh diteruskan selama dua tahun supaya kanak-kanak itu mendapat manfaat permakanan yang seimbang dan kesihatan yang baik. Waktu penyusuan dan makan  sebenarnya membuka dan memberi peluang kepada bayi dan kanak-kanak untuk menerima kasih sayang dan membentuk hubungan yang erat dengan ibu dan bapa.

Pemakanan yang baik adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Diet seorang wanita yang mengandung dan kanak-kanak harus dipelbagai dan dipastikan ianya berkhasiat. Ia sepatutnya mengandungi nutrien penting seperti protein dan lemak adalah penting untuk membantu fizikal kanak-kanak berkembang dan mempunyai tenaga, vitamin A untuk membantu melindungi kanak-kanak daripada penyakit dan membantu mereka hidup sihat, iodin untuk memastikan pembangunan otak yang sihat, dan zat besi untuk melindungi mental kanak-kanak dan kebolehan fizikal.

Sementara ibu mempunyai peranan utama untuk menyusukan anak, bapa boleh memberi sokongan dengan memastikan ibu mendapat makanan yang berkhasiat, membantu menjaga anak dan membuat kerja-kerja rumah, memberi sokongan emosi bukan sahaja kepada ibu malah kepada ahli-ahli keluarga yang lain.

Penjagaan kesihatan yang sempurna

Kakitangan kesihatan perlu memaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai:
  • imunisasi yang perlu diberikan kepada anak secara berjadual.
  • bagaimana untuk mengelakkan anemia dan penyakit kepada kanak-kanak yang berusia lebih daripada 6 bulan.
  • mengapa rawatan cacing adalah penting
  • bagaimana untuk memastikan bahawa kanak-kanak itu mendapat nutrien yang mencukupi seperti zat besi dan vitamin A, untuk pembangunan mental dan fizikal yang sihat.

Kanak-kanak yang mengalami anemia, kekurangan nutrisi atau sering sakit lebih mudah menjadi takut dan kecewa berbanding kanak-kanak yang sihat. Mereka juga akan menjadi kurang berminat untuk bermain, meneroka dan berinteraksi dengan orang lain. Kanak-kanak ini memerlukan perhatian dan penjagaan khas untuk memastikan mereka makan makanan yang berkhasiat, bermain dan berinteraksi dengan orang lain untuk menjadi sihat.

Bayi yang telah menamatkan imunisasi mereka pada masa yang ditetapkan serta mendapat nutrisi yang lengkap, rawatan kesihatan dan kasih sayang mempunyai peluang yang baik untuk terus hidup dan berkembang dengan sihat. Mereka dapat memberi tumpuan kepada meneroka, belajar dan membangunkan kognitif, bahasa, sosial, emosi dan kemahiran motor.

Perlindungan dan penjagaan daripada ibu bapa yang responsif dan prihatin

Bayi dan kanak-kanak kecil tidak boleh ditinggalkan sendirian untuk jangka masa yang lama. Ini melambatkan pembangunan fizikal dan mental mereka. Ia juga meletakkan mereka pada risiko kemalangan.

Kanak-kanak perempuan memerlukan jumlah nutrisi, perhatian, kasih sayang dan penjagaan yang sama sebagaimana yang diperlukan oleh kanak-kanak lelaki. Semua bayi dan kanak-kanak tidak kira lelaki atau perempuan perlu digalakkan dan dipuji apabila mereka belajar untuk melakukan sesuatu yang baru seperti menyebut perkataan yang baru, memakai pakaian sendiri dan sebagainya.





Share:

Dec 24, 2014

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 2




Otak seorang kanak-kanak berkembang dengan pesat dalam tempoh lima tahun pertama kehidupan, terutama tiga tahun pertama. Ia adalah masa untuk kognitif, bahasa, sosial, emosi dan motor berkembang dengan pesat. Sebagai contoh, kanak-kanak belajar banyak perkataan bermula pada usia kira-kira 15-18 bulan dan akan berterusan sehingga pra sekolah.

Otak kanak-kanak tumbuh apabila mereka melihat, merasa, menghidu, menyentuh dan mendengar. Setiap kali kanak-kanak menggunakan salah satu deria, sambungan di antara saraf akan terbentuk di dalam otak mereka . Pengalaman baru yang berlaku berulang kali akan membantu membuat sambungan baru, yang membentuk cara kanak-kanak itu berfikir, merasa, bertindak dan belajar.

Hubungan rapat di antara kanak-kanak dan ibu bapa atau penjaga adalah cara yang terbaik untuk menyuburkan otak kanak-kanak yang semakin membesar. Apabila ibu bapa atau penjaga bermain, menyanyi, bercakap, membaca atau bercerita kepada kanak-kanak itu dengan penuh kasih dan sayang serta memastikan mereka mendapat permakanan yang seimbang dan berkhasiat, otak kanak-kanak akan berkembang dengan pesat dan sihat. Kesihatan fizikal yang baik, berinteraksi secara efektif dengan ibu bapa atau penjaga serta hidup dalam persekitaran yang selamat dan bersih boleh membuat perubahan yang besar dalam pertumbuhan, perkembangan kanak-kanak dan potensi masa depan mereka.

Bayi memerlukan penjagaan yang sempurna dan kasih sayang pada tahun-tahun awal kehidupan mereka. Mengusap, memeluk dan bercakap dengan kanak-kanak akan merangsang pertumbuhan otak dan menggalakkan perkembangan emosi. Berada berhampiran dengan ibu akan membuatkan bayi rasa selamat. Sebenarnya bayi menyusu untuk kedua-dua pemakanan dan keselesaan emosi.

Bagi bayi yang masih kecil, menangis ialah satu cara berkomunikasi. Tindak balas kepada tangisan itu dengan belaian dan bualan mesra akan membantu mewujudkan rasa percaya dan selamat.
Ini adalah ikatan atau hubungan awal dengan ibu, bapa atau penjaga yang dapat membantu kanak-kanak membangunkan pelbagai kebolehan yang bakal digunakan untuk membina kehidupan seterusnya. Ini termasuk keupayaan untuk:
  • belajar
  • menjadi yakin kepada diri sendiri dan mempunyai harga diri yang tinggi
  • mempunyai kemahiran sosial yang positif
  • mempunyai hubungan yang berjaya apabila dewasa
  • membangunkan rasa empati.


Emosi kanak-kanak turut berkembang seiring dengan perkembangan otak mereka. Kanak-kanak mudah menjadi kecewa jika mereka tidak dapat berbuat sesuatu atau tidak mampu memiliki sesuatu yang mereka mahukan. Mereka sering takut kepada orang yang tidak dikenali, situasi baru atau suasana yang gelap. Kanak-kanak yang sering ditertawakan, dihukum atau diabaikan berkemungkinan akan membesar menjadi seorang yang pemalu, tidak berkeyakinan dan tidak dapat meluahkan emosi secara sihat. Jika ibu bapa atau penjaga bersabar dan bersimpati ketika kanak-kanak meluahkan emosi samada dengan cara positif atau negatif, kanak-kanak itu lebih cenderung untuk membesar dengan ceria, selamat dan seimbang.

Kanak-kanak lelaki dan perempuan mempunyai keperluan fizikal, mental, emosi dan sosial yang sama. Kedua-duanya mempunyai kapasiti yang sama untuk pembelajaran. Kedua-duanya mempunyai keperluan yang sama dari segi kasih sayang, perhatian dan penerimaan dalam keluarga.

Kanak-kanak juga boleh mengalami tekanan yang berlebihan jika mereka secara fizikal atau emosi dihukum dengan kekerasan, terdedah kepada keganasan, diabaikan dan didera, atau hidup dalam keluarga yang mempunyai masalah mental dan sosial, seperti kemurungan atau penyalah gunaan bahan seperti dadah serta ketagihan seperti judi dan alkohol. Tekanan yang berlebihan ini akan mengganggu pembangunan otak dan seterusnya boleh membawa kepada kelewatan pembangunan kognitif, sosial dan emosi serta menimbulkan masalah tingkah laku pada zaman kanak-kanak dan remaja.

Kanak-kanak yang dari segi fizikal atau mental dihukum dengan kekerasan dan kekasaran adalah lebih cenderung untuk menjadi ganas dan suka memberontak. ibu bapa atau penjaga wajar menggunakan cara yang lebih positif dan berkesan untuk menangani tingkah laku kanak-kanak seperti:
  • menyediakan kanak-kanak dengan penjelasan yang jelas mengenai apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan
  • bertindak balas secara konsisten kepada kelakuan tertentu
  • memuji tingkah laku yang baik.


Kedua-dua ibu bapa, dan juga ahli keluarga yang lain, perlu terlibat dalam menyayangi dan memupuk pertumbuhan, pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak tidak kira samada kanak-kanak itu lelaki atau perempuan. Kasih sayang, penghargaan dan peluang yang diberi harus sama rata kepada kedua-dua jantina tanpa ada sikap pilih kasih.

Ibu-ibu secara amnya mengambil peranan utama menangani keperluan anak-anak mereka. Mereka menjaga, memberi makan, bermain, mengajar, mendidik dan menyayangi anak-anak. Peranan seorang bapa juga sama pentingnya dengan ibu dalam menyediakan segala keperluan, mendidik, menjaga anak-anak dan melindungi hak-hak mereka. Seorang bapa perlu membuat anak-anak perempuan dan anak-anak lelaki merasakan mereka adalah sama penting. Sama seperti ibu, bapa boleh membantu memenuhi keperluan anak dalam hal cinta, kasih sayang, penerimaan, galakan dan rangsangan. Bersama-sama, ibu dan bapa boleh memastikan bahawa anak-anak mereka menerima pendidikan yang berkualiti dan pemakanan yang baik dan penjagaan kesihatan yang sempurna.



Share:

Dec 18, 2014

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 1


Pembangunan kanak-kanak merujuk kepada perubahan-perubahan yang berlaku semasa kanak-kanak membesar dan berkembang. Perubahan-perubahan tersebut termasuklah yang berkaitan dengan fizikal, mental, spiritual, emosi dan sosial. 




Lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak menjadi asas penting. Ia adalah asas yang membentuk masa depan mereka. Kajian terbaru mengesahkan bahawa lima tahun pertama adalah penting untuk perkembangan otak kanak-kanak itu, dan tiga tahun pertama adalah waktu yang paling kritikal dalam membentuk  otak mereka. Pengalaman awal menyediakan asas untuk pembangunan organisasi otak yang akan berfungsi pada sepanjang hidup. Pengalaman awal ini mempunyai kesan langsung kepada bagaimana kanak-kanak mengembangkan kemahiran pembelajaran mereka serta kebolehan mereka bersosial dan mengendalikan emosi.


Kanak-kanak belajar dengan lebih cepat pada tahun-tahun awal kehidupan mereka berbanding dengan masa-masa lain. Mereka memerlukan kasih sayang dan asuhan untuk membangunkan rasa kepercayaan dan keselamatan yang akan bertukar menjadi keyakinan diri apabila mereka membesar. Bayi dan kanak-kanak membesar, berkembang dan belajar dengan cepat apabila mereka menerima kasih sayang, perhatian, dorongan dan rangsangan mental, serta makanan yang berkhasiat dan penjagaan kesihatan yang baik.


Memahami peringkat perkembangan kanak-kanak adalah penting. Dengan memahaminya, ibu bapa tahu bagaimana untuk memberi rangsangan, sokongan dan dorongan yang terbaik bagi memaksimakan potensi anak-anak. Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat  penjagaan kesihatan, pemakanan yang baik, pendidikan dan perlindungan daripada bahaya, penderaan dan diskriminasi. Kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran di mana mereka boleh mencapai potensi maksima dalam kehidupan mereka.


Justeru, menjadi kewajipan ibu bapa, penjaga, masyarakat dan kerajaan untuk memastikan bahawa hak-hak ini dihormati, dilindungi dan dipenuhi.







Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com