Keluarga Bahagia, Negara Makmur
Showing posts with label Perkembangan Anak. Show all posts
Showing posts with label Perkembangan Anak. Show all posts

Jun 4, 2015

Perkembangan Kanak-kanak: Bayi pada 6 minggu pertama


Bayi yang baru lahir mengalami dunia yang sangat berbeza daripada dunia sebelumnya iaitu ketika ia berada di dalam perut ibu. Bayi yang baru lahir bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa untuk keperluan asasnya. Alhamdulillah, bayi yang baru lahir, Allah kurniakan   kebolehan untuk berkomunikasi  atau memberitahu keperluan mereka kepada ibu bapa. Dalam enam minggu pertama, ibu bapa dan bayi akan belajar banyak perkata tentang satu sama lain. Komunikasi yang berlaku di antara ibu bapa dan bayi membantu untuk mewujudkan satu ikatan, yang akan menjadi asas kepada hubungan ibu bapa dan anak dan akan menjadi asas juga bagi anak untuk membina hubungan dengan orang lain. Berilah tumpuan kepada bayi dan penuhilah segala keperluannya dengan seberapa segera kerana ia akan mengujudkan asas kepercayaan kepada diri sendiri dan kelak kepada orang lain juga.


Apa yang bayi boleh lihat:
Penglihatan bayi pada tahap ini belum berkembang sepenuhnya. Sewaktu dilahirkan, bayi hanya boleh melihat objek yang berada kira-kira 8-12 inci, seperti wajah ibu bapa (apabila apabila berada dalam pangkuan). Mereka akan seronok melihat warna-warna terang atau gambar hitam dan putih yang besar dan mainan. yang berwarna terang.


Apa yang bayi boleh dengar:
Bayi berkemampuan untuk mendengar bunyi sejak mereka berada  di dalam kandungan ibu. Sebab itulah, ibu bapa digalakkan bercakap-cakap dengan bayi yang di dalam kandungan. Bayi akan mengenali suara ibunya apabila dia dilahirkan! Kita akan dapat melihat expresi muka dan pergerakan badan mereka (seperti terkejut ketika sesuatu jatuh ke lantai) apabila terdapat bunyi yang kuat.


Apa yang bayi dapat merasakan:
Sentuhan ibu bapa adalah sangat penting untuk bayi! Bayi suka apabila diurut dengan lembut. Dengan memegang dan mengusap bayi, kita menyampaikan mesej kepadanya bahawa dia berada dalam keadaan selamat dan disayangi. Ada yang mengatakan bahawa bayi akan menjadi “TERLALU MANJA” jika dia diangkat setiap kali menangis. Sebenarnya pada usia ini, bayi belum pandai atau belum tahu untuk memanipulasikan ibu bapa. Tangisan adalah cara mereka berkomunikasi untuk menyatakan keperluan mereka yang wajar dipenuhi oleh ibu bapa atau orang dewasa yang berada di sekeliling mereka.


Bagaimana bayi makan:
Pada usia ini, perut bayi hanya boleh menerima susu samada susu ibu (yang terbaik) atau susu formula yang khas untuk bayi. Berapa banyak dan berapa kerap bayi menyusu adalah berubah-rubah. Ibu wajar memberi susu kepada bayi mengikut keperluannya bukan mengikut jadual yang tetap.


Bagaimana untuk menjaga mulut bayi:
Gusi bayi dan lidah bayi perlu dibersihkan dengan berus gigi bayi atau tuala kecil basah / kain kasa selepas penyusuan dan sebelum tidur.


Bagaimana bayi bergerak (pemkembangan motor kasar):
Bayi akan perlahan-lahan mendapatkan kawalan ke atas otot mereka. Dalam enam minggu pertama, bayi memerlukan sokongan penuh untuk kepalanya. Berhati-hati untuk tidak membiarkan kepala bayi bergoyang-goyang dan elakkan daripada menggoncangnya dengan kuat kerana ini mungkin akan memberi kesan buruk kepada otak. Mungkin sekali sekala, tiarapkan bayi di atas perutnya supaya mereka boleh belajar untuk mengangkat kepala tetapi jangan terlalu lama.


Bagaimana bayi berkomunikasi (perkembangan bahasa dan pertuturan):
Tangisan adalah cara bayi berkomunikasi dan memberitahu kita akan keperluan mereka. Bayi menangis untuk memberitahu kita apabila mereka lapar, letih, panas, sejuk, bosan, sakit, atau tidak selesa. Ibu bapa yang pertama kali menimang cahaya mata pada mulanya mungkin sukar untuk membezakan tangisan bayi berdasarkan keperluannya tetapi lama kelamaan mereka mampu berbuat demikian. Banyakkan bercakap-cakap dengan bayi dan kita boleh melihat bagaimana mereka membalas percakapan kita dengan mengeluarkan bunyi (berdekut). Bayi pada 6 minggu pertama mampu membuat hubungan mata dengan ibu bapa. Bayi perlu rehat. Elakkan daripada terlebih memberi rangsangan. Tanda-tanda bayi letih adalah apabila mereka menangis serta menarik pandangan daripada kita.


Bermain bersama bayi dengan penuh kasih sayang:
Dalam beberapa minggu pertama kehidupan, bayi akan banyak tidur. Ini adalah masa yang baik untuk ibu yang baru bersalin merehatkan diri atau tidur. Apabila bayi sedar dan terjaga, ia adalah masa untuk berinteraksi dengannya! Bercakap-cakap dan menyanyi kepada bayi adalah perkara terbaik yang ibu bapa boleh lakukan untuk menggalakkan perkembangan bahasa. Jangan bimbang sekiranya kita banyak memegang dan menggendong bayi kerana itu akan mengajar bayi untuk mempercayai kita sebagai ibu bapa. Lebih cepat kita respon dan bertidak balas kepada tangisan bayi, itu lebih baik kerana bayi perlu merasakan bahawa mereka selamat.

Share:

Apr 11, 2015

Kisah Choco Chip Spotties




Anak-anak saya dan choco chip spotties memang tidak boleh dipisahkan. Pertama kali saya perkenalkan cookies ini kepada mereka, mereka telah jatuh cinta. Dalam sekelip mata saja, hanya tinggal balang kosong di depan mata. Mereka merayu supaya saya buat lagi cookies itu untuk mereka. Saya kenakan syarat. Siapa yang ingin makan choco chip, kena tolong ibu masak. Sesuatu yang mereka suka, tentu mereka rajin untuk membantu.


Proses membuat choco chip pun bermula. Tugas dibahagikan kepada empat. Ada yang tolong baca resepi, ada yang tolong kumpulkan bahan-bahan dan kelengkapan, ada yang tolong mengadun dan ada yang tolong makan (yang tolong makan, tentulah si kecik tu). Tugas saya ialah menjadi supervisor. Anak-anak saya terdiri dari tiga orang lelaki dan seorang perempuan. Empat beradik menggembeling tenaga untuk membakar choco chip, cookies kegemaran mereka. Dan akhirnya mereka berjaya. Terbayang rasa kepuasan di wajah mereka, makan cookies hasil tangan mereka sendiri.


Bagi ibu-ibu yang selalu di dapur, proses membakar choco chip, satu proses yang biasa tapi bagi anak-anak, ia merupakan satu pengalaman baru yang tentunya membuatkan mereka teruja dan seronok. Sebenarnya banyak yang mereka pelajari dari proses membakar cookies ini. Dan tugas kita sebagai supervisor, menerangkan tentang proses tersebut.


Melalui proses ini, mereka dapat mengenali bahan-bahan memasak seperti tepung, mentega, gula dan sebagainya (menambah perbendaharaan kata). Apabila mereka menyukat dan menimbang bahan-bahan, mereka belajar tentang konsep matematik. Apabila mereka mengadun bahan-bahan, mereka belajar tentang konsep sains dan tindak balas bahan. Semua ini untuk menjana mental mereka. Apa yang diperlukan ialah supervisor yang mulut becok dalam memberi penerangan. Kita boleh memberitahu mereka fungsi baking powder, esen vanilla, kenapa mentega dan gula diputar dahulu dan sebagainya.


Mari kita tengok dari segi emosi pula, Mereka bekerja secara sukarela. Sesuatu yang dibuat secara sukarela, tentu akan mendatangkan keseronokan dan kegembiraan. Satu perkembangan yang positif untuk emosi.


Dari segi fizikal, mereka menggunakan "fine motor skill". Biasa kita tengok, anak-anak yang tidak dilatih memegang sudu dari kecil, jarinya agak kekok dan keras bila diminta memegang sudu. Proses mengadun cookies dapat melatih dan melembutkan jari jemari mereka.


Dari segi pembentukan sikap pula, melalui proses membuat cookies sikap bekerjasama, bertanggungjawab dan berkeyakinan kepada diri sendiri dapat dibentuk. Mereka bekerjasama, bekerja sebagai satu pasukan untuk menyiapkan tugas. Agihan kerja menjadikan mereka bertanggungjawab kerana jika mereka tidak menyiapkan kerja yang diberi, tentu cookies tidak menjadi. Keyakinan kepada diri sendiri tentu akan meningkat bila diberi kepercayaan oleh supervisor untuk menjalankan kerja. Sikap-sikap ini amatlah penting bila mereka dewasa kelak dan sikap-sikap inilah yang perlu kita bentuk ketika mereka masih kecil.


Dari segi spiritual pula, supervisor perlu menanamkan rasa bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan rezeki buat mereka. Banyak yang boleh diajarkan ketika ini seperti membaca "bismillah" sebelum memulakan kerja, alhamdulillah bila tengok hasil menjadi dan sebagainya.


Proses membuat choco chip, satu proses yang mudah tapi banyak yang dipelajari oleh anak-anak kita. Apa yang penting sekarang ialah kita sebagai supervisor. Layak atau tidak kita menjadi supervisor first class? Sebenarnya bukan soal layak atau tidak tapi mesti melayakkan diri kerana di hadapan kita ada anak-anak yang diamanahkan oleh Allah untuk kita didik dengan baik. Di antara kelayakan kita yang diperlukan ialah ILMU (ilmu khas iaitu ilmu parenting dan ilmu am yang meluas merangkumi semua bidang, bidang matematik, bidang sains, bahasa, agama, saikologi dan sebagainya), SIKAP YANG POSITIF, KREATIVITI, dan SKIL KOMUNIKASI. 


Ini cerita pengalaman saya beberapa tahun yang lepas.. Sengaja saya kongsikan untuk memberi sedikit idea kepada ibubapa. Proses pembelajaran bagi anak-anak kita bukan berlaku ketika mereka mengadap buku dan duduk di depan meja semata, sebaliknya situasi-situasi harian yang berlaku dalam lingkungan keluarga dan rumahtangga dapat memberi impak yang tidak kurang hebatnya dalam kehidupan mereka.




Share:

Feb 8, 2015

Tips untuk Membangun Tabiat Membaca di Rumah




Adakah anda tahu bahawa anda boleh melakukan perkara-perkara yang mudah di rumah untuk membantu anak-anak tidak kira usia, membangunkan tabiat membaca? Pendedahan kepada tabiat yang baik ini akan membantu kanak-kanak menjadi pembaca tegar dan seterusnya menjadi pelajar yang lebih berpengetahuan. Langkah pertama dalam membangunkan tabiat membaca dan anak-anak yang cintakan ilmu pengetahuan bermula di dalam rumah dan di kalangan keluarga sendiri. Berikut adalah beberapa cadangan mudah yang boleh kita gunakan untuk membantu anak-anak membangunkan kemahiran membaca:

  • Pastikan anak-anak memerhati kita membaca secara tetap. Apa yang kita baca tidak penting - apabila melihat kita  membaca resipi, majalah, surat khabar, buku, dan bahan bacaan yang lain, ia akan mengukuhkan kepentingan membaca.

  • Untuk merangsang minat membaca, simpan bahan-bahan bacaan di seluruh rumah, di meja makan, di dalam bilik air, di dapur, di bilik tidur dan sebagainya. Ini akan meningkatkan  dan memudahkan anak-anak mendapatkan buku-buku dan bahan bercetak. Bantu mereka untuk memahami bahawa membaca tidak hanya berlaku di sekolah - ia boleh berlaku di mana-mana sahaja. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang membaca di luar sekolah adalah pelajar yang lebih berpengetahuan dan berjaya.

  • Jika kita tidak begitu lancar membaca, bercakaplah dengan anak-anak mengenai gambar-gambar yang ada di dalam buku, majalah dan surat khabar. Ia adalah penting untuk anak-anak melihat usaha yang kita lakukan untuk memperolehi kebolehan membaca. Di samping itu, minta  mereka membaca dengan kuat atau menceritakan semula  tentang apa yang mereka telah baca dengan menggunakan perkataan dan ayat mereka sendiri.

  • Bawa anak-anak ke perpustakaan awam selalu. Gunakan segala kemudahan yang ditawarkan di perpustakaan tersebut. Kita boleh mendapatkan kad perpustakaan untuk meminjam buku, CD, dan DVD secara percuma! Pastikan anak-anak kita juga ada kad perpustakaan mereka sendiri bagi membolehkan mereka meminjam buku kegemaran mereka.

  • Galakkan anak-anak membaca dalam bahasa ibunda. Membangunkan kemahiran membaca dalam bahasa ibunda tidak akan menghalang keupayaan anak-anak untuk membaca dalam Bahasa Inggeris - ia akan membantu!

  • Jangan biarkan anak-anak menonton televisyen sehingga mereka telah melakukan pembacaan harian mereka.

  • Apabila anak-anak kita telah boleh membaca dengan baik, berbuallah dengan mereka tentang apa yang telah mereka baca. Apabila anak-anak selesai membaca suatu cerita, bincangkan idea-idea utama, perkataan-perkataan baru dan konsep penggunaannya, serta seksyen atau watak yang menjadi kegemaran mereka. Ini akan membantu untuk mengukuhkan tahap kefahaman mereka.

Dengan mengambil langkah-langkah ini di rumah, kita bukan sahaja akan menggalakkan anak-anak untuk membaca  bahkan kita juga akan membantu mereka berjaya di dalam dan di luar kelas!


Share:

Jan 14, 2015

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 4


Kanak-kanak bermain kerana ia menyeronokkan. Bermain adalah penting untuk pembelajaran dan perkembangan mereka. Ia membantu kanak-kanak:
  • membangunkan pengetahuan, pengalaman, rasa ingin tahu dan keyakinan
  • belajar dengan mencuba sesuatu, membandingkan keputusan, bertanya soalan dan memenuhi cabaran
  • membangunkan kemahiran bahasa, berfikir, merancang, mengurus dan membuat keputusan.

Apabila ibu bapa dan penjaga bercakap dan berinteraksi dengan kanak-kanak ketika bermain, ia membantu kanak-kanak membangunkan keupayaan untuk berfikir dan meluahkan perasaan. Kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki perlu diberi peluang yang sama untuk bermain dan berinteraksi dengan semua ahli keluarga, termasuk adik beradik, datuk dan nenek, serta dalam aktiviti di luar rumah. Bermain dan interaksi dengan ibu dan bapa membantu mengukuhkan ikatan antara anak dan kedua-dua ibu bapanya.

ibu bapa dan penjaga boleh membantu kanak-kanak belajar dengan memberikan mereka tugas-tugas yang mudah dengan arahan yang jelas, menyediakan objek untuk bermain dan mencadangkan aktiviti baru. Ibu bapa dan penjaga tidak harus menguasai permainan/aktiviti tersebut sebaliknya membiarkan anak bermain untuk membolehkan mereka berfikir. Kehadiran ibu bapa di dalam aktiviti tersebut hanya sebagai pemberi rangsangan, pendapat dan cadangan. Segala keputusan yang perlu dibuat dalam aktiviti tersebut harus dibuat oleh anak.

Kanak-kanak memerlukan pelbagai bahan mainan mudah yang sesuai untuk peringkat usia dan tahap kemampuan mereka untuk belajar. Bahan-bahan yang sedia ada di sekeliling kita seperti air, pasir, periuk/tudung periuk, sudu, kotak kadbod, blok kayu, bekas-bekas plastik adalah bahan-bahan yang mudah didapati dan sebaik alat-alat mainan yang dibeli daripada kedai. Justeru, tidak ada alasan bahawa kanak-kanak tidak boleh bermain (belajar) tanpa alat-alat mainan yang canggih yang tidak mampu kita beli.

Ibu bapa dan penjaga perlu bersabar apabila anak berkeras mahu mencuba untuk melakukan sesuatu tanpa bantuan. Biarkan mereka mencuba kerana dari situ mereka akan belajar membuat sesuatu sehingga mereka berjaya tanpa cepat berputus asa. Tugas kita adalah memastikan mereka selamat dan tidak merbahayakan diri mereka. Perjuangan untuk melakukan sesuatu yang baru dan sukar adalah satu langkah positif dalam perkembangan kanak-kanak.

Kanak-kanak akan cepat berkembang dengan kebolehan baru. Ibu bapa harus prihatin dengan perubahan ini serta mengikuti langkah perkembangan tersebut. Tindak balas dan galakan daripada ibu bapa akan membantu kanak-kanak membangunkan/berkembang dengan lebih cepat.

Sebagai kanak-kanak yang semakin membesar, mereka memerlukan peluang untuk belajar dan bergaul dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengan usia mereka. Aktiviti pembelajaran secara berkumpulan, yang dikendalikan oleh seorang penjaga atau guru terlatih di rumah atau di tadika, adalah penting dalam membantu kanak-kanak bersedia untuk sekolah.



Share:

Jan 10, 2015

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 3


Sentuhan, pendengaran, bau, penglihatan dan rasa adalah alat yang digunakan oleh bayi dan kanak-kanak untuk meneroka dan memahami diri dan dunia di sekeliling mereka.

Kasih sayang, perhatian dan rangsangan

Minda kanak-kanak berkembang dengan pesat:
  • apabila mereka disentuh dan dipeluk serta dilayan berbual oleh ibu bapa  
  • apabila mereka melihat wajah-wajah dan mendengar suara-suara yang biasa  
  • apabila mereka mengendalikan objek yang berbeza.

Kanak-kanak belajar dengan cepat: 
  • apabila mereka berasa disayangi dan selamat
  • apabila mereka bermain dan berinteraksi dengan ahli keluarga dan orang lain yang rapat dengan mereka. 

Lebih kerap ibu bapa bermain, bercakap dan bertindak balas kepada kanak-kanak itu, lebih cepat mereka belajar.

Ibu bapa perlu bercakap, membaca dan menyanyi kepada bayi dan kanak-kanak secara konsisten. Walaupun mereka belum lagi dapat memahami perkataan, 'perbualan' awal ini adalah untuk membangunkan kemahiran sosial dan bahasa serta keupayaan pembelajaran. Ibu bapa boleh membantu kanak-kanak belajar dan berkembang dengan memberikan mereka sesuatu yang baru, menarik dan selamat untuk mereka lihat, dengar, bau, sentuh, rasa dan bermain dengannya.

Kanak-kanak yang merasa selamat dan disayangi biasanya menunjukkan prestasi yang lebih baik di sekolah, lebih yakin kepada diri sendiri, mempunyai harga diri (self esteem) yang tinggi dan mampu bertahan menghadapi cabaran.

Permakanan yang baik

Penyusuan ibu sepenuhnya hendaklah diberi kepada bayi dalam tempoh enam bulan pertama. Pada usia 6 bulan, makanan yang sesuai, selamat dan berkhasiat boleh diperkenalkan kepada bayi manakala penyusuan ibu boleh diteruskan selama dua tahun supaya kanak-kanak itu mendapat manfaat permakanan yang seimbang dan kesihatan yang baik. Waktu penyusuan dan makan  sebenarnya membuka dan memberi peluang kepada bayi dan kanak-kanak untuk menerima kasih sayang dan membentuk hubungan yang erat dengan ibu dan bapa.

Pemakanan yang baik adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Diet seorang wanita yang mengandung dan kanak-kanak harus dipelbagai dan dipastikan ianya berkhasiat. Ia sepatutnya mengandungi nutrien penting seperti protein dan lemak adalah penting untuk membantu fizikal kanak-kanak berkembang dan mempunyai tenaga, vitamin A untuk membantu melindungi kanak-kanak daripada penyakit dan membantu mereka hidup sihat, iodin untuk memastikan pembangunan otak yang sihat, dan zat besi untuk melindungi mental kanak-kanak dan kebolehan fizikal.

Sementara ibu mempunyai peranan utama untuk menyusukan anak, bapa boleh memberi sokongan dengan memastikan ibu mendapat makanan yang berkhasiat, membantu menjaga anak dan membuat kerja-kerja rumah, memberi sokongan emosi bukan sahaja kepada ibu malah kepada ahli-ahli keluarga yang lain.

Penjagaan kesihatan yang sempurna

Kakitangan kesihatan perlu memaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai:
  • imunisasi yang perlu diberikan kepada anak secara berjadual.
  • bagaimana untuk mengelakkan anemia dan penyakit kepada kanak-kanak yang berusia lebih daripada 6 bulan.
  • mengapa rawatan cacing adalah penting
  • bagaimana untuk memastikan bahawa kanak-kanak itu mendapat nutrien yang mencukupi seperti zat besi dan vitamin A, untuk pembangunan mental dan fizikal yang sihat.

Kanak-kanak yang mengalami anemia, kekurangan nutrisi atau sering sakit lebih mudah menjadi takut dan kecewa berbanding kanak-kanak yang sihat. Mereka juga akan menjadi kurang berminat untuk bermain, meneroka dan berinteraksi dengan orang lain. Kanak-kanak ini memerlukan perhatian dan penjagaan khas untuk memastikan mereka makan makanan yang berkhasiat, bermain dan berinteraksi dengan orang lain untuk menjadi sihat.

Bayi yang telah menamatkan imunisasi mereka pada masa yang ditetapkan serta mendapat nutrisi yang lengkap, rawatan kesihatan dan kasih sayang mempunyai peluang yang baik untuk terus hidup dan berkembang dengan sihat. Mereka dapat memberi tumpuan kepada meneroka, belajar dan membangunkan kognitif, bahasa, sosial, emosi dan kemahiran motor.

Perlindungan dan penjagaan daripada ibu bapa yang responsif dan prihatin

Bayi dan kanak-kanak kecil tidak boleh ditinggalkan sendirian untuk jangka masa yang lama. Ini melambatkan pembangunan fizikal dan mental mereka. Ia juga meletakkan mereka pada risiko kemalangan.

Kanak-kanak perempuan memerlukan jumlah nutrisi, perhatian, kasih sayang dan penjagaan yang sama sebagaimana yang diperlukan oleh kanak-kanak lelaki. Semua bayi dan kanak-kanak tidak kira lelaki atau perempuan perlu digalakkan dan dipuji apabila mereka belajar untuk melakukan sesuatu yang baru seperti menyebut perkataan yang baru, memakai pakaian sendiri dan sebagainya.





Share:

Dec 24, 2014

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 2




Otak seorang kanak-kanak berkembang dengan pesat dalam tempoh lima tahun pertama kehidupan, terutama tiga tahun pertama. Ia adalah masa untuk kognitif, bahasa, sosial, emosi dan motor berkembang dengan pesat. Sebagai contoh, kanak-kanak belajar banyak perkataan bermula pada usia kira-kira 15-18 bulan dan akan berterusan sehingga pra sekolah.

Otak kanak-kanak tumbuh apabila mereka melihat, merasa, menghidu, menyentuh dan mendengar. Setiap kali kanak-kanak menggunakan salah satu deria, sambungan di antara saraf akan terbentuk di dalam otak mereka . Pengalaman baru yang berlaku berulang kali akan membantu membuat sambungan baru, yang membentuk cara kanak-kanak itu berfikir, merasa, bertindak dan belajar.

Hubungan rapat di antara kanak-kanak dan ibu bapa atau penjaga adalah cara yang terbaik untuk menyuburkan otak kanak-kanak yang semakin membesar. Apabila ibu bapa atau penjaga bermain, menyanyi, bercakap, membaca atau bercerita kepada kanak-kanak itu dengan penuh kasih dan sayang serta memastikan mereka mendapat permakanan yang seimbang dan berkhasiat, otak kanak-kanak akan berkembang dengan pesat dan sihat. Kesihatan fizikal yang baik, berinteraksi secara efektif dengan ibu bapa atau penjaga serta hidup dalam persekitaran yang selamat dan bersih boleh membuat perubahan yang besar dalam pertumbuhan, perkembangan kanak-kanak dan potensi masa depan mereka.

Bayi memerlukan penjagaan yang sempurna dan kasih sayang pada tahun-tahun awal kehidupan mereka. Mengusap, memeluk dan bercakap dengan kanak-kanak akan merangsang pertumbuhan otak dan menggalakkan perkembangan emosi. Berada berhampiran dengan ibu akan membuatkan bayi rasa selamat. Sebenarnya bayi menyusu untuk kedua-dua pemakanan dan keselesaan emosi.

Bagi bayi yang masih kecil, menangis ialah satu cara berkomunikasi. Tindak balas kepada tangisan itu dengan belaian dan bualan mesra akan membantu mewujudkan rasa percaya dan selamat.
Ini adalah ikatan atau hubungan awal dengan ibu, bapa atau penjaga yang dapat membantu kanak-kanak membangunkan pelbagai kebolehan yang bakal digunakan untuk membina kehidupan seterusnya. Ini termasuk keupayaan untuk:
  • belajar
  • menjadi yakin kepada diri sendiri dan mempunyai harga diri yang tinggi
  • mempunyai kemahiran sosial yang positif
  • mempunyai hubungan yang berjaya apabila dewasa
  • membangunkan rasa empati.


Emosi kanak-kanak turut berkembang seiring dengan perkembangan otak mereka. Kanak-kanak mudah menjadi kecewa jika mereka tidak dapat berbuat sesuatu atau tidak mampu memiliki sesuatu yang mereka mahukan. Mereka sering takut kepada orang yang tidak dikenali, situasi baru atau suasana yang gelap. Kanak-kanak yang sering ditertawakan, dihukum atau diabaikan berkemungkinan akan membesar menjadi seorang yang pemalu, tidak berkeyakinan dan tidak dapat meluahkan emosi secara sihat. Jika ibu bapa atau penjaga bersabar dan bersimpati ketika kanak-kanak meluahkan emosi samada dengan cara positif atau negatif, kanak-kanak itu lebih cenderung untuk membesar dengan ceria, selamat dan seimbang.

Kanak-kanak lelaki dan perempuan mempunyai keperluan fizikal, mental, emosi dan sosial yang sama. Kedua-duanya mempunyai kapasiti yang sama untuk pembelajaran. Kedua-duanya mempunyai keperluan yang sama dari segi kasih sayang, perhatian dan penerimaan dalam keluarga.

Kanak-kanak juga boleh mengalami tekanan yang berlebihan jika mereka secara fizikal atau emosi dihukum dengan kekerasan, terdedah kepada keganasan, diabaikan dan didera, atau hidup dalam keluarga yang mempunyai masalah mental dan sosial, seperti kemurungan atau penyalah gunaan bahan seperti dadah serta ketagihan seperti judi dan alkohol. Tekanan yang berlebihan ini akan mengganggu pembangunan otak dan seterusnya boleh membawa kepada kelewatan pembangunan kognitif, sosial dan emosi serta menimbulkan masalah tingkah laku pada zaman kanak-kanak dan remaja.

Kanak-kanak yang dari segi fizikal atau mental dihukum dengan kekerasan dan kekasaran adalah lebih cenderung untuk menjadi ganas dan suka memberontak. ibu bapa atau penjaga wajar menggunakan cara yang lebih positif dan berkesan untuk menangani tingkah laku kanak-kanak seperti:
  • menyediakan kanak-kanak dengan penjelasan yang jelas mengenai apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan
  • bertindak balas secara konsisten kepada kelakuan tertentu
  • memuji tingkah laku yang baik.


Kedua-dua ibu bapa, dan juga ahli keluarga yang lain, perlu terlibat dalam menyayangi dan memupuk pertumbuhan, pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak tidak kira samada kanak-kanak itu lelaki atau perempuan. Kasih sayang, penghargaan dan peluang yang diberi harus sama rata kepada kedua-dua jantina tanpa ada sikap pilih kasih.

Ibu-ibu secara amnya mengambil peranan utama menangani keperluan anak-anak mereka. Mereka menjaga, memberi makan, bermain, mengajar, mendidik dan menyayangi anak-anak. Peranan seorang bapa juga sama pentingnya dengan ibu dalam menyediakan segala keperluan, mendidik, menjaga anak-anak dan melindungi hak-hak mereka. Seorang bapa perlu membuat anak-anak perempuan dan anak-anak lelaki merasakan mereka adalah sama penting. Sama seperti ibu, bapa boleh membantu memenuhi keperluan anak dalam hal cinta, kasih sayang, penerimaan, galakan dan rangsangan. Bersama-sama, ibu dan bapa boleh memastikan bahawa anak-anak mereka menerima pendidikan yang berkualiti dan pemakanan yang baik dan penjagaan kesihatan yang sempurna.



Share:

Dec 18, 2014

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 1


Pembangunan kanak-kanak merujuk kepada perubahan-perubahan yang berlaku semasa kanak-kanak membesar dan berkembang. Perubahan-perubahan tersebut termasuklah yang berkaitan dengan fizikal, mental, spiritual, emosi dan sosial. 




Lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak menjadi asas penting. Ia adalah asas yang membentuk masa depan mereka. Kajian terbaru mengesahkan bahawa lima tahun pertama adalah penting untuk perkembangan otak kanak-kanak itu, dan tiga tahun pertama adalah waktu yang paling kritikal dalam membentuk  otak mereka. Pengalaman awal menyediakan asas untuk pembangunan organisasi otak yang akan berfungsi pada sepanjang hidup. Pengalaman awal ini mempunyai kesan langsung kepada bagaimana kanak-kanak mengembangkan kemahiran pembelajaran mereka serta kebolehan mereka bersosial dan mengendalikan emosi.


Kanak-kanak belajar dengan lebih cepat pada tahun-tahun awal kehidupan mereka berbanding dengan masa-masa lain. Mereka memerlukan kasih sayang dan asuhan untuk membangunkan rasa kepercayaan dan keselamatan yang akan bertukar menjadi keyakinan diri apabila mereka membesar. Bayi dan kanak-kanak membesar, berkembang dan belajar dengan cepat apabila mereka menerima kasih sayang, perhatian, dorongan dan rangsangan mental, serta makanan yang berkhasiat dan penjagaan kesihatan yang baik.


Memahami peringkat perkembangan kanak-kanak adalah penting. Dengan memahaminya, ibu bapa tahu bagaimana untuk memberi rangsangan, sokongan dan dorongan yang terbaik bagi memaksimakan potensi anak-anak. Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat  penjagaan kesihatan, pemakanan yang baik, pendidikan dan perlindungan daripada bahaya, penderaan dan diskriminasi. Kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran di mana mereka boleh mencapai potensi maksima dalam kehidupan mereka.


Justeru, menjadi kewajipan ibu bapa, penjaga, masyarakat dan kerajaan untuk memastikan bahawa hak-hak ini dihormati, dilindungi dan dipenuhi.







Share:

Dec 1, 2013

Tips untuk mengajar Bahasa Inggeris kepada anak-anak


Gambar Hiasan

1. Kita boleh mula mengajar anak untuk mahir dalam Bahasa Inggeris sejak mereka masih di dalam kandungan lagi. Berbual-buallah dengan mereka dalam Bahasa Inggeris. Nyanyikan nasyid atau lagu kanak-kanak dalam bahasa Inggeris.  


2. Setelah anak dilahirkan, teruskan berbual dengannya dalam Bahasa Inggeris. Sekiranya mampu, gunakan teknik “One Parent One Language”. Maknanya jika bapa berkomunikasi dengan anak menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya, ibu pula berkomunikasi dengan anak menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. In Shaa Allah anak akan mahir dalam kedua-dua  bahasa.


3. Jangan jadikan kelemahan kita dalam Bahasa Inggeris sebagai alasan untuk tidak mendedahkan mereka kepada Bahasa Inggeris pada peringkat awal lagi. Luangkan sedikit masa untuk mempelajari semula asas Bahasa Inggeris. Kita tidak perlu menjadi mahir seperti seorang guru untuk mengajar mereka kerana kita sentiasa boleh merujuk kepada buku-buku, bertanya kepada orang yang mahir berbahasa Inggeris dan lain-lain sumber untuk mengajar.


4. Kad imbas perkataan dan kad imbas bergambar amat berkesan untuk memperkenalkan perkataan Bahasa Inggeris tanpa perlu kita menggunakan dwibahasa. Ciptakan permainan-permainan yang menarik dengan menggunakan kad imbas untuk mengajar mereka seperti padankan perkataan dengan gambar dan sebagainya.


5. Jangan merasa malu dan segan untuk mengajar anak-anak anda di khalayak ramai. Usah peduli pandangan sinis orang lain. Yang penting anak-anak kita akan mahir Bahasa Inggeris. Ingatlah, apabila seorang kanak-kanak mahir dalam bahasa, IQ mereka juga akan meningkat.


6. Belikan buku-buku cerita bergambar dan yang menarik untuk anak-anak. Kalau anak meminati komik, kita boleh belikan komik dalam Bahasa Inggeris. 


7. Rajin-rajinlah bacakan buku cerita Bahasa Inggeris kepada anak-anak. Pupukkan sikap suka membaca bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris kepada mereka.


8. Dapatkan sokongan suami  atau isteri untuk mengajar Bahasa Inggeris kepada anak-anak. Tidak salah juga jika kita memohon pertolongan ibu bapa atau mertua untuk sama-sama  membantu . Kadang-kadang  mereka ini lebih fasih berbahasa Inggeris dari kita.


9. Jika mampu, hantarlah anak-anak ke tadika yang Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantaraan supaya anak-anak terbiasa dengan bahasa tersebut. 


10. Kenali anak-anak kita dan ketahui apa yang mereka minati. Gunakanlah sumber percuma atau sumber-sumber yang telah anda bayar seperti ASTRO dan sebagainya.  Pilih rancangan-rancangan yang sesuai untuk anak-anak anda seperti rancangan Sesame Street, Noddy, Bob The Builder dan lain-lain.


11. Jangan paksa atau beri tekanan terutamanya kepada kanak-kanak yang masih kecil. Kita harus mencari teknik-teknik  pengajaran yang menarik dan tidak membosankan. 


12. Beli poster berbahasa Inggeris yang sesuai dan tampalkan di dalam rumah. Beri penerangan kepada anak-anak tentang poster tersebut secara berulang-ulang kerana anak-anak kecil mudah lupa. Kita juga boleh melabelkan barang-barang yang ada di dalam rumah seperti label “Fridge” pada petiais, “Chair” pada kerusi dan sebagainya. 


13. Kalau betul caranya, kanak-kanak boleh mengusai lima bahasa serentak. Jangan risau, anak-anak tidak akan keliru jika kita dedahkan dua bahasa yang berbeza serentak kepada mereka sejak kecil. 


14. Kita hendaklah konsisten dalam penggunaan Bahasa Inggeris. Jangan mencampurkan dua bahasa dalam satu ayat. Jika kita bercakap dalam Bahasa Inggeris, habiskan satu ayat dalam Bahasa Inggeris. Begitu juga jika kita bercakap dalam Bahasa Melayu.


15. Jangan menggunakan bahasa bayi. Sebut perkataan dengan sebutan yang betul serta gunakan ayat yang betul dan tepat tatabahasanya. Jika anak salah menyebut perkataan, betulkan sebutan mereka dengan mengulang semula sebutan yang betul.



Share:

Nov 18, 2013

Kenapa anak kecil suka menjatuhkan benda?

Gambar Hiasan
Menemani anak-anak yang berusia setahun bermain kadang-kadang boleh membuatkan kita kehairanan jika kita tidak memahami perkembangan asas mereka. Anak-anak pada usia setahun suka menjatuhkan barang yang dipegang. Setelah diambilkan, barang itu akan dijatuhkan semula dan begitulah seterusnya sehingga kadang-kala kita merasa bosan kerana terpaksa berulang kali mengambil barang tersebut. 


Setiap anak kecil akan melalui fasa ini walaupun mungkin pada usia yang berbeza dan jangka masa yang berbeza. Ada anak yang melalui fasa ini dalam jangka waktu yang singkat, tetapi ada juga anak yang melalui fasa ini dengan lebih lama. Yang wajar kita waspada ialah pada usia setahun, kemampuan anak untuk menggenggam barang belum begitu baik. Untuk melatihnya, berikan anak benda-benda yang tidak merbahaya dan tidak mudah pecah.


Apakah sebenarnya yang anak-anak rasakan ketika mereka menjatuhkan barang? Apakah yang menarik minat mereka untuk melakukan perkara yang sama berulang kali sedangkan kita menjadi bosan untuk melayan?


Pada usia ini keinginan mereka untuk mengetahui tentang persekitaran adalah tinggi. Ketika anak-anak menjatuhkan barang, mereka telah menemui satu fenomena yang menarik. Di antaranya ialah deria pendengaran mereka akan mendengar bunyi benda yang jatuh. Deria penglihatan mereka pula akan melihat benda yang bergerak dari atas ke bawah. Sementara deria sentuhan mereka akan merasa benda yang dipegang ada di tangan dan kemudian terlepas dari genggaman.


Disebabkan mereka melakukan ini aktiviti berulang kali, kadang-kadang kita menjadi bosan untuk melayan. Bagi kita yang tidak memahami asas perkembangan kanak-kanak pula akan menganggap perbuatan ini sebagai satu aksi yang nakal lalu kita menghalang mereka daripada melakukannya. Sebenarnya anak-anak belajar sesuatu daripada perbuatan tersebut. Mereka melatih kemahiran menggunakan tangan dan jari. Mereka belajar mengkoordinasikan gerakan tangan, jari dan mata di mana ini penting untuk pembelajaran di tahap yang seterusnya. 


Selain daripada itu, aksi menjatuhkan barang ini dapat mengembangkan persepsi anak-anak tentang konsep ruang. Di sinilah bermulanya anak mengenali tentang posisi atau kedudukan atas dan bawah walaupun mereka masih belum mampu bercakap untuk memberitahu kita yang mana satu atas dan yang mana satu bawah.


Anak-anak juga belajar tentang hubungan di antara sebab dan akibat. Mereka belajar bahawa sesuatu yang dilakukan dapat menyebabkan sesuatu kejadian yang menyenangkan seperti ‘bunyi’ benda jatuh, kelakuan ‘lucu’ ayah atau ibu ketika bongkok mengambil benda yang dijatuhkan dan sebagainya. Oleh kerana aksi ini menyeronokkan, maka anak-anak akan cenderung untuk melakukannya berulang-ulang.


Pertama kali menjatuhkan benda, mungkin berlaku secara tidak sengaja. Namun setelah mendengar dan melihat reaksi yang dihasilkan oleh benda yang terjatuh itu, anak merasa terhibur dan kemudian mengulanginya. Selanjutnya tindakan menjatuhkan benda menjadi tindakan yang sengaja dilakukan. Ini bermakna anak-anak sudah mampu mengembangkan daya berfikir dan merancang melakukan sesuatu untuk tujuan tertentu. Dalam hal ini, menjatuhkan benda untuk mendapatkan bunyi dan melihat benda bergerak.


Setiap tahap yang dilalui oleh anak-anak akan ada manfaatnya walaupun di mata kita nampak perbuatan itu seolah-olah perbuatan yang sia-sia. Sekali pun kita rasa bosan untuk melayan, jangan sampai kita marahkan mereka kerana perbuatan tersebut. Malah lebih baik jika kita bersama dengan anak-anak untuk menikmati detik-detik itu. Inilah peluangnya untuk kita merangsang bagi memaksimakan potensi mereka. Apa yang boleh kita bantu?
  • berikan benda/mainan plastik atau yang selamat untuk dijatuhkan.
  • berikan pelbagai jenis benda yang menghasilkan bunyi yang berlainan, dengan itu anak-anak akan belajar bahawa benda yang berlainan akan menghasilkan bunyi yang berlainan.
  • ibu bapa digalakkan terlibat sama dalam aktiviti ini dengan banyak bercakap dan beri penerangan walaupun ketika itu anak belum boleh bercakap. Bercakap dan beri penerangan hendaklah dalam keadaan yang ceria dan gembira…(“Ala..bola jatuh ke bawah..”)
  • selain daripada mengajar konsep ruang, kita juga boleh mengajar nama-nama benda yang dijatuhkan oleh anak-anak. Bila disebut berulang-ulang kali, anak-anak akan dengan sendirinya dapat mengingat nama benda tersebut. Apabila dia pandai bercakap, tentu dia akan menyebut nama benda itu kelak.
  • berikan banyak benda yang selamat untuk dijatuhkan. Setelah habis semua, cara untuk menghentikan aktiviti tersebut adalah dengan mengalihkan perhatiannya kepada aktiviti lain seperti memukul-mukul tin kosong dan lain-lain. Elakkan daripada menghentikan aktiviti menjatuhkan benda begitu saja tanpa ada aktiviti lain yang mengganti.
  • ibu bapa juga boleh memberikan kembali bola yang dicampakkan anak dengan menggolek. Walaupun anak belum mampu menggolek, sekurang-kurangnya kita mengajarnya bahawa ada pelbagai aktiviti yang boleh dibuat dengan sebiji bola.
  • proses pembelajaran seharusnya tidak memberi tekanan atau rangsangan yang berlebihan. Sekiranya ternampak tanda-tanda anak keletihan, maka rangsangan hendaklah dihentikan.


Walaupun aktiviti menjatuhkan benda ini banyak manfaatnya bagi anak yang masih kecil tetapi ibu bapa harus berwaspada jika aksi ini masih lagi dominan selepas anak berusia 3 tahun (kecuali bagi anak istimewa). Jika anak yang berusia lebih 3 tahun tapi masih kerap melakukan aktiviti ini, ibu bapa harus meneliti apakah ia bertujuan untuk melepaskan kemarahan atau mahukan perhatian. Jika demikian halnya, maka sewajarnya ibu bapa segera mengatasinya. Ibu bapa perlu menenangkan anak dan menunjukkan contoh teladan yang betul untuk meluahkan rasa marah. Tentu saja bukan dengan melemparkan barang.



Share:

Nov 17, 2013

Perkembangan bahasa




Share:

Nov 16, 2013

Tips untuk menarik minat anak membaca


Apa nak buat bila anak tak minat membaca? Masalah ini memang selalu dihadapi oleh ibubapa. Puas disuruh secara lembut, dipaksa secara kasar pun tak jalan juga.


Pertama sekali, mari kita kaji dan teliti diri kita samada kita sendiri minat membaca atau tidak. Sekiranya kita tidak minat membaca, maka mulai hari ini, ubah sikap kita dari tidak suka membaca kepada suka membaca. Biar anak-anak tengok ayah dan ibu membaca – pendidikan melalui contoh dan teladan. Kadang-kadang anak-anak(lebih2 lagi anak yang telah remaja) reluctant bila ayah atau ibu selalu menyuruh mereka membaca dan lagi-lagi mereka tak suka bila ibu berleter.. sedangkan mereka sendiri tidak nampak ibu atau ayah membaca. Tunjukkan yang kita betul-betul berminat membaca di hadapan anak-anak bukan berpura-pura minat sebab anak-anak secara psikologinya boleh rasa ibubapa berpura-pura.


Jadikan membaca bersama-sama keluarga sebagai rutin harian. Cari masa yang sesuai, di mana semua ahli keluarga duduk dan membaca bersama-sama. Ketika ini hindari perkara-perkara lain yang boleh menarik perhatian anak seperti tutup tv, tutup computer, simpan semua barang mainan dan lain-lain. Bagi anak-anak yang boleh membaca sendiri, sediakan buku yang sesuai dengan tahap umurnya. Bagi anak-anak yang belum boleh membaca, ibu atau ayah yang membaca untuk mereka. Selepas selesai membaca, bincangkan dengan anak-anak tentang buku yang mereka baca. Dari perbincangan ini, kita boleh mengesan samada mereka betul-betul membaca dan memahami apa yang telah dibaca.


Pemilihan buku juga penting. Pilih buku yang sesuai mengikut tahap umur anak-anak. Anak-anak yang masih kecil biasanya lebih gemar buku yang bergambar dan berwarna- warni. Bagi anak-anak yang sudah bersekolah.. pilih buku mengikut minat mereka. Contohnya kalau anak minat kereta, maka berikan mereka buku-buku mengenai kereta. Kalau anak minat sains, maka berikan buku-buku mengenai sains dan sebagainya.


Selalu bawa anak ke kedai buku. Bantu mereka memilih buku yang sesuai dengan tahap umur mereka. Anak-anak biasanya akan lebih seronok sekiranya ibubapa memberi kelonggaran terhadap pemilihan buku, menggunakan duit mereka sendiri dan mereka sendiri yang pergi membayar harga buku di kaunter, seolah-olah buku itu betul-betul milik mereka, menjadikan mereka lebih berminat untuk membaca. Sekiranya ada kelapangan, boleh juga bawa mereka ke perpustakaan awam.


Kalau anak-anak minat computer, bantu mereka melayari internat untuk mencari kelab membaca di kalangan kanak-kanak. Dengan menjadikan mereka ahli kelab tersebut, sekurang-kurangnya mereka boleh bertukar-tukar fikiran di kalangan rakan-rakan sebaya.Walaubagaimanapun, ibubapa harus berwaspada bila anak-anak melayari internet. Apa yang penting sekali ialah penglibatan ibubapa dalam memberi galakan dan rangsangan secara positif dan berterusan. Jangan mudah putus asa bila sekali disuruh, anak tak bergerak dan bersabar kerana pasti anak-anak kita akan membuat berbagai-bagai kerenah apabila diajak membaca, perkara yang paling tak diminati sebelum ini.



Sebenarnya menanam minat membaca ini, perlu dimulakan ketika anak-anak masih kecil, lebih mudah. Mulakan sebaik sahaja anak-anak dilahirkan ke dunia. Dedahkan anak-anak kepada buku sejak awal-awal lagi. Membaca untuk mereka ketika mereka masih kecil bukan sahaja merangsang mereka untuk minat membaca tetapi merangsang perkembangan bahasa. Jika tidak dipupuk minat membaca ini dari kecil, memang agak payah untuk menjadikan mereka peminat buku dan pembaca ketika anak-anak sudah besar. Walau bagaimanapun jangan berputus asa, minat membaca masih boleh dipupuk asalkan kena gayanya. 


Share:

Aug 26, 2013

6 cara yang menyeronokkan bagi merangsang anak membaca dan menulis..


Apabila anak sudah mula boleh membaca dan menulis, seakan-akan dunia terbuka luas di hadapan mereka. Saya teringat ketika anak sulong saya baru pandai membaca di sekitar usia 4 tahun, semua tulisan yang dijumpainya dibaca, papan tanda di sepanjang jalan, tajuk buku dan majalah, label pada tin dan bungkusan makanan dan kadang-kadang tulisan pada Tshirt yang dipakai oleh seseorang pun, dia baca dengan kuat. 


Ramai pakar yang mahir dalam pendidikan mental kanak-kanak telah mengkaji cara yang paling berkesan untuk mengajar anak-anak membaca. Glenn Doman misalnya menulis sebuah buku yang berjodol "How To Teach Your Baby To Read". Sejujurnya saya tidak pernah mengikut langkah demi langkah apa yang disarankan oleh Glenn Doman di dalam bukunya itu tetapi saya telah mendedahkan anak-anak saya kepada buku di peringkat mereka masih bayi seperti membacakan cerita untuk mereka dan sebagainya. Ibu bapa tidak perlu rasa tertekan jika tidak termampu untuk mengikut cara yang disarankan oleh pakar kanak-kanak. Ada banyak cara atau aktiviti yang dapat membantu kita merangsang kebolehan anak-anak membaca. Kuncinya..buat dengan rasa seronok baik pada ibu bapa atau pun pada anak-anak. Untuk mengajar anak-anak mengenal perkataan, kita tidak perlu memaksa serta menimbulkan perasaan yang kurang senang kerana ini akan menimbulkan kesan yang negatif pula. Anak-anak yang diajar membaca dalam keadaan yang terpaksa dan kurang seronok juga akhirnya boleh membaca tetapi minatnya terhadap buku dan membaca akan terbantut. Yang perlu kita pupuk ke dalam diri anak-anak ialah minat membaca bukan pandai membaca. Anak yang tiada minat membaca, apabila dia telah pandai membaca, dia akan berhenti membaca. Kita mahukan anak-anak yang akan berterusan membaca.


Di antara aktiviti yang pernah saya buat dengan anak-anak untuk meransang mereka mengenal perkataan ialah…

1. membaca buku cerita bersama-sama mereka sambil bermain-main dengan kad-kad perkataan yang saya buat sendiri. Perkataan yang ditulis di atas kad tersebut, saya ambil daripada buku yang mereka baca ketika itu. Buku yang saya gunakan ialah The Ladybird Key Words Reading Scheme. Banyak permainan yang boleh dicipta dengan kad-kad perkataan tersebut. Biasanya selepas membaca, saya akan meminta mereka menyusun kad-kad perkataan tersebut menjadi ayat yang lengkap.

2. Melukis bersama-sama mereka kemudian menulis beberapa ayat-ayat mudah yang menceritakan tentang gambar itu. Gambar berserta cerita tentangnya saya lekatkan pada peti sejuk ataupun pinkan pada soft board. Setiap kali mereka terpandang gambar tersebut, mereka akan membaca ceritanya. Untuk menyeronokkan lagi, saya beri hak milik cipta dengan mencatatkan… 'Cerita ini ditulis oleh…" pada bahagian bawah kertas.

3. mengajak mereka supaya bersama-sama menulis dan menyenaraikan nama barang-barang keperluan dapur yang perlu dibeli dan meminta mereka menyerahkan senarai tersebut kepada ayah mereka.

4. meminta mereka menulis senarai barang permainan atau apa saja yang mereka inginkan sebagai hadiah harijadi dan meletakkan senarai tersebut di dalam sekeping sampul surat yang dialamatkan kepada saya dan suami. Surat berserta senarai tersebut biasanya mereka lekatkan pada peti sejuk dengan menggunakan magnet.

5. Menggalakkan mereka menulis pesanan ringkas di atas nota kecil. Semua pesanan dan kepada siapa pesanan itu ditujukan dilekatkan pada peti sejuk atau pada soft board. Pada peringkat permulaan, sudah tentu mereka memerlukan bantuan saya untuk mengeja perkataan dan sebagainya tapi mereka seronok melakukannya apabila mendapat respon yang positif daripada saya dan ayah mereka.

6. Menggalakkan mereka menulis buku catatan rahsia. Mereka bebas menulis apa saja di dalamnya dan hanya mereka saja yang boleh membacanya. Anak-anak suka kepada idea "rahsia" itu dan sudah tentu tidak menjadi rahsia lagi kepada ibu mereka apabila mereka datang bertanya bagaimana untuk mengeja sesuatu perkataan yang agak susah tetapi ia tetap menjadi rahsia kepada ahli keluarga yang lain.


Inilah di antara aktiviti yang saya buat dengan anak-anak saya. Saya kongsikan di sini untuk menjadi panduan kepada ibu bapa yang lain. Ada banyak lagi aktiviti lain yang menyeronokkan. Guna kerativiti kita sendiri untuk mencipta aktiviti yang dapat merangsang minat anak-anak terhadap membaca dan menulis. 




Share:

Jul 16, 2013

Bagaimana memilih tadika yang baik untuk anak

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa tahun-tahun pra-sekolah adalah tahun yang paling genting terhadap perkembangan kanak-kanak dan proses pembelajaran, maka ibubapa masa kini telah menyedari tentang kepentingan untuk menghantar anak-anak kecil mereka ke pra-sekolah.

Di Malaysia, jenis pra-sekolah yang dipilih oleh anda adalah bergantung kepada umur anak anda. Kanak-kanak di bawah umur empat tahun sepatutnya dihantar ke pusat penjagaan kanak, yang mana didaftarkan di bawah Kementerian Perpaduan dan Pembangunan Sosial.
Kanak-kanak diantara umur empat hingga enam tahun pula harus dihantar ke tadika, yang mana didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan. Adalah menjadi keutamaan anda menghantar anak-anak anda ke pra-sekolah yang telah didaftarkan dibawah mana-mana badan berkuasa yang berkaitan. Dengan demikian, anda boleh merasa tenang kerana mereka akan sekurang-kurangnya mengikuti piawai minimum yang ditetapkan. Sekiranya anda merasa ragu-ragu, anda boleh meminta mereka menunjukkan permit-permit mereka yang berkaitan.

Kanak-kanak kecil biasanya berbeza pembelajaran mereka dari kanak-kanak yang besar, jadi pra-sekolah tidak sepatutnya dijalankan seperti sekolah-sekolah kecil, dimana kanak-kanak mesti duduk di meja sepanjang hari.

Ciri-ciri yang baik bagi sebuah pusat penjagaan kanak-kanak termasuklah:
Keadaan persekitaran fizikal
Kurikulum dan program
Kanak-kanak
Kakitangan
Penglibatan ibubapa
Persekitaran Fizikal
Pusat penjagaan haruslah kelihatan menarik daripada luar. Bilik-bilik haruslah menyeronokkan, ceria dan mempunyai sistem pengudaraan yang baik, dengan terdapatnya seberapa banyak tingkap yang dibuka untuk membenarkan kemasukan udara segar dan cahaya matahari kedalam. Anda harus memeriksa bilik-bilik air, dapur, ruang makan dan bilik permainan samada ia bersih atau tidak.

Bilik-bilik permainan sepatutnya boleh menarik minat kanak-kanak, mempunyai perabot-perabot khas untuk kanak-kanak, dan para-para yang cukup rendah untuk dicapai oleh kanak-kanak. Barang-barang permainan dan lain-lain sepatutnya dapat dilihat dan diambil oleh semua kanak-kanak. Kerja-kerja tangan mereka sepatutnya dipamerkan dengan menarik mengikut tinggi pandangan mata mereka.

Bilik harus diatur menjadi pusat pembelajaran atau kawasan aktiviti, dimana barang-barang dikumpulkan mengikut kegunaannya. Ia juga harus termasuk sekali penjuru-penjuru bagi:
Permainan blok

Permainan manipulasi

Aktiviti-aktiviti yang senyap / membaca

Kesenian / aktiviti kreatif

Berlakon

Aktiviti sains

Muzik

Di pusat-pusat pembelajaran ini, pelbagai jenis barang-barang dan aktiviti yang perlu disediakan, supaya kanak-kanak tersebut dengan bebasnya boleh memilih aktiviti-aktiviti yang mereka ingini, kerana sebagaimana yang diketahui, aktiviti-aktiviti yang berbeza akan menarik minat kanak-kanak yang berbeza. Barang-barang permainan dan lain-lain benda mestilah mencukupi dan selamat kepada kanak-kanak. Benda-benda berbahaya seperti objek-objek tajam mestilah disimpan jauh dari capaian kanak-kanak.

Sebagai tambahan, adalah perlu juga ruang yang mencukupi untuk kanak-kanak bergerak dengan bebas, kerana kanak-kanak biasanya belajar dengan cepat melalui penjelajahan benda-benda secara aktif di persekitaran mereka.

Persekitaran luaran juga sama pentingnya. Ia mestilah dipagar, selamat dan teduh, supaya kanak-kanak dapat bermain diluar sekurang-kurangnya untuk satu tempoh masa yang tertentu setiap hari. Persekitarannya mestilah kemas dan bersih, dan rumput telah dipotong. Jika terdapat beberapa jenis pokok dan tumbuhan yang ditanam, ia bukan sahaja memberi keteduhan tetapi boleh juga membantu kanak-kanak tersebut belajar mengenai alam sekitar.

Perlu juga ruang yang cukup untuk pelbagai jenis permainan pada yang dijaga dengan baik, yang mana memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk melatih kemahiran fizikal masing-masing. Peluang untuk bermain pasir dan air juga seharusnya ada, kerana ia juga memberikan pengalaman pembelajaran yang baik.

Kurikulum Dan Program
Ia mestilah sesuai dengan perkembangan minda. Semua aktiviti-aktiviti tersebut hendaklah diletakkan pada peringkat yang sesuai bagi umur seorang kanak-kanak, dan juga menepati citarasa dan kemampuan kanak-kanak tersebut.

Kanak-kanak mestilah kelihatan gembira dan tenang. Mereka sepatutnya dapat berhadapan dengan orang-orang dewasa dan kakitangan dengan penuh keyakinan, dan tidak takut untuk meminta pertolongan.

Kakitangan pula mestilah kelihatan ceria, berhati-hati, dan berminat pada apa-apa sahaja yang dilakukan oleh kanak-kanak. Mereka mestilah bercakap dengan terang dan betul, dalam nada suara yang sederhana dan menggalakkan kanak-kanak meluahkan perasaaan mereka dengan bebas.

Semasa anda memerhatikan interaksi diantara kakitangan dan kanak-kanak, anda sepatutnya dapat merasakan bahawa kakitangan terlibat secara aktif dengan kanak-kanak, dan mereka juga gembira dengan perhubungan yang rapat, hangat dan bertindak balas dengan kanak-kanak tersebut. Mereka mesti menunjukkan sikap hormat kepada semua kanak-kanak, dan menerima setiap kanak-kanak sepertimana diri mereka masing-masing. Mereka mestilah menyokong pembelajaran dengan bimbingan dan galakan, dan bukannya melalui pembetulan. Mereka juga mesti mengakui usaha setiap kanak-kanak, supaya mereka akan merasa gembira terdapat diri mereka sendiri.

Anda juga harus bertanya kepada pengarah pusat asuhan atau pengetua berkenaan mengenai maklumat kakitangan yang berikut:

Nisbah
Bagi kanak-kanak bawah umur tiga tahun, sepatutnya terdapat seorang pengasuh bagi setiap lima orang kanak-kanak, manakala bagi kanak-kanak berumur diantara tiga dan empat tahun, sepatutnya terdapat seorang pengasuh bagi setiap sepuluh orang kanak-kanak. Nisbah yang baik akan membenarkan perhatian individu yang lebih tinggi dan saiz kumpulan yang kecil akan membenarkan interaksi yang lebih baik diantara orang dewasa dan kanak-kanak.
Kelayakan Dan Pengalaman
Kakitangan yang berpengalaman, yang mana telah dilatih dengan pengetahuan berkenaan pendidikan awal bagi kanak-kanak dan perkembangan kanak-kanak adalah lebih baik untuk menyediakan pengalaman pengajaran positif untuk anak-anak anda.
Kadar Penggantian Kakitangan
Kanak-kanak biasanya akan rapat dengan pengasuh mereka, dan akan merasa kehilangan dan tidak selamat apabila terdapat kadar penggantian kakitangan yang tinggi. Kadar penggantian kakitangan yang tinggi ini juga menghasilkan suasana interaksi diantara kanak-kanak dan orang dewasa yang rendah kerana kanak-kanak perlukan hubungan kepercayaan yang kukuh sebelum proses interaksi dapat berkembang.
Penglibatan Ibubapa
Anda juga perlu bertanya apakah peranan yang anda main didalam pengalaman pra-sekolah anak-anak anda. Adakah penglibatan anda dialu-alukan? Adakah anda dibenarkan untuk membantu anak anda membiasakan diri dipusat tersebut, atau adakah anda mesti membiarkannya walaupun pada hari pertamanya disana? Apakah polisi pusat asuhan tersebut berkenaan perkara-perkara disiplin? Apakah akan terdapat sessi perbincangan diantara kakitangan pusat asuhan dan ibubapa berkenaan perkembangan anak-anak mereka dari masa ke semasa?

Sebagai ibubapa, anda lebih mengenali anak anda, dan anda mempunyai kuasa untuk terlibat secara aktif didalam pengalaman pra-sekolah anak anda. Oleh itu, anda sepatutnya merasakan kehadiran anda dialu-alukan. Sekiranya dari pemerhatian anda memberikan gambaran bahawa disitulah anak-anak anda akan dapat berkembang dengan sepenuhnya, maka anda telahpun menemui pra-sekolah yang betul.
credit : Dr Irene Leow
Share:

Jan 23, 2013

Percaya vs curiga...




Percaya vs curiga adalah peringkat pertama menurut teori pembangunan psikososial Erik Erikson. Peringkat ini berlaku pada usia anak di antara kelahiran dan kira-kira 18 bulan. Menurut Erikson, percaya vs curiga (trust vs mistrust) adalah tempoh yang paling penting dalam kehidupan seseorang.


Oleh kerana bayi bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa atau penjaga, kualiti penjagaan yang diterima olehnya memainkan peranan penting dalam membentuk personaliti anak tersebut. Pada peringkat ini, anak-anak  belajar sama ada atau tidak mereka boleh mempercayai orang di sekeliling mereka. Apabila bayi menangis, adakah ibu bapa atau penjaga datang untuk memenuhi keperluannya? Apabila dia takut, adakah ibu bapa atau penjaga datang untuk menenangkannya?


Apabila keperluan ini dipenuhi secara konsisten, anak akan belajar bahawa dia boleh mempercayai ibu bapa dan orang yang menjaganya. Sebaliknya jika keperluan ini tidak dipenuhi, anak akan hilang kepercayaan terhadap orang-orang di sekelilingnya.


Jika anak-anak berjaya membangunkan rasa kepercayaan, mereka akan berasa selamat berada di dunia ini. Ibu bapa dan penjaga yang tidak konsisten atau menolak untuk memenuhi keperluan emosi akan menyumbang kepada perasaan curiga ke dalam diri anak-anak. Kegagalan untuk membangunkan rasa percaya itu akan menyebabkan anak-anak ketakutan dan rasa was-was terhadap persekitaran mereka.


Sebab itulah pentingnya memberi respon yang positif terhadap tangisan bayi. Tangisan bayi menandakan ada keperluan yang wajar dipenuhi oleh ibu bapa dan penjaga kerana pada peringkat bayi, anak-anak belum pandai mengambil kesempatan atau memanipulasikan ibu bapa. Jangan bimbang, bayi tidak akan menjadi "manja" (spoiled) hanya kerana kita memberi respon yang positif setiap kali dia menangis.





Share:

Jun 22, 2012

Perkembangan emosi (2 - 7 months)




Ketika dalam usia ini bayi telah berupaya untuk membuat hubungan mata  (eye contact) dengan ibubapa, senyum dan mengeluarkan bunyi (cooing). Ketika dalam keadaan jaga, bayi akan aktif. Interaksi dan tindakbalas daripada ibubapa akan mencipta satu hubungan perasaan yang unik di antara bayi dan ibubapa (attachment relationship)


Interaksi dan tindakbalas berterusan yang diberi oleh ibubapa akan membantu bayi mempelajari untuk menenang dan mengawal diri mereka sendiri. Ada sel-sel yang tertentu di otak akan tumbuh berkembang ketika ibubapa berinteraksi dengan bayi. Sel-sel ini ada kaitan dengan pengawalan denyutan jantung dan emosi bayi. Ketika berusia dalam lingkungan 4 bulan, bayi berupaya untuk memusatkan penglihatannya  sejauh 2 kaki. Secara kebetulan, inilah jarak ketika ibu menyusukan bayi dan membolehkan bayi melihat dengan jelas expresi wajah kita. Digalakkan ibu memberi expresi yang positif ketika ini seperti senyuman dan keceriaan. Menyediakan persekitaran yang ceria dan seronok (joy and pleasure) adalah penting untuk perkembangan otak bayi.


Share:

Aduhai anakku..jangan menangis! (part 2)





Pada entri yang lepas, saya sediakan dua kes (aktiviti penyusuan bayi yang berusia 0 - 2 bulan) untuk sama-sama kita teliti.


Kes pertama

Seorang ibu muda (mungkin anak sulong) tersedar apabila bayi menangis. Waktu itu pukul 3 pagi. Ibu muda itu cepat-cepat bangun dan pergi mendapatkan anaknya. Bayi boleh mengesan lampu dipasang kemudian dia rasakan sentuhan dan dakapan sayang ibunya. Walaupun mungkin ketika itu bayi lapar, namun apabila merasakan sentuhan dan dakapan ibu, bayi akan bertenang. Untuk setengah jam bayi menyusu, kadang-kadang bayi berhenti sambil memandang ke wajah ibunya. Si ibu pula bersuara lembut bercakap dengan bayinya sambil tersenyum. Setelah puas minum, ibu muda itu menepuk-nepuk belakang bayi hingga bayinya kembali tidur dengan tenang dan aman.


Apa yang bayi pelajari….

Tangisan dan keperluannya dipenuhi oleh ibunya dengan kelembutan. Bayi mula merasai bahawa dia boleh berkomunikasi dengan ibunya. Apa yang lebih penting ialah bayi mula merasai dirinya berharga dan penting serta mula membentuk kepercayaan terhadap dirinya dan juga kepercayaan terhadap orang lain. This is an essential start for emotional development.


Kes kedua

Situasi hampir sama, pukul 3 pagi seorang ibu muda tersedar apabila terdengar tangisan bayi. Ibu yang mungkin kali pertama melahirkan cahaya mata, belum ada pengalaman barangkali, bila terdengar tangisan bayi itu, hatinya menjadi geram kerana si ibu baru saja terlena setelah bergaduh besar dengan ayah si bayi. 

"Diamla!" si ibu menjerit. 

Bayi itu semakin kuat menangis. Kerana tidak tahan mendengar tangisan itu, si ibu bangun dengan perasaan yang tertekan sambil mendapatkan bayinya. Bayi itu diangkat dengan kasar dan diberi minum susu. Ketika minum, si ibu merungut tentang bermacam-macam perkara. Sebenarnya bayi itu boleh merasakan ketegangan yang dialami oleh ibunya. Bayi itu kemudian berhenti menyusu dan menangis semula. Si ibu bertambah tertekan dan naik angin. Si ibu meletakkan semula bayi yang sedang menangis di atas katilnya dan melarikan dirinya ke dapur. Bayi akhirnya berhenti menangis dan terlena keletihan.



Apa yang bayi pelajari….

Bayi dalam kes kedua juga mempelajari sesuatu. Tangisan dan keperluannya dipenuhi dengan cara yang kasar dan distress. Tangisannya dijawab dengan kemarahan dan suara yang nyaring. Dari situ bayi merasai yang dirinya tidak berharga dan keperluannya tidak begitu penting sehingga dia diabaikan. Dia mula membentuk kepercayaan bahawa tiada orang yang boleh diharap dan dipercayai.


When either of the two above cases are repeated again and again, the effect on the baby's sense of self and of the world are profound. So parents, take note of this! Through the experience of being cared for, the baby is beginning to learn how to regulate his/her emotional state and calm down. Areas of the brain that regulate bodily functions like heart rate, temperature and sleep are developing in these early months. When we hold the crying baby and calm him/her by talking or rocking, the baby is learning that intense distress can decrease. At first the baby relies on us, and then develops ways to calm himself/herself over time. This is not only for feeding time but also for all activities as well. Please..handle your fragile baby with care during these early months..

Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com