Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Dec 18, 2014

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 1


Pembangunan kanak-kanak merujuk kepada perubahan-perubahan yang berlaku semasa kanak-kanak membesar dan berkembang. Perubahan-perubahan tersebut termasuklah yang berkaitan dengan fizikal, mental, spiritual, emosi dan sosial. 




Lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak menjadi asas penting. Ia adalah asas yang membentuk masa depan mereka. Kajian terbaru mengesahkan bahawa lima tahun pertama adalah penting untuk perkembangan otak kanak-kanak itu, dan tiga tahun pertama adalah waktu yang paling kritikal dalam membentuk  otak mereka. Pengalaman awal menyediakan asas untuk pembangunan organisasi otak yang akan berfungsi pada sepanjang hidup. Pengalaman awal ini mempunyai kesan langsung kepada bagaimana kanak-kanak mengembangkan kemahiran pembelajaran mereka serta kebolehan mereka bersosial dan mengendalikan emosi.


Kanak-kanak belajar dengan lebih cepat pada tahun-tahun awal kehidupan mereka berbanding dengan masa-masa lain. Mereka memerlukan kasih sayang dan asuhan untuk membangunkan rasa kepercayaan dan keselamatan yang akan bertukar menjadi keyakinan diri apabila mereka membesar. Bayi dan kanak-kanak membesar, berkembang dan belajar dengan cepat apabila mereka menerima kasih sayang, perhatian, dorongan dan rangsangan mental, serta makanan yang berkhasiat dan penjagaan kesihatan yang baik.


Memahami peringkat perkembangan kanak-kanak adalah penting. Dengan memahaminya, ibu bapa tahu bagaimana untuk memberi rangsangan, sokongan dan dorongan yang terbaik bagi memaksimakan potensi anak-anak. Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat  penjagaan kesihatan, pemakanan yang baik, pendidikan dan perlindungan daripada bahaya, penderaan dan diskriminasi. Kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran di mana mereka boleh mencapai potensi maksima dalam kehidupan mereka.


Justeru, menjadi kewajipan ibu bapa, penjaga, masyarakat dan kerajaan untuk memastikan bahawa hak-hak ini dihormati, dilindungi dan dipenuhi.







Share:

Oct 10, 2014

Audio Parenting Ibu Rose


“Alangkah bagusnya jika audio parenting seperti ini ujud di zaman anak-anak ku masih kecil”. Begitulah hati kecil saya berkata-kata setelah selesai mendengar audio parenting yang disampaikan oleh Prof Rozieta (Ibu Rose). Audio ini penuh dan sarat dengan info dan penerangan yang sangat-sangat diperlukan oleh ibu bapa yang masih muda dan mempunyai anak-anak yang masih kecil. Dalam keadaan sekarang di mana kita semakin sibuk dengan urusan yang tidak dapat dielakkan, untuk menghadiri seminar atau bengkel parenting kadang kala tidak mampu kita lakukan di tambah dengan kekangan ekonomi yang kita hadapi. Saya ibaratkan audio parenting ini sebagai “TAKE AWAY SEMINAR”. Saya puji tindakan Ibu Rose yang merekodkan audio ini. Ia memudahkan ibu bapa untuk mendapatkan ilmu parenting yang boleh diguna pakai dalam mendidik anak masing-masing.

Alhamdulillah, dalam kesibukan, saya masih sempat mendengar ‘take away seminar’ ini. Kebanyakan bahagian, saya dengar ketika memandu. Sekurang-kurangnya dapat menghilangkan stress ketika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas jalan raya di kota Kuala Lumpur. Biarlah saya kongsikan sedikit  isi kandungan audio seminar ini. Audio ini ada 6 bahagian (6 CD) dengan tajuk seperti di bawah ini.



Dalam cd1, Ibu Rose menerangkan tentang matlamat keibubapaan. Penting bagi kita memahami matlamat keibubapaan ini untuk menjadi ibu bapa yang proaktif dan positif dalam menangani kerenah anak-anak kecil kita. Jika kita tidak tahu tujuan keibubapaan, maka kerenah anak-anak tersebut, kita akan tangani secara yang negatif dan tidak berkesan.

Setelah memahami matlamat, maka kita boleh menyusun strategy untuk membebaskan kehebatan anak-anak. Setiap anak mempunyai potensi masing-masing. Potensi ini tidak akan menyerlah sekiranya kita salah cara. Salah satu cara positif yang Ibu Rose sebutkan ialah “SPIRAL SUCCESS”. Apakah spiral success? Ibu Rose telah memberi penjelasan yang panjang lebar tentang  “SPIRAL SUCCESS” ini dalam cd2

Dalam cd3 pula, Ibu Rose menunjukkan cara bagaimana untuk mengenali anak-anak kita iaitu mengikut perspektif “4 DIMENSI DIRI”. 4 dimensi diri ini dimiliki semua orang tidak kira berapa usia, bangsa, atau jantina. Apakah 4 dimensi diri itu? Anda boleh mengetahui dengan mendengar penjelasan daripada Ibu Rose sendiri melalui audio seminar ini. Dengan menggunakan 4 dimensi diri ini, kita mampu mengenali anak-anak dan seterusnya dapat membantu mereka membebaskan potensi diri ke tahap yang maksimum, insya-Allah.

Cd4, cd5 dan cd6 menceritakan tentang tahap perkembangan anak mengikut usia (age & stage). Ibu bapa perlu mengetahui dan memahami tahap-tahap dan fasa perkembangan anak-anak supaya tidak mudah melatah atau panik jika anak melakukan sesuatu tingkah laku misalnya anak pada usia sekitar 1 tahun sangat suka melempar barang. Jika ibu bapa tidak mengetahui dan memahami fasa tersebut, akan timbul rasa cemas jika kelakuan itu akan berlarutan sehingga dewasa. Anak yang sudah boleh merangkak pula akan mula mengutip sesuatu yang dijumpainya dan memasukkan ke dalam mulut. Mengapa anak berbuat begitu, ibu bapa perlu tahu. Ini adalah fasa-fasa yang ibu bapa wajar ketahui dan fahami untuk memudahkan kita dalam membebaskan potensi anak masing-masing.

Penjelasan dan penyampaian Ibu Rose dalam semua cd adalah dengan menggunakan Bahasa Melayu yang sangat mudah difahami oleh semua golongan. Gaya penyampaian dan intonasi adalah menarik dan tidak akan membuatkan kita mengantuk. Biasanya jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, mata saya akan rasa mengantuk tetapi sepanjang saya mendengar audio seminar ini, mata dan minda terasa segar serta menghilangkan rasa stress dan bosan.

Saya cadangkan video ini perlu dimiliki oleh semua terutamanya muda mudi yang bakal mendirikan rumah tangga, pasangan yang bakal menjadi ibu bapa sebagai persediaan (dari segi teori) sebelum memiliki anak sendiri. Sebaik saja anak dilahirkan, mereka boleh terus praktis segala teori tersebut. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil, audio ini boleh menyelamatkan masa. Ia diibaratkan seperti PATI SANTAN yang telah sedia terperah untuk kita. Walaupun masih banyak lagi info yang perlu anda cari tetapi audio ini sebagai guidance, bermakna selepas mendengar audio ini, insya-Allah anda akan tahu apa sepatutnya yang anda cari untuk melengkapkan lagi diri sebagai ibu bapa yang cemerlang. Saya dulu nak dapatkan PATI SANTAN, terpaksa melalui banyak steps (LOL)

Audio ini dalam format mp3. Saya percaya generasi sekarang tiada masalah untuk mengetahui apa itu mp3. Audio ini boleh ditempah melalui link ini http://www.parentingbijak-ibc.gr8.com/. Setelah membuat bayaran dan memberi details yang diperlukan, satu link khas akan dikirimkan kepada anda melalui email. Melalui link itu, anda boleh download audio tersebut ke atas PC atau tab atau smartphone. Anda berhak menyimpan audio tersebut selama mana yang anda mahu dan boleh dengar berulang kali.

Saya download audio tersebut ke atas Macbook Air kesayangan saya dan memainkannya dengan menggunakan itunes. Selain daripada itu, saya transfer juga ke ipod untuk saya bawa ke mana saja. Mungkin anda juga boleh burn mp3 itu masuk  ke dalam CD. Apa yang ingin saya katakan adalah audio ini bukanlah sesuatu yang rumit untuk diproses lebih-lebih lagi kepada generasi sekarang. 

Apa yang menarik ialah audio ni ditawarkan pada harga RM 97 sehingga 31/12/2014. RM97 amat berbaloi anda laburkan untuk mendapatkan ilmu yang  bernilai tinggi ini. Harga sebenarnya ialah rm197. Rebutlah peluang ini..tambahkan ilmu di dada dan praktiskannya dalam mendidik anak-anak yang tersayang. Klik pada link ini http://www.parentingbijak-ibc.gr8.com/ untuk mendapatkan audio parenting tersebut.

Share:

Sep 10, 2014

Membantu anak untuk menjadi ceria dan positif



Beberapa idea yang boleh kita cuba praktikkan untuk membantu anak-anak ceria dan positif.

1. BERSYUKUR . Salah satu cara yang baik dan mudah untuk mendidik anak-anak supaya pemikiran mereka menjadi lebih positif adalah dengan mengamalkan kesyukuran . Setiap hari, minta anak-anak kita menyatakan 3 perkara yang mereka bersyukur kerana memilikinya. Pilih masa yang konsisten untuk berkongsi kesyukuran itu di antara satu sama lain (selepas solat maghrib sementara menanti masuk waktu ‘Isya misalnya) dan ulangi selama 21 hari sehingga menjadi satu tabiat . Do’a sebelum tidur juga boleh dijadikan ritual untuk menyatakan kesyukuran. Kajian menunjukkan bahawa ritual yang mudah ini mampu membantu otak mengimbas sesuatu kebaikan dan membantu mengukuhkan kenangan yang baik dan positif dari masa ke masa .


2. SENYUMAN. Senyuman yang terukir di bibir mempunyai keajaiban untuk meningkatkan mood dan pandangan kita. Apabila kita melihat seseorang itu tersenyum, neuron dalam otak kita menerima isyarat mesra dan memberitahu otak kita untuk membalas kembali senyuman tersebut. Aksi ini akan menyebarkan kegembiraan di persekitaran kita. Latih anak-anak supaya mudah tersenyum dengan sentiasa memberikan senyuman kepada kepada mereka terlebih dahulu.


3. JURNAL. Galakkan anak-anak untuk mengambil sekurang-kurangnya dua minit setiap hari untuk menulis pengalaman positif yang mereka lalui pada hari tersebut. Otak kita tidak boleh membuat perbezaan antara visualisasi dengan pengalaman sebenar, justeru dengan menulis jurnal tentang pengalaman positif yang dilalui memberi kesan positif dua kali ganda.


4. BERMAIN. Menetapkan sekurang-kurangnya 15 minit sehari untuk melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama-sama seperti bermain badminton, berbasikal bersama-sama, bermain sorok-sorok dan sebagainya. Tabiat yang menyeronokkan selama 15 minit ini bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal tetapi juga baik untuk mengurangkan risiko menghadapi tekanan dan kemurungan.


Share:

Sep 7, 2014

Berkomunikasi dengan anak-anak secara positif



Ibu bapa yang menyeronokkan ialah ibu bapa yang berkomunikasi secara positif dengan anak-anak. Anak-anak tidak perlu takut atau malu untuk bercakap dengan ibu bapa. Tidak kira bagaimana sukar sekali pun isu atau mereka telah membuat sesuatu kesilapan, mereka tidak perlu ada perasaan takut bahawa kita akan membenci mereka. Cinta dan kasih sayang kita terhadap mereka mestilah ikhlas dan tanpa syarat. Anak-anak perlu tahu bahawa kita sentiasa menyayangi mereka walau dalam apa keadaan sekali pun. 


Sebagai ibu bapa, kita wajar berkomunikasi secara positif dengan anak-anak untuk mengujudkan hubungan mesra dengan mereka. Adalah diharapkan dengan hubungan yang mesra ini akan menghidupkan rasa kepercayaan dan rasa seronok anak-anak kepada kita. Komunikasi yang dimaksudkan bukan hanya ketika anak-anak ada masalah tetapi ia adalah interaksi seharian di mana kita berbalas senyuman, mengucapkan perkataan yang baik, ketawa bersama, bercerita, makan bersama-sama dan sebagainya. Perkara yang utama adalah kita meletakkan masa dan tenaga supaya anak-anak tahu bahawa mereka penting dalam hidup kita. Ini adalah beberapa contoh yang kita boleh lakukan untuk mengujudkan komunikasi positif dengan anak-anak.

  • Berbual dan berbincang dengan anak setiap hari walaupun ia hanya untuk beberapa minit.
  • Mendengar dan cuba memahami apa yang diperkatakan oleh anak-anak tanpa cepat membuat kesimpulan. 
  • Meletakkan talipon bimbit, matikan komputer pada waktu kita bersama dengan anak-anak. 
  • Bercakap dengan anak menggunakan nada dan kata-kata yang kita ingin orang lain gunakan ketika bercakap dengan kita.
  • Menyatakan kasih sayang dan cinta kita setiap hari, tidak kira bagaimana sukar dan letihnya kita pada hari tersebut. 


Kita sedar bahawa akan berlaku juga hari-hari yang situasi tidak begitu ceria, masalah datang secara tiba-tiba dan anak-anak pula membuat tingkah laku yang mencabar kesabaran kita, tetapi sekurang-kurangnya kita tahu bahawa kita telah cuba yang terbaik untuk berkomunikasi dengan anak-anak secara positif.


Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com