Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Feb 23, 2014

Membantu anak buat kerja sekolah.

Gambar Hiasan

Petang..

“Haikal, kerja sekolah dah buat?”
“Kejap lagi lah mama”
“Cepatkan siapkan kerja sekolah tu”
“Haikal letih, Haikal nak rehat sekejap”
“Nanti jangan lupa buat kerja sekolah tu”

Keesokan paginya…

“Mama, Haikal tak mahu pergi sekolah hari ni”
“Kenapa pulak tak mahu pergi sekolah?”
“Kerja sekolah Haikal tak siap”
“Tak siap? Kan mama dah suruh buat dari petang semalam”
“Haikal terlupa. Lagipun Haikal penat sangat semalam. Cikgu mesti marah sebab kerja sekolah tak siap. Haikal takut”
“Salah Haikal lah. Mama suruh buat, Haikal tak dengar cakap mama”

Berlarutanlah bebelan si ibu…

Kadang-kadang kita berperang untuk menyuruh anak menyiapkan kerja sekolah. Puas pujuk secara lembut, masih tak berkesan dan akhirnya suara kita mula bernada tinggi, mengugut dan sebagainya atau lebih teruk lagi memukul dan merotan. 

Pada pendapat saya, tidak perlu sampai merotan untuk menyuruh anak menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru. Semakin kita berkeras, semakin anak bencikan kerja sekolah. Justeru, bagaimana untuk menarik minat anak supaya sukakan kerja sekolahnya? Di bawah ini ialah beberapa petua yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak menyiapkan kerja sekolah tanpa perlu bertegang urat.

1. Beri perhatian kepada ritma anak dan membantunya mencari masa yang sesuai untuk memulakan kerja sekolahnya. Sesetengah kanak-kanak mampu melakukan kerja rumah selepas balik dari sekolah, manakala yang lain perlu berehat lebih lama sebelum memulakannya.  Tetapkan jadual untuk membuat kerja sekolah pada masa yang dipersetujui oleh anak dan ibu bapa. Apa sahaja masa yang kita dan anak pilih, jadikannya rutin dan bantulah anak untuk mengikuti jadual tersebut.

2. Ketahui bagaimana tabiat belajar anak. Ibu bapa perlu mencari dan mengetahui cara anak belajar. Sebagai contoh, sesetengah kanak-kanak belajar mengeja perkataan dengan menulis dan ada juga kanak-kanak belajar mengeja perkataan dengan menutup mata mereka dan membayangkan perkataan tersebut. Persekitaran juga penting. Sesetengah kanak-kanak mungkin ingin mendengar muzik yang perlahan ketika membuat kerja sekolah manakala yang lain perlukan persekitaran yang sunyi dan senyap.

3. Membantu anak membuat pelan (jika banyak kerja sekolah yang perlu diselesaikan). Contohnya, setiap mata pelajaran, ada kerja rumah yang diberi oleh guru. Utamakan kerja sekolah yang perlu dihantar segera. Jika suatu mata pelajaran itu mempunyai banyak soalan yang perlu disiapkan dan guru memberi masa (mungkin dua hari) untuk menyiapkannya, maka bantulah anak untuk membahagikan kerja sekolah tersebut, separuh soalan pada hari pertama dan separuh lagi pada hari kedua.

4. Elakkan daripada membuat kerja sekolah untuk anak sebaliknya sentiasa bersedia apabila anak perlukan pertolongan. Kemungkinan anak tidak faham soalan dan memerlukan penerangan, maka ibu bapa hendaklah bersedia untuk membantu. 

5. Elakkan sesuatu yang boleh mengganggu dan mengalih perhatian anak. Tutup TV, komputer dan sebagainya kecuali jika kerja sekolah itu memerlukan anak menggunakan komputer dan ibu bapa perlu memantau penggunaannya.

6. Menyediakan keperluan anak seperti alat tulis, kertas, buku latihan, buku rujukan dan sebagainya. Anak juga perlu rehat (10-15 minit) di antara kerja sekolah yang perlu disiapkan tetapi tentukan pada waktu rehat ini, mereka tidak menonton tv, membuka komputer dan lain-lain gajet. Ibu bapa seeloknya mengajar anak membuat regangan dan latihan pernafasan untuk mereka sentiasa berasa segar dan bertenaga.

7. Sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada anak. Elakkan daripada berleter. Beri pujian terhadap usahanya untuk menyiapkan kerja sekolah pada waktu tertentu.

8. Berbincang dengan guru yang mengajar anak (jika kita rasakan terlalu banyak kerja sekolah yang diberi setiap hari). 



Print Friendly and PDF
Share:

Jan 20, 2014

Pengorbanan seorang ibu

Gambar Hiasan
Pada suatu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia. Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut mendapati seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di universiti. Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang. 

Pengurus:  "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?" 
Gadis:  ”Tidak." 
Pengurus:  "Jadi adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?" 
Gadis:  ”Ayah saya telah meninggal ketika saya berusia satu tahun, ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian saya." 
Pengurus:  "Ibu awak bekerja di mana?" 
Gadis:  ”Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah." 

Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja berat. Pengurus berasa hairan lalu bertanya. 

Pengurus:  ”Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?" 
Gadis:  "Tidak pernah. Ibu selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. Lagipun ibu membasuh lebih cepat daripada saya." 

Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis itu pulang ke rumah nanti dan berjumpa semula dengannya keesokan harinya. Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersikan tangan ibunya. 

Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan kepada anaknya. Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kasar dan terdapat banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air di tangannya. Lama-kelamaan gadis itu mula menyedari bahawa tangan ini lah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti. Calar-calar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya yang cemerlang dan juga demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih tertinggal. 

Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat. Pengurus tersebut menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya.

Pengurus:  "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?" 
Gadis:  "Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal." 
Pengurus:  "Apa yang anda rasa?" 
Gadis:  "PERTAMA, saya sedar apa itu pengorbanan seorang ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. KEDUA, dengan bekerja bersama dengan ibu saya sahaja, saya dapat belajar dan mengerti betapa sukarnya mendapat sedikit wang untuk hidup. KETIGA, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan." 
Pengurus:  ”Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini." 

Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya. Prestasi syarikat juga semakin meningkat. 

Pengajaran dari cerita ini adalah kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak. Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan kerja-kerja di rumah. Dari situ, kita akan belajar untuk menghargai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh merekaenulis buku dan dapat menghasilkan buku untuk dibaca oleh orang ramai. 

=========================
Sumber:  facebook.com

Print Friendly and PDF


Share:

Jan 13, 2014

Bagaimana Ibu Bapa Boleh Menetapkan Peraturan Yang Berkesan: Menerap Disiplin Yang Positif



Jadi, anda mahu anak anda mendengar cakap anda. Anda inginkan mereka untuk mematuhi peraturan di dalam rumah yang anda telah tetapkan dan sentiasa berdisiplin. 

Impian adalah satu perkara, melaksanakannya adalah satu hal lain. Menetapkan peraturan di dalam rumah yang berkesan adalah sesuatu yang lebih sukar. Sering kali kita lihat, ibu bapa menjadi kecewa apabila apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak menjadi. Kita selalu berpesan kepada mereka agar jangan berputus asa,  namun  malangnya kebanyakan masih merasa kecewa. 

Artikel ini bukan untuk mengajar tetapi untuk menjemput ibu bapa untuk meneroka cara yang mungkin berkesan untuk menjadikan anak kita sentiasa mendengar dan mematuhi peraturan di dalam rumah yang kita telah tetapkan.  

 Melaksanakan Dan Mengekalkan Peraturan Di Dalam Rumah

Soalan-soalan yang memerlukan jawapan jujur dari kita samada kita telah meletakkan sesuatu asas yang kukuh untuk mendisiplinkan anak.   

1. Adakah kita Telah menetapkan peraturan yang jelas dan mudah difahami 
Bolehkah peraturan di dalam rumah berkenaan menerangkan atau mentakrifkan dengan tepat tingkah laku yang dikehendaki. Anda mungkin berbeza pandangan dan mungkin saya boleh menjangkakannya, namun saya berharap dan mengingini.

Apabila adik-beradik bergaduh dan mencampakkan mainan kepada satu sama lain, apakah kita akan mengarahkan mereka untuk berhenti dari bersifat agresif? Anak kita yang lebih tua mungkin akan memahami peraturan yang telah ditetapkan tetapi ia mungkin sesuatu yang tidak jelas kepada anak kita yang lebih muda. Apakah mesej yang kita sebagai ibu bapa cuba untuk sampaikan? Adakah patut untuk anak-anak tidak terlibat dalam sebarang aktiviti fizikal atau adakah ia bermakna secara mudahnya, mainan bukan diciptakan untuk dicampakkan atau digunakan untuk mencederakan orang lain?  


 2. Bagaimana Konsistennya Kita Dengan Peraturan Di Dalam Rumah 
Adakah kita salah seorang daripada ibu bapa yang dengan mudah mengubah peraturan setiap hari yang berlainan? Peraturan di dalam rumah adalah bertujuan untuk menyediakan satu kerangka asas dan perlu tetap dan tidak sentiasa berubah-ubah. Kita sepatutnya memberikan petunjuk yang jelas yang boleh membuatkan anak kita berasa selamat. Sebahagian dari peraturan boleh diubah di pelbagai peringkat kehidupan anak-anak kita tetapi hal utama di sini adalah konsisten.   


3. Bagaimana Tentang kelakuan kita sendiri 
Adakah kita bertindak balas? Adakah kita bertindak balas terhadap tingkah laku pada tahap yang sama dalam keadaan dan masa yang berlainan? Saya pernah melihat ibu bapa yang memberi ganjaran kepada satu tingkah laku pada satu hari tertentu, sebaliknya menghukum pada hari yang lain dan mengabaikannya pada masa-masa yang lain. Ibu bapa seperti ini sebenarnya menyampaikan mesej bahawa mereka sebenarnya kurang serius. 

Memberi pengecualian adalah tidak mengapa tetapi untuk tidak konsisten adalah satu yang tidak boleh diterima.


4. Adakah kita seorang yang bertimbang rasa 
Adakah peraturan di rumah kita sesuai untuk anak-anak kita? Adakah kita sudah mengambil kira keperluan dan kebolehan kanak-kanak kita? Anak kita memerlukan kita menghargai pandangan yang dikongsi oleh mereka sama seperti yang kita mahukan. Peraturan di dalam rumah yang kurang bertimbang rasa akan sentiasa menjemput sikap suka memberontak dan melanggar peraturan. Seorang anak sangat membenci seorang yang tidak bertimbang rasa seperti yang kita, ibu bapa sering lakukan. 


5. Bagaimana sikap kerjasama kita 
Adakah kita sebagai ibu bapa, bekerjasama antara satu sama lain? Kita dan pasangan kita perlu mempunyai nilai-nilai yang sama. Kita perlu mengaplikasikan peraturan di dalam rumah yang sama dan untuk bertindak balas terhadap tingkah laku dengan cara yang sama. 


Anak kita masih tidak mahu mendengar. Apa yang patut berlaku sekarang? 

Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk kita mendengar ibu bapa berkata bahawa mereka telah mengguna pakai semua cara-cara di atas dalam melaksanakan peraturan di dalam rumah dan kanak-kanak itu masih tidak mendengar dan tidak mematuhi peraturan. Jika anda salah seorang dari orang-orang ibu bapa, maka anda perlu bertanya diri sendiri selanjutnya.  

 a) Adakah perhatian yang mencukupi sudah diberikan 
Apabila anak kita sudah mematuhi Peraturan-peraturan di rumah yang ditetapkan, apakah kita memberi kepada mereka perhatian yang diperlukan? Kita sepatutnya memberi pujian dan tidak mengabaikan kelakuan yang dikehendaki itu. Jika kita hanya memberi perhatian kepada mereka ketika mereka melakukan kesalahan maka mereka akan melakukan lebih banyak kesalahan kerana kita sebenarnya memberitahu mereka bahawa kelakuan buruk lebih mendapat perhatian.   


b) Adakah kita saling menghormati 
Adakah kita sudah menyampaikan Peraturan-peraturan di rumah dan had-had sempadannya dengan cara terhormat? Kita tidak sepatutnyamenjerit dan menyumpah sewaktu menyampaikan sesuatu mesej, tidak kira berapa marahnya kita. Bagaimana kita akan bertindak balas jika bos kita sendiri tidak memanggil kita dengan nama kita apabila mereka memberi arahan? Dan tiada langsung hubungan mata ketika melakukannya! 

Belajar untuk menyampaikan sesuatu mesej hanya setelah kita mendapat perhatian mereka dan lakukannya secara terhormat, itu yang lebih berkesan.


c) Adakah kita menyediakan pilihan lain 
Selalunya,dengan hanya memberitahu anak kita untuk tidak melakukan perkara-perkara tertentu tidak mencukupi. Kita perlu juga beritahu dia apa yang dia boleh lakukan. Cuba untuk tidak membuatkan dia berasa dia telah dilucutkan haknya dan dengan itu berasa kecewa. Sebaliknya, beri motivasi, beri penerangan dan beri beberapa pilihan lain.   


d) Menetapkan hukuman yang boleh diterima akal 
Jika hukuman adalah perlu, hukumlah dengan satu yang boleh diterima akal kerana ini akan memberi kesan kepada bentuk tindakbalas anak kita. Ini akan memberi kesan yang besar akibat dari salah laku anak kita. Kita perlu praktikal dan tidak mengelirukan anak kita   

Kata Penutup 

Tingkah laku dan hasil yang positif memerlukan masa dan usaha. Harap dapat bersabar, ikhlas dan amalkan kepimpinan melalui teladan. Beri perhatian kepada hal berkaitan halal dan haram (yang boleh dan dilarang) yang disediakan kepada keluarga anda dan ingatlah untuk membaca doa. 

Dan juga mereka yang berdoa (dengan berkata) : "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.   Al Furqan 25 ayat 74.

===============================================
Artikel di atas adalah terjemahan dari artikel asal yang boleh dibaca di sini . Terimakasih diucapkan kepada penulis asal (Ibn Waled) artikel ini kerana memberi kami kebenaran untuk menterjemah hasil tulisan beliau.



Share:

Jan 12, 2014

Petua untuk ibu bapa kekal damai dan bahagia #15

Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com