Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Sep 10, 2014

Membantu anak untuk menjadi ceria dan positif



Beberapa idea yang boleh kita cuba praktikkan untuk membantu anak-anak ceria dan positif.

1. BERSYUKUR . Salah satu cara yang baik dan mudah untuk mendidik anak-anak supaya pemikiran mereka menjadi lebih positif adalah dengan mengamalkan kesyukuran . Setiap hari, minta anak-anak kita menyatakan 3 perkara yang mereka bersyukur kerana memilikinya. Pilih masa yang konsisten untuk berkongsi kesyukuran itu di antara satu sama lain (selepas solat maghrib sementara menanti masuk waktu ‘Isya misalnya) dan ulangi selama 21 hari sehingga menjadi satu tabiat . Do’a sebelum tidur juga boleh dijadikan ritual untuk menyatakan kesyukuran. Kajian menunjukkan bahawa ritual yang mudah ini mampu membantu otak mengimbas sesuatu kebaikan dan membantu mengukuhkan kenangan yang baik dan positif dari masa ke masa .


2. SENYUMAN. Senyuman yang terukir di bibir mempunyai keajaiban untuk meningkatkan mood dan pandangan kita. Apabila kita melihat seseorang itu tersenyum, neuron dalam otak kita menerima isyarat mesra dan memberitahu otak kita untuk membalas kembali senyuman tersebut. Aksi ini akan menyebarkan kegembiraan di persekitaran kita. Latih anak-anak supaya mudah tersenyum dengan sentiasa memberikan senyuman kepada kepada mereka terlebih dahulu.


3. JURNAL. Galakkan anak-anak untuk mengambil sekurang-kurangnya dua minit setiap hari untuk menulis pengalaman positif yang mereka lalui pada hari tersebut. Otak kita tidak boleh membuat perbezaan antara visualisasi dengan pengalaman sebenar, justeru dengan menulis jurnal tentang pengalaman positif yang dilalui memberi kesan positif dua kali ganda.


4. BERMAIN. Menetapkan sekurang-kurangnya 15 minit sehari untuk melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama-sama seperti bermain badminton, berbasikal bersama-sama, bermain sorok-sorok dan sebagainya. Tabiat yang menyeronokkan selama 15 minit ini bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal tetapi juga baik untuk mengurangkan risiko menghadapi tekanan dan kemurungan.


Share:

Sep 7, 2014

Berkomunikasi dengan anak-anak secara positif



Ibu bapa yang menyeronokkan ialah ibu bapa yang berkomunikasi secara positif dengan anak-anak. Anak-anak tidak perlu takut atau malu untuk bercakap dengan ibu bapa. Tidak kira bagaimana sukar sekali pun isu atau mereka telah membuat sesuatu kesilapan, mereka tidak perlu ada perasaan takut bahawa kita akan membenci mereka. Cinta dan kasih sayang kita terhadap mereka mestilah ikhlas dan tanpa syarat. Anak-anak perlu tahu bahawa kita sentiasa menyayangi mereka walau dalam apa keadaan sekali pun. 


Sebagai ibu bapa, kita wajar berkomunikasi secara positif dengan anak-anak untuk mengujudkan hubungan mesra dengan mereka. Adalah diharapkan dengan hubungan yang mesra ini akan menghidupkan rasa kepercayaan dan rasa seronok anak-anak kepada kita. Komunikasi yang dimaksudkan bukan hanya ketika anak-anak ada masalah tetapi ia adalah interaksi seharian di mana kita berbalas senyuman, mengucapkan perkataan yang baik, ketawa bersama, bercerita, makan bersama-sama dan sebagainya. Perkara yang utama adalah kita meletakkan masa dan tenaga supaya anak-anak tahu bahawa mereka penting dalam hidup kita. Ini adalah beberapa contoh yang kita boleh lakukan untuk mengujudkan komunikasi positif dengan anak-anak.

  • Berbual dan berbincang dengan anak setiap hari walaupun ia hanya untuk beberapa minit.
  • Mendengar dan cuba memahami apa yang diperkatakan oleh anak-anak tanpa cepat membuat kesimpulan. 
  • Meletakkan talipon bimbit, matikan komputer pada waktu kita bersama dengan anak-anak. 
  • Bercakap dengan anak menggunakan nada dan kata-kata yang kita ingin orang lain gunakan ketika bercakap dengan kita.
  • Menyatakan kasih sayang dan cinta kita setiap hari, tidak kira bagaimana sukar dan letihnya kita pada hari tersebut. 


Kita sedar bahawa akan berlaku juga hari-hari yang situasi tidak begitu ceria, masalah datang secara tiba-tiba dan anak-anak pula membuat tingkah laku yang mencabar kesabaran kita, tetapi sekurang-kurangnya kita tahu bahawa kita telah cuba yang terbaik untuk berkomunikasi dengan anak-anak secara positif.


Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com