Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Aug 26, 2013

6 cara yang menyeronokkan bagi merangsang anak membaca dan menulis..


Apabila anak sudah mula boleh membaca dan menulis, seakan-akan dunia terbuka luas di hadapan mereka. Saya teringat ketika anak sulong saya baru pandai membaca di sekitar usia 4 tahun, semua tulisan yang dijumpainya dibaca, papan tanda di sepanjang jalan, tajuk buku dan majalah, label pada tin dan bungkusan makanan dan kadang-kadang tulisan pada Tshirt yang dipakai oleh seseorang pun, dia baca dengan kuat. 


Ramai pakar yang mahir dalam pendidikan mental kanak-kanak telah mengkaji cara yang paling berkesan untuk mengajar anak-anak membaca. Glenn Doman misalnya menulis sebuah buku yang berjodol "How To Teach Your Baby To Read". Sejujurnya saya tidak pernah mengikut langkah demi langkah apa yang disarankan oleh Glenn Doman di dalam bukunya itu tetapi saya telah mendedahkan anak-anak saya kepada buku di peringkat mereka masih bayi seperti membacakan cerita untuk mereka dan sebagainya. Ibu bapa tidak perlu rasa tertekan jika tidak termampu untuk mengikut cara yang disarankan oleh pakar kanak-kanak. Ada banyak cara atau aktiviti yang dapat membantu kita merangsang kebolehan anak-anak membaca. Kuncinya..buat dengan rasa seronok baik pada ibu bapa atau pun pada anak-anak. Untuk mengajar anak-anak mengenal perkataan, kita tidak perlu memaksa serta menimbulkan perasaan yang kurang senang kerana ini akan menimbulkan kesan yang negatif pula. Anak-anak yang diajar membaca dalam keadaan yang terpaksa dan kurang seronok juga akhirnya boleh membaca tetapi minatnya terhadap buku dan membaca akan terbantut. Yang perlu kita pupuk ke dalam diri anak-anak ialah minat membaca bukan pandai membaca. Anak yang tiada minat membaca, apabila dia telah pandai membaca, dia akan berhenti membaca. Kita mahukan anak-anak yang akan berterusan membaca.


Di antara aktiviti yang pernah saya buat dengan anak-anak untuk meransang mereka mengenal perkataan ialah…

1. membaca buku cerita bersama-sama mereka sambil bermain-main dengan kad-kad perkataan yang saya buat sendiri. Perkataan yang ditulis di atas kad tersebut, saya ambil daripada buku yang mereka baca ketika itu. Buku yang saya gunakan ialah The Ladybird Key Words Reading Scheme. Banyak permainan yang boleh dicipta dengan kad-kad perkataan tersebut. Biasanya selepas membaca, saya akan meminta mereka menyusun kad-kad perkataan tersebut menjadi ayat yang lengkap.

2. Melukis bersama-sama mereka kemudian menulis beberapa ayat-ayat mudah yang menceritakan tentang gambar itu. Gambar berserta cerita tentangnya saya lekatkan pada peti sejuk ataupun pinkan pada soft board. Setiap kali mereka terpandang gambar tersebut, mereka akan membaca ceritanya. Untuk menyeronokkan lagi, saya beri hak milik cipta dengan mencatatkan… 'Cerita ini ditulis oleh…" pada bahagian bawah kertas.

3. mengajak mereka supaya bersama-sama menulis dan menyenaraikan nama barang-barang keperluan dapur yang perlu dibeli dan meminta mereka menyerahkan senarai tersebut kepada ayah mereka.

4. meminta mereka menulis senarai barang permainan atau apa saja yang mereka inginkan sebagai hadiah harijadi dan meletakkan senarai tersebut di dalam sekeping sampul surat yang dialamatkan kepada saya dan suami. Surat berserta senarai tersebut biasanya mereka lekatkan pada peti sejuk dengan menggunakan magnet.

5. Menggalakkan mereka menulis pesanan ringkas di atas nota kecil. Semua pesanan dan kepada siapa pesanan itu ditujukan dilekatkan pada peti sejuk atau pada soft board. Pada peringkat permulaan, sudah tentu mereka memerlukan bantuan saya untuk mengeja perkataan dan sebagainya tapi mereka seronok melakukannya apabila mendapat respon yang positif daripada saya dan ayah mereka.

6. Menggalakkan mereka menulis buku catatan rahsia. Mereka bebas menulis apa saja di dalamnya dan hanya mereka saja yang boleh membacanya. Anak-anak suka kepada idea "rahsia" itu dan sudah tentu tidak menjadi rahsia lagi kepada ibu mereka apabila mereka datang bertanya bagaimana untuk mengeja sesuatu perkataan yang agak susah tetapi ia tetap menjadi rahsia kepada ahli keluarga yang lain.


Inilah di antara aktiviti yang saya buat dengan anak-anak saya. Saya kongsikan di sini untuk menjadi panduan kepada ibu bapa yang lain. Ada banyak lagi aktiviti lain yang menyeronokkan. Guna kerativiti kita sendiri untuk mencipta aktiviti yang dapat merangsang minat anak-anak terhadap membaca dan menulis. 




Share:

Aug 25, 2013

Memupuk Rasa Cinta dan Pertalian Kasih Sayang: 5 cara yang indah....


Bagi sepasang suami isteri, apa lagi yang lebih membahagiakan selain daripada dapat memeluk anak-anak dan membaluti mereka dengan kasih sayang. Kita memerhati anak-anak kita membesar, tingkah laku dan karekter muncul satu demi satu mengikut tahap umur. Kita merangsang kekuatan dan memperbaiki kelemahan mereka, kita rakamkan gambar dan mencatitkan jurnal setiap perkembangan mereka tahap demi tahap. Kita menyedari bahawa perkara-perkara kecil yang kita lakukan untuk anak-anak kita itu boleh menimbul dan mengekalkan kasih sayang dalam keluarga kita.


Kita mengungkapkan kasih sayang kita melalui perkataan sayang, masa yang berkualiti bersama mereka, pemberian hadiah, menyediakan keperluan mereka dan sentuhan fizikal. Buku yang ditulis oleh Gary Chapman, "THE FIVE LOVE LANGUAGES" telah menerangkan dengan panjang lebar bagaimana untuk menentukan bahasa kasih sayang kita dan juga bahawa kasih sayang anak-anak kita yang dominan. Seorang yang penyayang akan memiliki kasih sayang dan akan mampu memberikan kasih sayang..menjadikan dunia ini dipenuhi dengan kasih sayang dan tempat yang paling selamat untuk didiami. Kita boleh bergantung harap bahawa seseorang yang kita sayangi akan sentiasa berada di sisi kita untuk menjadi pendengar yang setia. Begitulah indahnya..jika di antara kita dan anak-anak ada pertalian kasih sayang yang ikhlas tanpa syarat. Di antara cara yang boleh kita lakukan untuk memupuk pertalian kasih sayang dengan anak-anak kita ialah…

Ritual "I love you.."

Ritual "I love you.." adalah kenangan yang berkekalan sepanjang hayat yang dapat menambah pengalaman serta menguatkan pertalian dan hubungan dalam keluarga. Sebagai contoh, kita mungkin boleh lakukan "Pelukan Sandwich" sebagai ritual "I love you.." keluarga kita. Ini sangat menyeronokkan. Peluk anak, kemudian ajak pasangan kita menyertainya. Anak yang dipeluk akan berada di tengah-tengah di antara ibu dan ayah dan membentuk sandwich. "Pelukan Sandwich" ini ialah model yang baik untuk memaparkan aksi memberi dan menerima kasih sayang.

Lagu-lagu kasih sayang yang boleh dinyanyikan mengikut rentak lagu yang disukai oleh anak-anak seperti lagu "twinkle, twinkle little star" dengan senikata yang kita cipta khas untuk anak-anak. Dan sudah tentu senikata yang kita cipta dapat memaparkan rasa kasih dan sayang kita kepada mereka.

Ritual "bedtime"

Menyatakan pengakuan yang mengukuhkan pertalian kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak sebelum mereka tidur bukan sahaja satu tindakan yang baik untuk dilakukan tetapi juga ia dapat membantu menaikkan imej kendiri dan harga diri mereka. Contoh pengakuan kasih sayang yang boleh kita lafazkan ialah:
"Ibu/ayah nampak ada keikhlasan dalam mata kamu dan tentunya hati kamu dipenuhi dengan kasih sayang.." sambil jari kita menyentuh dengan lembut mata dan dada mereka.
"Ibu/ayah gembira menjadi ibu/ayah kamu". Satu hari nanti, InsyaAllah mereka akan membalas.."Saya gembira menjadi anak ibu/ayah".

Ritual "bedtime" yang juga dapat menumbuhkan pertalian kasih sayang ialah meluangkan masa bercerita atau membaca buku cerita bersama anak-anak. Setelah selesai bercerita atau membaca buku cerita, bagi kita yang beragama islam, eloklah jadikan rutin membaca do'a sebelum tidur. Sebelum meninggalkan bilik mereka, cium pipi dan ucapkan salam.

Hadiah kata-kata cinta dan kasih

Ungkapan cinta dan kasih sayang adalah satu lagi cara yang indah untuk membuatkan anak-anak merasai kasih sayang daripada kita. Ucapkan secara spontan dan ikhlas untuk melahirkan rasa cinta dan kasih kita kepada mereka..
"Kasih ibu/ayah kepada kamu bertambah dari sehari ke sehari.."
"Kamulah permata hati ibu/ayah.."
"Besarnya kasih sayang ibu/ayah kepada kamu, sama macam jaraknya dari bumi ke bulan dan balik semula ke bumi.."
"Kamu adalah seorang anak yang saaaaaaaaangat (panjangkan harkat perkataan sangat..;)) layak untuk disayangi.."

Kita boleh cipta pelbagai ungkapan cinta dan kasih sayang yang lain mengikut cita rasa masing-masing. Be creative!

Sentuhan lembut dan penuh kasih sayang

Usapan pada rambut ketika anak berada di ribaan kita, mengosok perlahan-lahan belakang mereka, menyentuhkan hidung kita kepada hidung mereka boleh mencetuskan saat-saat indah dan bermakna serta meyakinkan anak-anak akan kasih sayang yang berterusan daripada kita walaupun pada hari-hari yang sibuk.

Footprints

Tindakan kreative yang juga boleh mengukuhkan pertalian kasih sayang sesama ahli keluarga yang lain adalah dengan merakamkan jejak-jejak tapak kaki anak (footprints) di atas kanvas atau kertas, bingkaikan dan kirim kepada datuk, nenek, bapa dan ibu saudara sebagai hadiah. Tentu mereka gembira dan berbesar hati menerima hadiah yang bernilai dengan kasih sayang seumur hidup seperti itu.


Mudah-mudahan cara yang disebutkan di atas dapat mencetuskan rasa keseronokan serta dapat mengukuhkan pertalian kasih sayang di antara ibu dan anak serta ahli-ahli keluarga yang lain. Selamat mencuba!




Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com