Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Jun 4, 2015

Perkembangan Kanak-kanak: Bayi pada 6 minggu pertama


Bayi yang baru lahir mengalami dunia yang sangat berbeza daripada dunia sebelumnya iaitu ketika ia berada di dalam perut ibu. Bayi yang baru lahir bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa untuk keperluan asasnya. Alhamdulillah, bayi yang baru lahir, Allah kurniakan   kebolehan untuk berkomunikasi  atau memberitahu keperluan mereka kepada ibu bapa. Dalam enam minggu pertama, ibu bapa dan bayi akan belajar banyak perkata tentang satu sama lain. Komunikasi yang berlaku di antara ibu bapa dan bayi membantu untuk mewujudkan satu ikatan, yang akan menjadi asas kepada hubungan ibu bapa dan anak dan akan menjadi asas juga bagi anak untuk membina hubungan dengan orang lain. Berilah tumpuan kepada bayi dan penuhilah segala keperluannya dengan seberapa segera kerana ia akan mengujudkan asas kepercayaan kepada diri sendiri dan kelak kepada orang lain juga.


Apa yang bayi boleh lihat:
Penglihatan bayi pada tahap ini belum berkembang sepenuhnya. Sewaktu dilahirkan, bayi hanya boleh melihat objek yang berada kira-kira 8-12 inci, seperti wajah ibu bapa (apabila apabila berada dalam pangkuan). Mereka akan seronok melihat warna-warna terang atau gambar hitam dan putih yang besar dan mainan. yang berwarna terang.


Apa yang bayi boleh dengar:
Bayi berkemampuan untuk mendengar bunyi sejak mereka berada  di dalam kandungan ibu. Sebab itulah, ibu bapa digalakkan bercakap-cakap dengan bayi yang di dalam kandungan. Bayi akan mengenali suara ibunya apabila dia dilahirkan! Kita akan dapat melihat expresi muka dan pergerakan badan mereka (seperti terkejut ketika sesuatu jatuh ke lantai) apabila terdapat bunyi yang kuat.


Apa yang bayi dapat merasakan:
Sentuhan ibu bapa adalah sangat penting untuk bayi! Bayi suka apabila diurut dengan lembut. Dengan memegang dan mengusap bayi, kita menyampaikan mesej kepadanya bahawa dia berada dalam keadaan selamat dan disayangi. Ada yang mengatakan bahawa bayi akan menjadi “TERLALU MANJA” jika dia diangkat setiap kali menangis. Sebenarnya pada usia ini, bayi belum pandai atau belum tahu untuk memanipulasikan ibu bapa. Tangisan adalah cara mereka berkomunikasi untuk menyatakan keperluan mereka yang wajar dipenuhi oleh ibu bapa atau orang dewasa yang berada di sekeliling mereka.


Bagaimana bayi makan:
Pada usia ini, perut bayi hanya boleh menerima susu samada susu ibu (yang terbaik) atau susu formula yang khas untuk bayi. Berapa banyak dan berapa kerap bayi menyusu adalah berubah-rubah. Ibu wajar memberi susu kepada bayi mengikut keperluannya bukan mengikut jadual yang tetap.


Bagaimana untuk menjaga mulut bayi:
Gusi bayi dan lidah bayi perlu dibersihkan dengan berus gigi bayi atau tuala kecil basah / kain kasa selepas penyusuan dan sebelum tidur.


Bagaimana bayi bergerak (pemkembangan motor kasar):
Bayi akan perlahan-lahan mendapatkan kawalan ke atas otot mereka. Dalam enam minggu pertama, bayi memerlukan sokongan penuh untuk kepalanya. Berhati-hati untuk tidak membiarkan kepala bayi bergoyang-goyang dan elakkan daripada menggoncangnya dengan kuat kerana ini mungkin akan memberi kesan buruk kepada otak. Mungkin sekali sekala, tiarapkan bayi di atas perutnya supaya mereka boleh belajar untuk mengangkat kepala tetapi jangan terlalu lama.


Bagaimana bayi berkomunikasi (perkembangan bahasa dan pertuturan):
Tangisan adalah cara bayi berkomunikasi dan memberitahu kita akan keperluan mereka. Bayi menangis untuk memberitahu kita apabila mereka lapar, letih, panas, sejuk, bosan, sakit, atau tidak selesa. Ibu bapa yang pertama kali menimang cahaya mata pada mulanya mungkin sukar untuk membezakan tangisan bayi berdasarkan keperluannya tetapi lama kelamaan mereka mampu berbuat demikian. Banyakkan bercakap-cakap dengan bayi dan kita boleh melihat bagaimana mereka membalas percakapan kita dengan mengeluarkan bunyi (berdekut). Bayi pada 6 minggu pertama mampu membuat hubungan mata dengan ibu bapa. Bayi perlu rehat. Elakkan daripada terlebih memberi rangsangan. Tanda-tanda bayi letih adalah apabila mereka menangis serta menarik pandangan daripada kita.


Bermain bersama bayi dengan penuh kasih sayang:
Dalam beberapa minggu pertama kehidupan, bayi akan banyak tidur. Ini adalah masa yang baik untuk ibu yang baru bersalin merehatkan diri atau tidur. Apabila bayi sedar dan terjaga, ia adalah masa untuk berinteraksi dengannya! Bercakap-cakap dan menyanyi kepada bayi adalah perkara terbaik yang ibu bapa boleh lakukan untuk menggalakkan perkembangan bahasa. Jangan bimbang sekiranya kita banyak memegang dan menggendong bayi kerana itu akan mengajar bayi untuk mempercayai kita sebagai ibu bapa. Lebih cepat kita respon dan bertidak balas kepada tangisan bayi, itu lebih baik kerana bayi perlu merasakan bahawa mereka selamat.

Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com