Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Feb 10, 2015

IQ dan EQ, yang mana lebih diperlukan?


Kecerdasan emosi (EQ) lebih berperanan penting dan lebih baik dalam personaliti seseorang individu berbanding kecerdasan intelek. Kejayaan seseorang dalam kehidupan bukanlah semata-mata disebabkan oleh kecerdasan inteleknya (IQ), kecerdasan emosi (EQ) juga boleh membawa kejayaan, malahan lebih banyak lagi memberi sumbangan kejayaan individu berbanding kecerdasan intelek. 

Hal ini disokong oleh kajian yang dilakukan oleh Goleman pada tahun 1998 yang menyatakan bahawa 80 peratus kejayaan bergantung kepada kecerdasan emosi (EQ) manakala selebihnya 20 peratus adalah bergantung kepada kecerdasan intelektual (IQ), kenyataan ini dibuat berdasarkan kajian yang dijalankan olehnya ke atas beribu-ribu orang ahli profesional yang berjaya dalam bidang masing-masing serta penyelidikan yang dilakukan terhadap 500 buah organisasi di seluruh dunia. 

Sebenarnya kecedasan intelek hanya dimiliki oleh sesetengah manusia sahaja dan hanya dapat diwarisi secara genetik atau biologikal, berbanding kecerdasan emosi, ia dimiliki oleh setiap manusia tidak kira dari latar belakang mana sekalipun seseorang itu datang. Kecerdasan emosi boleh dipelajari, dikembangkan dan ditingkatkan iaitu daripada pengalaman yang didapati sebelum ini. 

Semakin banyak seseorang itu menerima pengalaman seperti menguruskan emosinya ketika menghadapi tekanan, maka tahap kecerdasan emosinya juga semakin tinggi. Kecerdasan emosi (EQ) penting dalam setiap individu, sama ada terhadap pemimpin, pengurus, pekerja dan sebagainya. 

Dalam hal yang lain, kecerdasan intelek (IQ) tidak berupaya membentuk akhlak, moral, rohani dan jasmani yang sebenar, kecerdasan intelek yang tidak dikawal dengan emosi yang pintar, biasanya akan membawa kepada kelakuan yang tidak baik. 

Dengan adanya kecerdasan emosi seseorang akan mampu menilai kebaikan dan keburukan sesuatu tindakan, keadaan ini membolehkannya mudah mencapai sesuatu matlamat dengan adanya disiplin tersebut.


Kajian menunjukkan bahawa kepintaran intelek  hanya boleh membantu sebanyak 20% untuk kita berjaya dalam hidup manakala selebihnya (80%) dibantu oleh kepintaran emosi


Note: Artikel ini disalin daripada page Dato' Maznah Hamid (https://www.facebook.com/maznahhamid)





Share:

Feb 8, 2015

Tips untuk Membangun Tabiat Membaca di Rumah




Adakah anda tahu bahawa anda boleh melakukan perkara-perkara yang mudah di rumah untuk membantu anak-anak tidak kira usia, membangunkan tabiat membaca? Pendedahan kepada tabiat yang baik ini akan membantu kanak-kanak menjadi pembaca tegar dan seterusnya menjadi pelajar yang lebih berpengetahuan. Langkah pertama dalam membangunkan tabiat membaca dan anak-anak yang cintakan ilmu pengetahuan bermula di dalam rumah dan di kalangan keluarga sendiri. Berikut adalah beberapa cadangan mudah yang boleh kita gunakan untuk membantu anak-anak membangunkan kemahiran membaca:

  • Pastikan anak-anak memerhati kita membaca secara tetap. Apa yang kita baca tidak penting - apabila melihat kita  membaca resipi, majalah, surat khabar, buku, dan bahan bacaan yang lain, ia akan mengukuhkan kepentingan membaca.

  • Untuk merangsang minat membaca, simpan bahan-bahan bacaan di seluruh rumah, di meja makan, di dalam bilik air, di dapur, di bilik tidur dan sebagainya. Ini akan meningkatkan  dan memudahkan anak-anak mendapatkan buku-buku dan bahan bercetak. Bantu mereka untuk memahami bahawa membaca tidak hanya berlaku di sekolah - ia boleh berlaku di mana-mana sahaja. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang membaca di luar sekolah adalah pelajar yang lebih berpengetahuan dan berjaya.

  • Jika kita tidak begitu lancar membaca, bercakaplah dengan anak-anak mengenai gambar-gambar yang ada di dalam buku, majalah dan surat khabar. Ia adalah penting untuk anak-anak melihat usaha yang kita lakukan untuk memperolehi kebolehan membaca. Di samping itu, minta  mereka membaca dengan kuat atau menceritakan semula  tentang apa yang mereka telah baca dengan menggunakan perkataan dan ayat mereka sendiri.

  • Bawa anak-anak ke perpustakaan awam selalu. Gunakan segala kemudahan yang ditawarkan di perpustakaan tersebut. Kita boleh mendapatkan kad perpustakaan untuk meminjam buku, CD, dan DVD secara percuma! Pastikan anak-anak kita juga ada kad perpustakaan mereka sendiri bagi membolehkan mereka meminjam buku kegemaran mereka.

  • Galakkan anak-anak membaca dalam bahasa ibunda. Membangunkan kemahiran membaca dalam bahasa ibunda tidak akan menghalang keupayaan anak-anak untuk membaca dalam Bahasa Inggeris - ia akan membantu!

  • Jangan biarkan anak-anak menonton televisyen sehingga mereka telah melakukan pembacaan harian mereka.

  • Apabila anak-anak kita telah boleh membaca dengan baik, berbuallah dengan mereka tentang apa yang telah mereka baca. Apabila anak-anak selesai membaca suatu cerita, bincangkan idea-idea utama, perkataan-perkataan baru dan konsep penggunaannya, serta seksyen atau watak yang menjadi kegemaran mereka. Ini akan membantu untuk mengukuhkan tahap kefahaman mereka.

Dengan mengambil langkah-langkah ini di rumah, kita bukan sahaja akan menggalakkan anak-anak untuk membaca  bahkan kita juga akan membantu mereka berjaya di dalam dan di luar kelas!


Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com