Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Dec 25, 2012

Analogi mendidik anak..motivasi buat ibu bapa



Membesarkan dan mendidik anak-anak adalah merupakan satu cabaran bagi ibu bapa lebih-lebih lagi dalam zaman yang serba serbi canggih seperti sekarang. Anak-anak bukan robot yang boleh kita programkannya untuk melakukan apa yang diarahkan. Ketika anak-anak masih kecil, kita melakukan segala yang termampu untuk memastikan mereka dapat yang terbaik bagi membantu mereka membesar menjadi manusia yang bertanggung jawab. Kadang-kadang proses membesarkan dan mendidik itu tidak menjadi selancar yang kita harapkan. Ibu bapa akan berasa kecewa apabila memikirkan anak-anak seperti tidak mendengar arahan. Lain yang disuruh, lain pulak yang mereka lakukan sedangkan sudah berkali-kali kita mengingatkan mereka tentang perkara yang sama. Ibu bapa kadang-kala hilang kesabaran apabila anak-anak tetap mengamuk walaupun sudah dididik bahawa mereka tidak akan mendapat apa yang mereka inginkan dengan mengamuk begitu. 


Ibu bapa menjadi gusar namun kita harus cuba sedaya upaya agar tidak berasa kecewa dan berputus asa. Adalah normal apabila anak-anak perlu diberi peringatan berulang kali (mungkin berjuta kali) sebelum didikan itu meresap masuk dan menjadi sebati di dalam jiwa mereka. Ada dua analogi yang boleh membantu kita dalam memahami bahawa pentingnya kesabaran dalam membesarkan dan mendidik anak-anak.


Analogi pertama ialah analogi bahasa. Di dalam proses kita belajar bahasa asing, kesabaran dan pengulangan adalah dua elemen yang penting. Kita tidak akan menjadi mahir berbahasa asing tersebut jika hanya menghadiri kelas dua atau tiga kali sahaja. Ia akan mengambil masa bertahun sebelum kita mahir  bercakap menggunakan bahasa tersebut. Walaupun cuma sepatah perkataan, ia tidak akan meresap masuk ke dalam ingatan jika kita mendengar sebutan perkataan itu cuma sekali sahaja. Ia perlu diulang berkali-kali, perlu didengar penggunaannya dalam perbualan dan kita perlu menggunakan perkataan itu dalam kehidupan seharian kita. Itu barulah dianggap kita betul-betul belajar bahasa asing tersebut.


Analogi kedua ialah analogi pokok. Membesarkan dan mendidik anak adalah seperti menanam sebatang pokok bermula daripada biji benih. Apabila biji benih disemai, ia perlu dijaga dengan teliti. Air dan cahaya matahari yang cukup perlu diperhatikan untuk memastikan biji benih itu bercambah. Apabila anak benih telah tumbuh, penjagaan harus diteruskan. Ia perlu disiram setiap hari dan diberi baja yang cukup bagi memastikan kesuburannya. Jika tidak, anak pokok tidak boleh hidup atau kalau hidup pun, pembesarannya mungkin terbantut. Sama juga dengan anak-anak kita. Mereka perlu disiram dengan tunjuk ajar dan dibaja dengan kasih sayang berulang kali untuk memastikan mereka membesar menjadi individu yang positif.


Kedua-dua analogi ini diharapkan dapat membantu kita melihat dan memahami bahawa tidak ada sebab untuk kita merasa gusar, terganggu dan tidak bersemangat jika anak-anak kelihatan seperti lambat belajar. Proses pembelajaran dan perkembangan memerlukan masa dan praktis. Seorang anak mungkin berkemampuan untuk memahami kenapa tantrum itu tidak positif tetapi dia memerlukan peringatan dan penjelasan yang berulang-ulang sebelum ia meresap masuk dan sebati dalam jiwanya.


Mungkin payah untuk kita menerima, memahami dan memaafkan apabila anak-anak membuat tingkah laku negatif yang sama berulang kali. Pergelutan ini adalah normal dan dilalui oleh hampir semua ibu bapa. Sama seperti anak-anak kita yang perlu belajar berkelakuan positif dengan praktis yang berulang-ulang, ibu bapa juga perlu belajar sacara praktis agar tidak menjadi terganggu apabila anak-anak membuat tingkah laku yang negatif. Ibu bapa yang mempunyai kefahaman dan kesabaran sertai tidak jemu-jemu mengajar dan mendidik anak-anak, di akhirnya akan menikmati segala usaha, ketelitian, titik peluh mereka terbayar apabila anak-anak membesar menjadi seorang insan yang berkualiti. In shaa Allah.

Share:

Dec 22, 2012

Pujian atau Dorongan?


Kata Rudolf Dreikurs…"anak memerlukan dorongan seperti pokok memerlukan air", dalam erti kata lain, dorongan adalah satu keperluan. Anak tidak akan mati tanpa dorongan tapi mereka akan menjadi layu atau tidak bersemangat.


Hasil kajian yang dilakukan oleh Carol Dweck, Ph.D. (seorang professor di Colombia University) menunjukkan bahawa pujian tidak begitu elok untuk anak-anak. Beliau mendapati bahawa pujian boleh menyebabkan anak-anak tidak suka mengambil risiko (takut untuk mencuba sesuatu yang baru). Anak-anak yang dipuji sebagai seorang yang bijak apabila mereka berjaya menyelesaikan sesuatu kerja/perkara akan memilih kerja yang lebih mudah di masa depan. Mereka tidak suka mengambil risiko untuk melakukan kerja yang lebih mencabar kerana takut gagal dan dianggap tidak bijak. Sebaliknya anak-anak yang mendapat dorongan atas usaha mereka lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu yang lebih mencabar.


Berikan dorongan kepada usaha yang dilakukan oleh anak bukan kepada peribadi anak. Jika selalu kita katakan begini.."Wahh..anak ayah dapat 8A. Ayah bangga dengan kamu. Kamu memang pandai" adalah lebih baik kita ubah sedikit cara dorongan kita kepada begini…"Tahniah, kamu telah berusaha keras untuk dapat 8A. Kamu memang layak". Kelihatan seperti tiada perbezaan tapi ia boleh mengubah persepsi anak.


Anak-anak memang suka dipuji. Siapa yang tidak suka bila dipuji? (Saya pun suka). Anggap saja pujian itu seperti gula-gula. Makan sedikit dan jarang-jarang makan tentu tidak memudharatkan tapi jika makan banyak dan makan hari-hari, lambat laun, tentu akan menimbulkan masalah dari segi kesihatan. Justeru ibu bapa harus berwaspada dalam memberikan pujian kepada anak-anak, jangan sampai mereka ketagihan kepada pujian. Ingin dipuji setiap masa, jika tidak dipuji, mereka tidak ada initiatif untuk melakukan sesuatu. Untuk hasil yang cepat, pujian memang memberi kesan. Kita tentu suka melihat anak kita gembira, seronok dan muka bercahaya apabila dipuji. Namun kesan jangka panjang tidak begitu positif. Pujian mendidik anak kita menjadi "approval junkies". Mereka belajar untuk bergantung kepada pujian/penilaian orang lain bagi mendapatkan harga diri. Manakala dorongan pula mendidik anak supaya bijak bermuhasabah dan menilai diri sendiri.


Dorongan yang berkesan memerlukan sikap yang positif di pihak ibu bapa. Jangan memperkecilkan pendapat anak-anak dengan menunjukkan kelakuan kita yeng memberi mesej kepada anak-anak bahawa pendapat mereka tidak penting atau tidak betul. Tunjukkan minat kita untuk meneliti apa yang diperkatakan oleh anak-anak serta memberi peluang kepada mereka untuk belajar memahirkan diri dalam apa saja kerja yang dilakukan. Ini akan membantu mereka meningkatkan keyakinan diri serta ketahanan dalam menghadapi kritikan/pendapat yang negatif daripada orang lain.

Share:

Dec 21, 2012

Kesan Kemarahan Kepada Anak



Terkebil-kebil mata bulat Maira melihat ayahnya mengamuk sebaik saja pulang dari pejabat. Dia tidak tahu apa yang menyebabkan ayahnya naik angin pada petang itu. Muka ayahnya masam, agaknya lebih masam dari cuka. Terhenti niat Maira untuk bermain-main dengan ayahnya sebagaimana biasa di waktu petang. Dia tidak berani mendekati ayahnya yang seperti singa betina apa lagi untuk bersuara. Dalam hatinya tertanya-tanya…

"Salah akukah kerana menyepahkan barang-barang mainan di ruang tamu?"
"Salah adikkah kerana menangis tak berhenti-henti?"
"Salah ibukah kerana asyik melayan adik yang menangis sehingga tidak sempat menyediakan minuman petang untuk ayah?"


Samada marah itu ditujukan kepada anak ataupun orang lain, ia bukanlah sesuatu pengalaman yang menyeronokkan apabila sikecil melihat ayah atau ibunya naik angin.

Apabila ibu atau bapa sendiri tidak suka anak mengamuk begitu juga anak. Mengamuk atau naik angin di depan anak-anak bukanlah tingkah laku yang wajar dilakukan oleh ibu atau bapa. Matthew McKay, seorang ahli saikologi dari Wright University di Berkeley, California (penulis “When Anger Hurt Your Kids”) berkata bahawa tingkah laku mengamuk itu boleh menyebabkan gangguan kepada jiwa dan emosi anak. Kajian menunjukkan bahawa tingkah laku mengamuk atau bergaduh di depan anak oleh ibu dan ayah boleh menyebabkan anak tersebut menjadi kurang empati.

Anak tersebut lebih cenderung untuk menjadi agresif dan depress jika dibandingkan dengan anak yang tinggal dalam persekitaran yang tenang di mana ibu dan ayah tidak mempamerkan atau bergaduh di depan anak. Selain daripada itu, anak tersebut juga akan menunjukkan kemunduran dalam bidang akedemik atau kurang menonjol ketika di sekolah disebabkan dia kurang berkemampuan untuk beradaptasi dengan persekitaran.

Menurut seorang lagi ahli saikologi, Robert Puff (penulis "Anger Work: How to Express Your Anger and Still Be Kind"), semakin muda usia anak, semakin besar kesan negatifnya. Dalam proses anak membesar, dia akan hilang kepercayaan (trust) terhadap ibu dan bapa. 

Justeru itu ibu dan ayah, perasaan marah itu normal tapi cara kita menunjukkan kemarahan itu yang mungkin tidak normal dan memberi kesan yang negatif kepada orang-orang yang berada di sekeliling kita. Cubalah kawal kemarahan sebaik mungkin. Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah menyarankan beberapa tips untuk mengawal kemarahan. Di antaranya ialah…

~  Istighfar
~  Senyum
~  Melihat cermin untuk melihat bagaimana hodohnya rupa kita ketika marah.
~  Lambatkan tindak balas dan tarik nafas. Oksigen akan menenangkan fikiran.
~ Ta'awuz (auzubillah..)
~ Banyak minum air
~ Ambil wudhu
~ Tukar tempat
~ Pecahkan dengan melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan riadah.
~ Jaga pemakanan (orang yang suka makan daging merah cepat marah)
~ Memaafkan orang lain
~ Ingat mati


Share:

Dec 13, 2012

"Ayah perlukan pelukanmu..."


Aris berusia 4 tahun. Selalu benar dia mengamuk. Kadang-kadang mengamuk tanpa sebab yang jelas. Apabila Aris mengamuk, Firdauslah yang selalu memujuk tetapi selalu berakhir dengan kekecewaan atau kemarahan. Isterinya, Aina sudah tidak kuasa lagi untuk memujuk Aris. Semakin dipujuk semakin menjadi. 


Suatu hari, Firdaus bertemu dengan seorang rakan lamanya. Tidak disangka, rakan lamanya itu rupanya seorang doktor kanak-kanak. Firdaus menceritakan masalah yang dihadapi olehnya dan isteri tentang anak mereka, Aris.


"Aku dah tak tahu nak buat apa.. Kalau dia mengamuk, berjam-jam pujuk pun tak jalan. Masalahnya setiap hari memang dia akan mengamuk. Kadang-kadang aku sendiri tak tahu kenapa dia mengamuk" keluh Firdaus kepada kawannya.

"Masa dia mengamuk tu..cuba minta dia peluk kau. Aku pernah terbaca satu artikel yang ditulis oleh seorang ahli psikologi kanak-kanak tentang hal ini. Kau cubalah..mana tau kalau-kalau cara tu sesuai dengan Aris" kata rakannya itu.


Apabila Aris mengamuk, Firdaus terus melakukan seperti yang disarankan oleh rakannya itu. Firdaus menurunkan badannya untuk memandang tepat ke dalam mata Aris. Kedua-dua tangannya memegang bahu Aris.


"Aris..dengar ni..ayah nak cakap. Aris anak ayah. Ayah sayang Aris. Hari ni ayah nak minta Aris peluk ayah kuat-kuat."


Aris memandang ayahnya dengan sedikit rasa hairan. Selalu, ayahnya yang memeluk dia ketika dia mengamuk.


"Peluk ayah?"

"Ya, peluk ayah."

"Sekarang?"

"Ya, sekarang. Ayah perlukan pelukan daripada Aris sekarang"


Aris berhenti menjerit. Dalam sedu sedan, dia memeluk ayahnya kuat-kuat sebagaimana yang dipinta oleh Firdaus. Akhirnya Aris tenang berada dalam pelukan ayahnya. Anak dan ayah itu berpelukan seketika.


"Aris, terimakasih kerana memeluk ayah. Ayah sangat perlukan pelukan daripada Aris"

"Aris pun perlukan pelukan daripada ayah"


Sejak hari itu, apabila Aris mengamuk, dia akan memeluk ayahnya.


A primary principle of positive discipline is 'Connection before Correction'. Pelukan merupakan salah satu teknik untuk  kita berhubung. Teknik ini mungkin berkesan kepada seseorang anak tetapi tidak berkesan kepada anak yang lain. Apa yang penting adalah ibu bapa memahami prinsip. Tidak susah untuk mencari teknik jika kita memahami prinsip.



Share:

Dec 9, 2012

Elakkan Daripada Terlalu Memanjakan Anak


Apa yang dimaksudkan dengan "lerlalu memanjakan" anak? Memeluk anak dengan kasih sayang tidak sama dengan memanjakan anak. Begitu juga, memuji, bergurau senda dengan anak serta menyelami/memahami perasaan mereka tidak termasuk dalam maksud "terlalu memanjakan" mereka.


Memanjakan anak  adalah apabila kita melakukan sesuatu perkara untuk mereka sedangkan perkara tersebut mereka sendiri boleh lakukan. Anak-anak dilahirkan dan dibekalkan dengan sifat dan keinginan untuk berdikari. Keinginan ini mula terserlah pada usia lebih kurang dua tahun. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak pada usia ini (toddler) tentu sudah biasa dengan perlakuan anak yang ingin memakai pakaian sendiri, mandi sendiri, makan sendiri dan sebagainya. 


"Mama, Lina nak tolong mama masukkan pakaian ini ke dalam mesin basuh. Lina nak basuh pakaian Lina sendiri" kata Lina yang berusia 5 tahun.

"Lina kecil lagi untuk basuh baju sendiri. Nanti mama basuhkan. Lina pergi main" balas ibu Lina.


Apabila Lina meningkat remaja, ibunya mengeluh apabila Lina tidak betah membasuh pakaiannya sendiri. 


"Lina, tolong ibu masukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh"

"Ala ibu..Lina sedang main komputer ni.."


Ibu bapa biasanya melakukan sesuatu perkara untuk anak kerana mereka tidak sabar atau tidak ada masa. Untuk memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh bagi anak yang berusia 5 tahun tentu mengambil masa. Ibu bapa tidak mempunyai masa yang panjang untuk mengajar dan melatih mereka. Lebih cepat dan mudah jika ibu bapa sendiri yang melakukannya. Ibu bapa juga bimbang anak-anak tidak melakukannya dengan betul dan sempurna. Ibu bapa tidak yakin, anak pada usia 5 tahun mampu membasuh pakaian dengan sempurna. Memang tidak sempurna sebab itulah ibu bapa harus menunjukkan caranya dan biar anak-anak berlatih. Practice makes better. Bantu dan buatlah bersama anak-anak sehingga mereka berkemampuan untuk melakukannya sendiri. Ini akan mengambil masa dan kita mengharapkan kesan jangka panjang. Kita perlu memberi peluang kepada anak-anak dan mendidik mereka untuk menjadi seorang yang berkeupayaan dan bertanggung jawab.




Share:

Oct 4, 2012

Anak Nakal



Ada kalanya kita menegur anak bukan kerana ingin membetulkan kesalahannya, tetapi ingin meluahkan perasaan marah dan geram. Sepatutnya kita cuba belajar kaedah terbaik menegur anak kerana jika salah cara dan pendekatan mendidik, anak semakin nakal. Anak2 belajar daripada ibu bapanya. Mereka juga belajar marah untuk menunjukkan kelakuannya. Sering berlaku anak tidak memahami dan mengetahui maksud perkataan yang diucapkan kerana mereka hanya meniru. Menunjukkan kasih sayang dalam menegur kesalahan menyebabkan anak lebih terbuka. Anak yang melakukan kesalahan belum memahami erti kesalahan sebenar. Jadikan marah sebagai senjata terakhir apabila semua usaha lemah-lembut gagal.
Share:

Sep 5, 2012

Menyayangi dan menerima anak...



Setiap anak adalah unik. Sama seperti orang dewasa, anak-anak juga mempunyai keistimewaan yang tersediri. Ada yang bijak dalam bidang matematik, ada yang bijak dalam bidang pertukangan dan sebagainya. Jika ibu dan bapa pernah melalui hari-hari yang lancar dan tidak lancar begitu juga anak-anak. Ada hari yang tidak begitu lancar bagi anak-anak lantas mereka menunjukkan tantrum dan tingkah laku yang menjengkelkan. Ada hari yang mereka berkelakuan yang menyenangkan hati ibu dan bapa.


Sebagai ibu bapa, biar bagaimanapun tingkah laku anak pada hari-hari tertentu, wajar kita menerima mereka seadanya. Jangan sampai tingkah laku kita memberi mesej kepada anak-anak bahawa mereka hanya akan diterima dan disayangi ketika mereka berkelakuan baik sahaja. Sebagai manusia biasa, ditambah lagi dengan perkembangan mereka yang belum matang, tingkah laku negatif itu tidak dapat dielakkan. Apabila kita menerima mereka tidak kira ketika mereka berkelakuan baik atau sebaliknya, sebenarnya kita menyampaikan mesej kepada anak-anak bahawa kita tidak mengharapkan kesempurnaan daripada mereka, tetap menghargai dan menyayangi mereka. Menerima anak-anak bukan bermakna kita bersetuju dengan tingkah laku negatif mereka tapi kita menerima mereka sebagai manusia yang tidak sempurna.


Ada ibu bapa yang terlampau banyak memberi teguran kerana mereka berfikir dengan berbuat begitu, anak-anak akan menjadi lebih baik. Teguran yang melampau dengan cara yang negatif kadang-kadang boleh menjadi sebaliknya. Bagaimana perasaan kita jika kawan kita setiap hari berkata begini kepada kita.. 


"Saya tahu apa yang tak betulnya dengan awak. Biar saya bagitau awak dan apa yang awak perlu buat ialah ubah perangai awak tu.."


Apa yang kita rasa, mungkin juga akan dirasai oleh anak kita. Walaupun kita mengharapkan anak-anak akan berkelakuan baik setiap masa, tetapi ada ketikanya mereka tidak menjadi seperti yang kita harapkan. Pada ketika itu, anak-anak sangat memerlukan kasih sayang dan penerimaan serta kefahaman dari ibu bapa. Malah ini juga yang mereka perlukan ketika mereka berkelakuan baik. Ini bermakna, tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, anak-anak memerlukan kasih sayang dan penerimaan dari ibu dan bapa.


Kes 1
Amar menunjukkan ringkasan yang ditulis untuk projek sejarah kepada ayahnya. Dalam ringkasan itu, guru sejarahnya banyak memberi komen.

"Cikgu Amin tak suka ringkasan Amar. Dia kata ringkasan yang Amar buat ini tidak lengkap dan kurang maklumat"

Ayah Amar meneliti ringkasan tersebut.

"Cuba Amar tengok komen cikgu di bahagian ini.. Cikgu tulis idea Amar di bahagian ini baik dan tepat. Dan ni..tengok apa cikgu tulis di sini..Cikgu kata ringkasan Amar padat cuma kurang detail saja"

"Betul la kata ayah.. Mungkin Amar kena bagi penerangan dengan lebih detail lagi.."


Kes 2
Leela berbohong kepada gurunya. Dia memberitahu cikgunya bahawa dia tertinggal homeworknya di rumah. Yang sebenarnya Leela tidak siap membuat homeworknya itu. Cikgu menalipon ibu Leela untuk memberitahu tentang hal tersebut. Malam itu, sewaktu hendak tidur, ibu Leena bertanya kepadanya. Leela menangis.

"Leela budak jahat..Leela tipu cikgu.."

"Leela, menipu memang salah tapi Leela bukan budak jahat. Leela cuma buat pilihan yang tidak tepat di depan cikgu siang tadi …iaitu antara bercakap benar dan bercakap bohong. Jom kita tengok apa yang patut kita buat untuk membetulkan keadaan"


Dalam kedua-dua kes, ayah Amar dan ibu Leela menerima anak mereka seadanya tetapi itu tidak bermakna mereka bersetuju dengan tingkah laku negatif yang dilakukan oleh anak masing-masing. We can accept our children without accepting their misbehaviour.


Share:

Sep 4, 2012

Anak Bermasalah Disekolah.


Seringkali ibubapa beranggapan bahawa anaknya memiliki masalah disekolah kerana anaknya memang nakal. Namun sebenarnya, jarang sekali ada anak yang ingin menjadi nakal atau membuat masalah jika tidak disebabkan oleh hal lain terlebih dahulu. Hal-hal biasa berasal dari berbagai pihak: guru, teman, pelajaran, dan ibubapa sendiri. Sementara faktor-faktor yang lain tidak mampu kita kendalikan, faktor yang terakhir - kita sendiri sebagai ibubapa -  adalah yang paling berpengaruh dan kita dapat melakukan sesuatu untuk mengubahnya. Banyak kes di mana anak mencari atau membuat masalah di sekolahnya kerana kurangnya perhatian dan penghargaan dari ibubapa.

Cara2 disiplin yang ibubapa patut elakan :

Menerapkan disiplin yang keras.
Nilai prestasi yang mereka capai di sekolah, lalu menerapkan disiplin yang tegas agar anak dapat ‘dipantau' kegiatan belajarnya dan memperoleh keputusan yang baik.

Membebani anak dengan kelas2 yang tidak mereka inginkan.
Ibubapa tidak puas atas apa yang dicapai oleh anak, lalu menambahkan berbagai kelas mata pelajaran dan kelas seni seperti  piano, balet/ tari, les gambar, dan lain-lain. Mereka berharap dengan memberikan anak mereka berbagai macam kelas tersebut, anak mereka akan lebih pandai, tanpa menyadari betapa berat beban yang ditanggung anak-anak dalam mengerjakan semuanya itu.

Membanding-bandingkan anaknya dengan anak lain.
Ibubapa melakukan ini dengan harapan anaknya akan bersemangat untuk menjadi lebih baik, tanpa menyedari bahawa hati anak terluka kerana merasa tidak diinginkan.

Berfokus pada kesalahan anak.
Hal ini biasa disebabkan kerana ibubapa memiliki harapan bahawa anaknya akan selalu menjadi anak yang baik, yang sempurna, sehingga kesalahan kecil anak  membuat ibubapa menjadi marah.

Membuatkan keputusan untuk anak walaupun mereka sudah mampu memilih.
Dengan melakukan hal ini ibubapa menunjukkan rasa tidak percaya bahawa anak mampu membuat keputusan, dan tidak melatih anak untuk bertanggung jawab atas pilihannya sendiri. Anak akan merasa bahawa suaranya tidak penting untuk didengar, dan haknya sebagai individu dihadkan.

Tidak mengucapkan penghargaan.
Ketika anak melakukan sesuatu yang baik, ibubapa menganggap bahawa hal itu harus atau sudah sewajarnya dilakukan anak, sehingga tidak ada pujian untuk anak.


Pengaruh rakan sebaya juga dapat mempengaruhi murid bertingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah. Nilai-nilai rakan yang negatif seperti malas, tidak bertanggungjawab, kurang menghormati orang lain dan tidak mematuhi peraturan akan mempengaruhi pelajar dalam kelas. Terdapat juga pelajar yang kurang sihat kerana gangguan emosi disebabkan keadaan keluarga yang kurang harmonis akan menimbulkan masalah tingkah laku dalam bilik darjah.



Share:

Aug 26, 2012

Masa Berkualiti Bersama Anak2


Masa berkualiti ibu bapa bersama anak semakin berkurangan akibat beban kerja ibu bapa dan anak pula sibuk degan aktiviti sekolah serta tuisyen. Tetapi apabila masa untuk bersama anak terhad disebabkan oleh keadaan, adalah penting masa yang terluang itu dimanfaatkan secara berkualiti.


Meluangkan masa dengan anak adalah sangat penting. Setiap ibu bapa melakukannya, dan ramai ibu bapa berkata bahawa ia dilakukan menerusi penghantaran anak dari satu tempat ke tempat yang lain. Malangnya, perspektif yang anak2 ambil adalah berbeza daripada orang dewasa. Oleh itu, masa umum yang ibu bapa luangkan dengan anak tidak dianggap sebagai menyeronokkan. Bagi seseorang anak, bermain adalah menyeronokkan, dan oleh itu ibu bapa perlu mencari sedikit masa setiap hari untuk bermain dengan anak. 


Berikut adalah beberapa petua yang boleh kita amalkan bersama :

Tidak ada masa yang paling pendek tetapi paling berkualiti selain dari solat berjemaah bersama keluarga. Paling mudah ialah solat subuh yang hanya dua rakaat. Jumlah masa yang diperlukan tidak sampai pun 15 minit, tetapi ia cukup bermakna kerana disitulah bermulanya hari kita.

Disebabkan waktu siang pada kebiasaannya semua sibuk, kenapa tidak jadikan makan malam sebagai waktu untuk bersama. Makan sekeluarga memainkan peranan penting untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Rancang percutian bersama keluarga. Bercuti bersama anak adalah contoh menggunakan masa secara berkualiti.

Masa yang berkualiti bukan sahaja perlu diberikan untuk seisi keluarga tetapi ibu bapa hendaklah adakan masa untuk bersama dengan setiap anak secara individu. Adalah satu kesilapan apabila ibu bapa sangkakan semua aktiviti mesti dilakukan bersama sebab ada ketikanya anak mahu dilayan secara bersorangan.

Perancangan masa untuk bersama anak2 adalah salah satu agenda penting. Ramai ibu bapa merasa tidak punya masa untuk anak sedangkan hakikatnya kita tidak pernah merancang masa untuk bersama mereka.

Share:

Jul 30, 2012

bagaimana berkomunikasi dengan anak-anak

Share:

Jul 28, 2012

Ibu bapa berperanan melatih kreativiti anak.




Bumi berputar, zaman beredar. Jika dulu, alam menjadi tempat permainan bagi anak-anak, sekarang tidak lagi. Jika anak-anak dulu menjadikan padang, ranting kayu, daun-daun pokok, sungai, parit sebagai alat permainan mereka namun anak-anak sekarang, mereka tidak begitu kreatif menggunakan alam semulajadi untuk tujuan bermain. Anak-anak sekarang lebih leka bermain dengan alat-alat canggih seperti komputer dan 'playstation'. Jika mereka diletakkan dalam situasi yang tidak dibekalkan dengan alat-alatan canggih tersebut, mereka akan mati kutu dan bosan. Kita jangan terburu-buru menyalahkan teknologi moden kerana menurut penelitian, rasa kurang berminat di kalangan anak-anak untuk berkreasi dengan alam semulajadi disebabkan oleh ibubapa sendiri.


Kebanyakan anak-anak kecil terbawa-bawa dengan sikap dan sifat yang dipelajari dan ditiru dari orang-orang yang mereka sayang dan berada di sekitar mereka terutamanya ibu bapa mereka sendiri. Menurut kaji selidek yang dibuat oleh MSN, sebanyak 61% ibu bapa bergantung kepada sekolah, televisyen dan permainan komputer bagi mengembangkan kreativiti anak-anak padahal proses tersebut harus dilakukan oleh ibu bapa secara personal. 


Peranan ibu bapa sangat penting dalam proses mengembangkan daya kreatif dan imajinasi anak-anak. Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bermain dan merangsang daya kreativiti anak-anak. Anak-anak pun akan selalu mengingati pengalaman yang menyeronokkan bermain bersama ibu bapa ~ Kirsten O'Brien (pakar acara seni kanak-kanak)

Kreativiti adalah elemen penting dalam perkembangan setiap anak. Sama seperti matematik dan bahasa, kreativiti perlu latihan dan diajar. Kreativiti membawa kepuasan jika diajar sejak kecil dan dilatih sepanjang masa kanak-kanak. ~ Paul Geraghty (penulis buku 'the hunter and dinosaur')


Sayangnya, ibu bapa banyak memberi alasan mengapa mereka tidak berkreasi bersama-sama anak-anak. Di antara alasan mereka ialah ibu bapa sendiri tidak ada bakat kreativiti dan mereka tidak ada waktu yang terluang untuk bersama dengan anak-anak.


Kaji selidek yang dibuat oleh MSN juga menunjukkan bahawa membaca buku bersama-sama keluarga adalah kegiatan yang paling digemari oleh anak-anak. Bermakna, bukanlah menjadi perkara yang sukar untuk membuatkan anak-anak merasa gembira dan ceria. Ada pelbagai aktiviti yang tidak memerlukan belanja yang mahal serta mudah yang dapat ibu bapa lakukan bersama anak-anak. Contohnya bermain 'puzzle', melukis, membuat krafttangan dan sebagainya. Banyak idea boleh didapati dengan mudah melalui internet. Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri…hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.


Share:

Jul 27, 2012

Afirmasi kendiri (Self Afirmation)

Share:

Jun 22, 2012

Perkembangan emosi (2 - 7 months)




Ketika dalam usia ini bayi telah berupaya untuk membuat hubungan mata  (eye contact) dengan ibubapa, senyum dan mengeluarkan bunyi (cooing). Ketika dalam keadaan jaga, bayi akan aktif. Interaksi dan tindakbalas daripada ibubapa akan mencipta satu hubungan perasaan yang unik di antara bayi dan ibubapa (attachment relationship)


Interaksi dan tindakbalas berterusan yang diberi oleh ibubapa akan membantu bayi mempelajari untuk menenang dan mengawal diri mereka sendiri. Ada sel-sel yang tertentu di otak akan tumbuh berkembang ketika ibubapa berinteraksi dengan bayi. Sel-sel ini ada kaitan dengan pengawalan denyutan jantung dan emosi bayi. Ketika berusia dalam lingkungan 4 bulan, bayi berupaya untuk memusatkan penglihatannya  sejauh 2 kaki. Secara kebetulan, inilah jarak ketika ibu menyusukan bayi dan membolehkan bayi melihat dengan jelas expresi wajah kita. Digalakkan ibu memberi expresi yang positif ketika ini seperti senyuman dan keceriaan. Menyediakan persekitaran yang ceria dan seronok (joy and pleasure) adalah penting untuk perkembangan otak bayi.


Share:

Aduhai anakku..jangan menangis! (part 2)





Pada entri yang lepas, saya sediakan dua kes (aktiviti penyusuan bayi yang berusia 0 - 2 bulan) untuk sama-sama kita teliti.


Kes pertama

Seorang ibu muda (mungkin anak sulong) tersedar apabila bayi menangis. Waktu itu pukul 3 pagi. Ibu muda itu cepat-cepat bangun dan pergi mendapatkan anaknya. Bayi boleh mengesan lampu dipasang kemudian dia rasakan sentuhan dan dakapan sayang ibunya. Walaupun mungkin ketika itu bayi lapar, namun apabila merasakan sentuhan dan dakapan ibu, bayi akan bertenang. Untuk setengah jam bayi menyusu, kadang-kadang bayi berhenti sambil memandang ke wajah ibunya. Si ibu pula bersuara lembut bercakap dengan bayinya sambil tersenyum. Setelah puas minum, ibu muda itu menepuk-nepuk belakang bayi hingga bayinya kembali tidur dengan tenang dan aman.


Apa yang bayi pelajari….

Tangisan dan keperluannya dipenuhi oleh ibunya dengan kelembutan. Bayi mula merasai bahawa dia boleh berkomunikasi dengan ibunya. Apa yang lebih penting ialah bayi mula merasai dirinya berharga dan penting serta mula membentuk kepercayaan terhadap dirinya dan juga kepercayaan terhadap orang lain. This is an essential start for emotional development.


Kes kedua

Situasi hampir sama, pukul 3 pagi seorang ibu muda tersedar apabila terdengar tangisan bayi. Ibu yang mungkin kali pertama melahirkan cahaya mata, belum ada pengalaman barangkali, bila terdengar tangisan bayi itu, hatinya menjadi geram kerana si ibu baru saja terlena setelah bergaduh besar dengan ayah si bayi. 

"Diamla!" si ibu menjerit. 

Bayi itu semakin kuat menangis. Kerana tidak tahan mendengar tangisan itu, si ibu bangun dengan perasaan yang tertekan sambil mendapatkan bayinya. Bayi itu diangkat dengan kasar dan diberi minum susu. Ketika minum, si ibu merungut tentang bermacam-macam perkara. Sebenarnya bayi itu boleh merasakan ketegangan yang dialami oleh ibunya. Bayi itu kemudian berhenti menyusu dan menangis semula. Si ibu bertambah tertekan dan naik angin. Si ibu meletakkan semula bayi yang sedang menangis di atas katilnya dan melarikan dirinya ke dapur. Bayi akhirnya berhenti menangis dan terlena keletihan.



Apa yang bayi pelajari….

Bayi dalam kes kedua juga mempelajari sesuatu. Tangisan dan keperluannya dipenuhi dengan cara yang kasar dan distress. Tangisannya dijawab dengan kemarahan dan suara yang nyaring. Dari situ bayi merasai yang dirinya tidak berharga dan keperluannya tidak begitu penting sehingga dia diabaikan. Dia mula membentuk kepercayaan bahawa tiada orang yang boleh diharap dan dipercayai.


When either of the two above cases are repeated again and again, the effect on the baby's sense of self and of the world are profound. So parents, take note of this! Through the experience of being cared for, the baby is beginning to learn how to regulate his/her emotional state and calm down. Areas of the brain that regulate bodily functions like heart rate, temperature and sleep are developing in these early months. When we hold the crying baby and calm him/her by talking or rocking, the baby is learning that intense distress can decrease. At first the baby relies on us, and then develops ways to calm himself/herself over time. This is not only for feeding time but also for all activities as well. Please..handle your fragile baby with care during these early months..

Share:

Aduhai anakku..jangan menangis!


[mother.jpg]


Kajian ada menunjukkan bahawa ibubapa mahir tentang tahap demi tahap perkembangan fizikal anak-anak sejak dari hari pertama anak dilahirkan (seperti duduk, merangkak, berjalan etc) kerana tumbesaran fizikal nampak jelas di mata. Walaubagaimana pun ibubapa agak ragu-ragu tentang perkembangan minda, sosial, dan lebih-lebih lagi emosi dan spiritual. Sebagaimana yang selalu saya katakan, semua perkembangan itu berlaku serentak. Perkembangan fizikal berlaku serentak bersama perkembangan minda, sosial, emosi dan spiritual. Contohnya ketika anak kita mula boleh berjalan, dalam masa yang sama dia mula merasakan sesuatu tentang dirinya ("aku dah boleh berdikari sekarang"). Stimulasi dan pendidikan yang diberi wajar meliputi semua aspek perkembangan ini.


Di antara usia 0 hingga 3 tahun, mungkin kita boleh ceraikan perkembangan anak kepada 4 fasa yang berbeza untuk memudahkan kita memahaminya. Dalam 4 fasa yang berbeza ini, ada perkembangan-perkembangan tertentu yang ibubapa harus tahu dan kemudian mereka dapat menyediakan persekitaran yang boleh menggalakkan perkembangan tersebut. 4 fasa perkembangan tersebut ialah:
0 - 2 bulan 2 - 7 bulan 7 - 15 bulan 15 - 36 bulan 
Fasa-fasa ini merupakan satu guideline semata-mata. Setiap anak-anak berkembangan mengikut tahap mereka sendiri. Ada anak-anak yang agak cepat dan ada anak-anak yang agak lambat sedikit perkembangannya. Selagi perkembangan mereka berada di dalam 'range' yang menasabah, ibubapa tidak perlu risau.


Saya mulakan dengan fasa yang pertama iaitu ketika anak berusia 0 hingga 2 bulan. Di sini ada dua kes yang hampir sama.


Kes pertama

Seorang ibu muda (mungkin anak sulong) tersedar apabila bayi menangis. Waktu itu pukul 3 pagi. Ibu muda itu cepat-cepat bangun dan pergi mendapatkan anaknya. Bayi boleh mengesan lampu dipasang kemudian dia rasakan sentuhan dan dakapan sayang ibunya. Walaupun mungkin ketika itu bayi lapar, namun apabila merasakan sentuhan dan dakapan ibu, bayi akan bertenang. Untuk setengah jam bayi menyusu, kadang-kadang bayi berhenti sambil memandang ke wajah ibunya. Si ibu pula bersuara lembut bercakap dengan bayinya sambil tersenyum. Setelah puas minum, ibu muda itu menepuk-nepuk belakang bayi hingga bayinya kembali tidur dengan tenang dan aman.

Kes ini adalah kes biasa - seorang ibu menyusui bayinya yang baru lahir. Tapi yang tersirat di sebalik yang tersurat adalah yang luar biasa. Bayi mempelajari sesuatu dengan situasi ini. Apa agaknya yang dipelajari oleh bayi itu?


Kes kedua

Situasi hampir sama, pukul 3 pagi seorang ibu muda tersedar apabila terdengar tangisan bayi. Ibu yang mungkin kali pertama melahirkan cahaya mata, belum ada pengalaman barangkali, bila terdengar tangisan bayi itu, hatinya menjadi geram kerana si ibu baru saja terlena setelah bergaduh besar dengan ayah si bayi. 

"Diamla!" si ibu menjerit. 

Bayi itu semakin kuat menangis. Kerana tidak tahan mendengar tangisan itu, si ibu bangun dengan perasaan yang tertekan sambil mendapatkan bayinya. Bayi itu diangkat dengan kasar dan diberi minum susu. Ketika minum, si ibu merungut tentang bermacam-macam perkara. Sebenarnya bayi itu boleh merasakan ketegangan yang dialami oleh ibunya. Bayi itu kemudian berhenti menyusu dan menangis semula. Si ibu bertambah tertekan dan naik angin. Si ibu meletakkan semula bayi yang sedang menangis di atas katilnya dan melarikan dirinya ke dapur. Bayi akhirnya berhenti menangis dan terlena keletihan.


Ini juga kes yang pernah berlaku - seorang ibu menyusui bayinya dalam keadaan yang tertekan. Juga ada yang dipelajari oleh bayi dengan situasi ini. Tapi apa yang dipelajari oleh bayi dalam kes pertama tentu berbeza dengan apa yang dipelajari oleh bayi dalam kes kedua. 

bersambung...

Share:

Panduan stimulasi bayi anda



BUKAN semua ibu dilahirkan dengan ilmu cara mendidik anak yang sempurna. Tapi yang pasti semuanya mahukan bayi mereka membesar menjadi kanak-kanak yang bijak dan cerdas. Cara stimulasi pada bayi di tahun pertama usia mereka amat penting bagi memastikan maksud anda tercapai.


Panduan yang diambil dan disusun semula dari buku bertajuk What to Expect the First Year, tulisan A. Eisenberg, H. Murkoff dan S. Hathaway, sesuai untuk ibu bapa yang buntu tentang cara merangsang bayi mereka.


Sebanyak sembilan cara stimulasi yang di bawah mungkin boleh memberi idea kepada ibu bapa untuk mendapatkan bayi yang cergas dan cerdas.


1) Berikan anak bahan-bahan untuk mengembangkan kreativiti.
Berikan anak melukis dengan menggunakan krayon dan kertas. Alaskan kertas di lantai atau meja. Pastikan anda sentiasa berada di samping mereka supaya anak tidak boleh memasukkan krayon tersebut ke dalam mulut. Jangan biar anak menggunakan pensel atau pen kerana bentuk objek itu tajam.

Selain melukis dengan krayon, penggunaan alat muzik juga dapat merangsang bayi. Gunakan senduk kayu dan ketuk periuk, beri contoh kepada anak anda dahulu dan kemudian awasi mereka apabila senduk diberikan kepada mereka untuk meniru aksi anda tadi.


2) Biar mereka mengambil dan meletakkan mainan sendiri.
Berikan mainan seperti memasukkan bongkah berbentuk segi tiga atau segi empat ke dalam lubang-lubang yang sesuai kepada anak-anak. Bayi umumnya akan lebih pandai mengeluarkan bongkah tersebut daripada memasukkannya semula. Jika anda tidak memiliki mainan seumpama itu boleh juga menggunakan kotak kosong, mangkuk plastik dan gunakan gumpalan kertas untuk dimasukkan ke dalamnya. Pastikan objek yang digunakan bersaiz sesuai agar anak tidak boleh menelan dan seterusnya mendatangkan bahaya kepada mereka. Anda juga boleh menggunakan pasir dan air untuk latihan menuang ke dalam bekas dan bayi biasanya menyukai kedua-dua bahan ini, tetapi pengawasan yang ketat amat perlu.


3) Latih bayi bermain mainan yang menguji kecekapan tangannya.
Mainan yang perlu diputar, ditekan, ditarik, disorong seperti kereta mainan akan membantu anak untuk mengunakan tangannya dalam pelbagai cara. Ibu bapa perlu menunjukkan terlebih dulu kepada anak sebelum anak dapat menggunakan mainan ini. Apabila si anak sudah mula mahir akan permainan seperti ini, ia boleh melalaikan mereka sehingga berjam-jam.


4) Beri mainan kepada anak ketika mandi di bilik air.
Mainan di bilik mandi banyak mengajar bayi tentang konsep kegembiraan. Buatlah buih-buih gelembung untuk anak, percikkan air dan permainan seperti itik berenang agar anak akan merasa gembira.


5) Permainan mengikut pergerakan ibu bapa.
Bapa menepuk tangan, ibu juga sama, perlakuan seperti ini akan membuatkan anak mengikut gerak ibu dan bapa. Ajarkan juga pergerakan lain seperti melambai, salam dan sebagainya. Bayi akhirnya akan menguasai pergerakan tersebut dan mereka juga boleh melakukannya ketika bersama bayi lain.


6) Terangkan kepada anak tentang buku, majalah, atau apa saja yang bergambar.
Anda tentu tidak dapat memelihara pelbagai binatang di rumah, tapi anda boleh memperkenalkan jenis binatang kepada anak anda dengan melihat buku atau majalah. Mungkin anak akan cepat jemu kerana tahap penumpuan perhatian mereka masih terhad, namun percayalah amalan melihat buku ini akan menerbitkan minatnya untuk membaca kelak.


7) Bahan untuk permainan berimaginasi.
Alatan permainan memasak atau cara penjagaan bayi amat sesuai untuk bayi perempuan. Untuk bayi lelaki pula boleh mencuba mainan seperti kereta, lori, topi dan sebagainya. Permainan seperti ini dapat meluaskan daya imaginasinya.


8) Benarkan anak pergi ke tempat yang selamat untuk belajar memanjat.
Bayi memang suka menaiki tangga di rumah (jika anda tidak dapat mengawasi mereka, sebaiknya letakkan penghadang keselamatan) .. Untuk merangsang bayi agar otot mereka kuat dan minda cerdas, cuba biarkan bayi memanjat dan bergayut. Biarkan mereka melakukannya sendiri tetapi berdirilah dekatnya dan bersedia untuk menyelamatkan jika diperlukan.


9) Bawa anak merasai suasana yang baru dan berlainan.
Rumah yang sama, kereta yang sama akan membuatkan bayi bosan. Apa kata bawa bayi ke taman permainan dan padang yang luas bagi bayi merasai suasana menakjubkan di luar sana. Tidak salah sesekali bawa mereka keluar pada waktu hujan agar mereka dapat pengalaman belajar.


***Artikel dari Taman2 Syurga 

Share:

Rangsangan sentuhan ibu



Ibu yang kerap bercakap dan menyentuh bayi mereka membantu merangsang perkembangan sosial bayi.


Sentuhan merupakan salah satu cara yang paling berkesan bagi ibu untuk melahirkan kasih sayang kepada permata hati. Sama ada pada waktu makan, bermain, mandi atau menukar lampin, sentuhan menjalin perasaan kasih yang lebih mendalam buat si manja.


Melalui sentuhan itu jugalah, bayi belajar bersosial dan berkomunikasi mengikut tahap perkembangan usianya. Sekiranya seseorang bayi itu memperoleh sentuhan yang kerap daripada ibunya, perubahan perkembangan tumbesaran dan kemahiran derianya akan memberi respons dan interaksi dengan orang tersayang dengan lebih cepat berbanding dengan bayi yang kekurangan belaian.


Perunding Pediatrik dan Neonatologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Anna Padmavathy Soosai berkata, sentuhan lembut seorang ibu merupakan pemangkin kepada perkembangan sosial bayi.


Pada peringkat usia dua bulan, senyuman dan sentuhan ibu semasa menyusu, mandi, menyalin lampin atau memakaikan baju adalah detik bayi mengenal siapa ibunya.


"Sentuhan itu seolah-olah bertindak sebagai pelindung dan luahan kasih sayang yang begitu mengasyikkan oleh seorang yang telah mengandung dan melahirkannya ke dunia ini. Pada waktu usia yang awal inilah detik terbaik untuk ibu menyentuh dan membelai bayi. Adalah suatu yang merugikan sekiranya tidak berbuat demikian dan hanya menyerahkan kepada pembantu rumah melakukannya. Ibu sebenarnya kehilangan peluang untuk mengasihi bayi yang di kandung selama sembilan bulan 10 hari itu kerana waktu inilah mereka mula mengenal ibunya dan memperoleh kasih sayang," katanya.


Menurut Dr. Anna, salah satu perkara yang sering dilakukan oleh ibu bapa yang baru memperoleh anak ialah membeli pelbagai jenis permainan. Ini sebenarnya tidak perlu terutama pada usia di bawah empat bulan kerana bayi hanya boleh melihat pelbagai warna ketika berusia empat bulan.


Pada usia bawah empat bulan, bayi hanya inginkan sentuhan dan wajah ibunya sahaja. Justeru itu, dinasihatkan ibu-ibu supaya sentiasa bercakap-cakap dengan bayi kerana ia adalah rangsangan kepada perkembangan sosial yang paling berkesan.


"Terdapat empat tanda jalinan kasih sayang yang sering dilihat pada bayi yang mendapat kasih sayang yang sepenuhnya daripada seorang ibu. Bagaimanapun ia boleh dilihat mengikut peringkat usia. Pada peringkat usia sebulan, bayi anda akan mula tersenyum, dua bulan (mula mengeluarkan suara), empat bulan (cuba mencapai ibunya, menatap mata bayi menjadi lama dan bayi bergelak ketawa)," ujarnya.


Empat tanda jalinan kasih sayang

=>Bayi tersenyum lebih kerap
Percaya atau tidak, menyentuh bayi anda boleh membuatnya tersenyum dengan lebih kerap, yang membuktikan keeratan anda berdua. Sedang bayi anda membesar, anda akan sedar bahawa senyumannya akan menjelma tiap kali anda berada di sampingnya atau setiap kali bayi menjangka kehadiran anda. Senyuman-senyuman ini menandakan bahawa dia berasa selamat dalam dunianya dan sudah bersedia untuk mempelajari tentang dunia yang sebenar kelak nanti.


=>Bayi cuba mencapai kepada ibunya
Apabila bayi cuba mencapai kepada si ibu, bayi mungkin cuba memberitahu si ibu untuk memeluk dan membelainya; untuk merapatinya atau si bayi gembira dengan kehadiran ibu.


Apa yang penting, bayi sedang menunjukkan rasa perlunya terhadap ibu, dan ini menandakan hubungan erat antara ibu dan anak. Semasa anak membesar, tindak balas positif anda tiap kali si manja mencapai ke arah anda akan membantu bayi lebih sedar akan pergerakannya dan cara membuat pergerakan yang bermakna.


=>Bayi bergelak ketawa
Bayi ketawa untuk menunjukkan perasaannya. Selain menunjukkan rasa teruja dan gembira, gelak pertama bayi menandakan perkembangan sosialnya kerana merupakan suatu tindak balas yang berlaku apabila dia berkongsi dunianya dengan orang tersayang.


Apabila bayi gelak sebagai salah satu cara untuk bertindak balas dengan anda, ia merupakan cara bayi untuk memberitahu betapa seronoknya dia meluangkan masa dengan anda.


Dengan berbunyi-bunyi manja pada waktu kehadiran anda, bayi menunjukkan bahawa mereka mengenali anda, dan sedang berhubung dengan anda. Dalam erti kata lain, bunyi-bunyi tersebut menandakan kegembiraannya dan juga sebagai tindak balasnya bagi kasih sayang, sentuhan dan perhatian yang anda berikan.



=>Tatapan mata bayi menjadi lebih lama
Bayi juga menggunakan isyarat mata untuk berhubung. Apabila bayi menatap mata anda, suatu mesej berbaur kasih sayang mengalir antara bayi kepada anda yang meningkatkan kasih sayang antara anda dan si manja.


Pandangan mata yang kemudiannya berkembang menjadi tatapan yang lama, merupakan salah satu kebolehan bayi yang dapat anda sedari. Pada hari-hari awalnya, bayi akan memberi sepenuh perhatian kepada anda, dan lirikan matanya akan mengekori anda apabila anda hampir dengannya.


Melihat muka anda yang telah dia kenal seolah-olah mampu menenangkan si manja. Ada kalanya anda juga mendapati si manja seolah-olah sedang termenung ke arah anda. Ini adalah kerana bayi sedang cuba mengingat muka anda dan mengenal pasti bagaimana rupanya kasih sayang dan keselesaan.

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Sumber: my mailing list

Share:

Recent Posts

Blogviews

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com