BUKAN semua ibu dilahirkan dengan ilmu cara mendidik anak yang sempurna. Tapi yang pasti semuanya mahukan bayi mereka membesar menjadi kanak-kanak yang bijak dan cerdas. Cara stimulasi pada bayi di tahun pertama usia mereka amat penting bagi memastikan maksud anda tercapai.
Panduan yang diambil dan disusun semula dari buku bertajuk What to Expect the First Year, tulisan A. Eisenberg, H. Murkoff dan S. Hathaway, sesuai untuk ibu bapa yang buntu tentang cara merangsang bayi mereka.
Sebanyak sembilan cara stimulasi yang di bawah mungkin boleh memberi idea kepada ibu bapa untuk mendapatkan bayi yang cergas dan cerdas.
1) Berikan anak bahan-bahan untuk mengembangkan kreativiti.
Berikan anak melukis dengan menggunakan krayon dan kertas. Alaskan kertas di lantai atau meja. Pastikan anda sentiasa berada di samping mereka supaya anak tidak boleh memasukkan krayon tersebut ke dalam mulut. Jangan biar anak menggunakan pensel atau pen kerana bentuk objek itu tajam.
Selain melukis dengan krayon, penggunaan alat muzik juga dapat merangsang bayi. Gunakan senduk kayu dan ketuk periuk, beri contoh kepada anak anda dahulu dan kemudian awasi mereka apabila senduk diberikan kepada mereka untuk meniru aksi anda tadi.
2) Biar mereka mengambil dan meletakkan mainan sendiri.
Berikan mainan seperti memasukkan bongkah berbentuk segi tiga atau segi empat ke dalam lubang-lubang yang sesuai kepada anak-anak. Bayi umumnya akan lebih pandai mengeluarkan bongkah tersebut daripada memasukkannya semula. Jika anda tidak memiliki mainan seumpama itu boleh juga menggunakan kotak kosong, mangkuk plastik dan gunakan gumpalan kertas untuk dimasukkan ke dalamnya. Pastikan objek yang digunakan bersaiz sesuai agar anak tidak boleh menelan dan seterusnya mendatangkan bahaya kepada mereka. Anda juga boleh menggunakan pasir dan air untuk latihan menuang ke dalam bekas dan bayi biasanya menyukai kedua-dua bahan ini, tetapi pengawasan yang ketat amat perlu.
3) Latih bayi bermain mainan yang menguji kecekapan tangannya.
Mainan yang perlu diputar, ditekan, ditarik, disorong seperti kereta mainan akan membantu anak untuk mengunakan tangannya dalam pelbagai cara. Ibu bapa perlu menunjukkan terlebih dulu kepada anak sebelum anak dapat menggunakan mainan ini. Apabila si anak sudah mula mahir akan permainan seperti ini, ia boleh melalaikan mereka sehingga berjam-jam.
4) Beri mainan kepada anak ketika mandi di bilik air.
Mainan di bilik mandi banyak mengajar bayi tentang konsep kegembiraan. Buatlah buih-buih gelembung untuk anak, percikkan air dan permainan seperti itik berenang agar anak akan merasa gembira.
5) Permainan mengikut pergerakan ibu bapa.
Bapa menepuk tangan, ibu juga sama, perlakuan seperti ini akan membuatkan anak mengikut gerak ibu dan bapa. Ajarkan juga pergerakan lain seperti melambai, salam dan sebagainya. Bayi akhirnya akan menguasai pergerakan tersebut dan mereka juga boleh melakukannya ketika bersama bayi lain.
6) Terangkan kepada anak tentang buku, majalah, atau apa saja yang bergambar.
Anda tentu tidak dapat memelihara pelbagai binatang di rumah, tapi anda boleh memperkenalkan jenis binatang kepada anak anda dengan melihat buku atau majalah. Mungkin anak akan cepat jemu kerana tahap penumpuan perhatian mereka masih terhad, namun percayalah amalan melihat buku ini akan menerbitkan minatnya untuk membaca kelak.
7) Bahan untuk permainan berimaginasi.
Alatan permainan memasak atau cara penjagaan bayi amat sesuai untuk bayi perempuan. Untuk bayi lelaki pula boleh mencuba mainan seperti kereta, lori, topi dan sebagainya. Permainan seperti ini dapat meluaskan daya imaginasinya.
8) Benarkan anak pergi ke tempat yang selamat untuk belajar memanjat.
Bayi memang suka menaiki tangga di rumah (jika anda tidak dapat mengawasi mereka, sebaiknya letakkan penghadang keselamatan) .. Untuk merangsang bayi agar otot mereka kuat dan minda cerdas, cuba biarkan bayi memanjat dan bergayut. Biarkan mereka melakukannya sendiri tetapi berdirilah dekatnya dan bersedia untuk menyelamatkan jika diperlukan.
9) Bawa anak merasai suasana yang baru dan berlainan.
Rumah yang sama, kereta yang sama akan membuatkan bayi bosan. Apa kata bawa bayi ke taman permainan dan padang yang luas bagi bayi merasai suasana menakjubkan di luar sana. Tidak salah sesekali bawa mereka keluar pada waktu hujan agar mereka dapat pengalaman belajar.
***Artikel dari Taman2 Syurga
0 comments:
Post a Comment
Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.