Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Mar 27, 2014

Mendidik anak menjadi sopan



Menghormati orang lain dan lebih-lebih lagi orang yang lebih tua adalah satu kelakuan yang dipandang tinggi. Semua ibu bapa seboleh-bolehnya mahu anak-anak tahu menghormati. Jika tidak, anak itu akan dilabelkan sebagai “anak kurang ajar” dan sudah tentu sedikit sebanyak kesalahan “tidak mengajar” itu terletak di atas bahu ibu bapa.  

“Sudah, berenti..kenapa dengan kamu ni?  Menjerit terlolong macam orang tak siuman”  seorang ibu menengking anaknya yang sedang mengamuk. 

Jika setiap hari, anak-anak mendengar tengkingan dan perkataan yang negatif dari ibu bapa, bolehkah kita mengharapkan mereka belajar untuk menghormati? 

Mengajar melalui tindakan

“Buat seperti apa yang saya katakan bukan seperti apa yang saya lakukan” adalah satu ungkapan yang sering kita dengar tetapi dalam pendidikan anak-anak, ia adalah satu alat yang kurang berkesan dan jarang berfungsi.  Kita ialah  guru pertama dan orang yang paling penting kepada anak-anak. Anak-anak belajar bercakap dengan mendengar kita bercakap, begitu juga mereka akan belajar bagaimana menghormati orang lain dengan melihat cara kita melayani orang lain. Lihat bagaimana kita melayani anak-anak, ahli keluarga  dan orang lain dalam hubungan kita seharian. Anak-anak memerhati dan secara kita tidak sedar, mereka belajar daripada perlakuan kita untuk berhubung dengan kita, adik beradik, kawan-kawan dan orang-orang yang berada di sekeliling mereka.

"Terima kasih.” ialah ungkapan yang positif tetapi ia boleh diucapkan dengan sopan atau tidak sopan. Apabila kita mengajar anak-anak tentang kesopanan, kita juga perlu membincangkan butir-butir yang tidak begitu jelas seperti menggunakan nada suara dan bahasa badan yang sopan. Anak-anak tidak dilahirkan dengan kebolehan ini maka kitalah yang bertanggung jawab mengajar aspek penting dalam akhlak yang baik.

Menyediakan disiplin positif dan konsisten

Ibu bapa yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjalankan tugas membesarkan  anak-anak akan lebih mudah untuk mendidik mereka menjadi sopan dan menghormati. Apabila kita mempunyai kemahiran keibubapaan yang baik, kita akan mendapati bahawa tugas mendisiplinkan anak-anak adalah satu tugas yang mudah . Ini bermakna kita perlu mencari ilmu keibubapaan sebanyak mungkin. Membaca buku-buku yang bagus, menghadiri kelas-kelas keibubapaan, menyertai kumpulan sokongan dan sebagainya boleh membantu kita dalam tugas mendidik anak supaya berkelakuan sopan. 

Tegas tetapi adil

Membiarkan anak-anak berkelakuan buruk tanpa didikan hanya menjadikan mereka semakin teruk. Pastikan anak-anak kita tahu dan jelas tentang peraturan keluarga dan kita akan mengenakan tindakan yang sesuai jika peraturan itu tidak diikuti.

Disiplin yang tegas dan adil ialah disiplin yang teratur dan tidak berubah mengikut kepada mood kita.  Ia memerlukan konsistensi supaya anak-anak jelas dan pasti. ( Mereka mungkin tidak suka, tetapi mereka pasti tentangnya.) Yang menjadikan disiplin itu berkesan bukan hukuman atau tindakan yang dikenakan tetapi konsistensinya. Apabila anak-anak tahu dan jelas tentang kemahuan (harapan) kita, dan akan ada penalti jika gagal memenuhi kemahuan (harapan) itu, mereka akan lebih cenderung untuk berkelaluan seperti yang sepatutnya.

Puji tingkah laku yang baik.

Pujian dan galakan daripada ibu bapa memberi kesan yang besar terhadap anak-anak. “Pujian" tidak semestinya secara lisan sahaja. Ungkapan bukan lisan seperti isyarat OK dengan tangan, kenyitan mata, senyuman, pelukan dan lain-lain boleh juga dilakukan . Semua ini menyampaikan mesej positif kepada anak-anak yang baru sahaja melakukan sesuatu yang betul. Mesej positif ini mengukuhkan perlakuan baik mereka serta menggalakkan lebih banyak perlakuan positif yang sama dilakukan di masa depan.



Print Friendly and PDF

Share:

Mar 8, 2014

Adakah anda memerangkap anak ATAU menetapkan had dan peraturan?

Gambar Hiasan


Contoh kes: Puan Safiah tahu anak perempuannya Ella yang berusia prasekolah melukis/menconteng di dinding dan perabot, tetapi Ella enggan mengakuinya.


Puan Safiah mempunyai 2 pilihan. Pilihan pertama ialah beliau boleh mendesak sehingga Ella mengakui perbuatannya dan membuatkan Ella rasa bersalah/merasa dirinya jahat. Pilihan kedua pula ialah Puan Safiah boleh memberi tumpuan kepada membantu Ella belajar untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dengan mengalami akibat daripada tindakannya


Pilihan 1 : memerangkap dan menghukum

Jika Puan Safiah memilih untuk mendesak dan membuatkan Ella rasa bersalah, beliau boleh berkata, " Ella, siapa yang conteng dinding ni? Ella kan?”

Bertanyakan soalan yang kita sudah tahu jawapannya ialah satu perangkap. Ella akan menafikannya. Penafian ialah satu mekanism pertahanan diri ketika berhadapan dengan ketakutan dan ancaman.

Apabila anak menafikan keadaan, maka kita akan menjadi marah, biasanya kita akan mengatakan sesuatu seperti, “Ella jangan berbohong dengan mama. Mama tak suka anak mama cakap bohong………” Biasanya ibu akan terus berleter. Interaksi kita dengan anak menjadi negatif dan peluang untuk mengajar kemahiran baru kepadanya, terlepas begitu sahaja.


Pilihan 2 : had dan peraturan

Jika Puan Safiah memilih untuk menetapkan had dan menahan Ella atas perbuatannya menconteng dinding itu, beliau boleh berkata, “Mama tahu Ella suka melukis..tapi Ella tidak boleh melukis di dinding. Lagi cantik kalau Ella melukis di atas kertas. Kan mama dah sediakan kertas di atas meja tu untuk Ella melukis? Sekarang, Ella kena tolong mama bersihkan dinding ini. Ella pilih.. Ella nak guna kain buruk atau span untuk membersihkan dinding ini”

Puan Safiah harus menjadi pemerhati(alert) selepas kejadian itu. Jika di dapati Ella melukis di atas kertas, beliau haruslah memberi penghargaan, dorongan dan sokongan. “Wahhhh.. hari ini Ella melukis di atas kertas. Ella ingat pesan mama supaya menggunakan kertas untuk melukis. Terimakasih sayang” Kemudian peluk dan ciumlah anak.


Print Friendly and PDF
Share:

Mar 5, 2014

Mengapa anak berbohong.

Kita perlu memahami bahawa anak-anak prasekolah sering bercakap tentang sesuatu yang tidak betul tanpa ada niat untuk berbohong. Anak-anak prasekolah kadang-kadang keliru dan mencampur-adukkan antara realiti dan fantasi. 

Anak prasekolah selalunya beria-ia mempertahankan dirinya terhadap kesalahan yang telah dilakukannya walaupun telah jelas bahawa dia yang melakukan kesalahan tersebut. 

Sebagai contoh, anak prasekolah telah merosakkan mainan adiknya secara tidak sengaja. Ketika ibu/ayah bertanyakan hal itu kepadanya, dia akan menyangkal kejadian itu. 

“Siapa yang rosakkan mainan adik ni? Along ye..”
“Bukan Along yang rosakkan mainan itu”

Kita mungkin akan berasa marah (disebabkan dia berbohong) kerana telah jelas bahawa dia yang merosak mainan adiknya. Atau mungkin pula kita akan bersikap keras kepadanya supaya dia mengaku. Menangani masalah ini dengan marah dan berkeras terhadap anak bukanlah merupakan satu langkah yang bijak, kerana kekerasan dalam hal ini tidak akan membantu anak untuk mengetahui bahawa perbuatan berbohong itu tidak baik dan tidak dapat diterima. 

Apabila kita inginkan anak mengakui kesalahannya, maka pada waktu itu kita harus membuka jalan untuk anak mengaku secara sukarela. Misalnya, kita katakan begini kepada anak, “Ohhh…mainan ini telah rosak, ibu hairan, macam mana ia boleh rosak”.  Insya Allah anak akan menjelaskan siapa yang merosakkan mainan tersebut.


Apabila anak-anak mencapai usia sekolah rendah, kita menjangkakan mereka sudah tahu dan memahami perbezaan antara kebenaran dan fantasi. 

Jadi mengapa anak-anak pada usia ini masih berbohong? Antara sebabnya ialah:

• anak-anak percaya, apabila mereka memberitahu kebenaran, mereka akan dihukum. Justeru, untuk mengelakkan daripada dikenakan hukuman, mereka berbohong.
• anak-anak melihat orang lain terlepas daripada hukuman dengan berbohong, maka mereka mungkin terdorong untuk melakukan yang serupa.
• anak-anak mengada-ngadakan cerita di kalangan rakan sebaya untuk dilihat sebagai ‘cool’ dan diterima dalam kumpulan tersebut. Anak-anak yang bercakap besar juga mungkin kesunyian, bosan, atau mempunyai harga diri yang rendah.


Bagaimana untuk tahu jika anak-anak berbohong? 

Anak-anak yang masih muda kadang-kadang mereka/mencipta cerita yang kedengarannya tidak begitu munasabah. Beberapa soalan yang mudah juga boleh membantu mendedahkan pembohongan. Sebagai contoh, bertanya dengan tenang dari mana datangnya RM10 yang kita jumpa di dalam poket seluar sekolahnya. 

“Along, mama jumpa RM10 dalam poket seluar sekolah Along. Boleh Along bagitau mama, dari mana Along dapat duit sebanyak tu?”

Elakkan daripada cepat menuduh.

“Along, cepat bagitau mama dari mana Along dapat RM10 ni. Along curi dari beg duit ayah ye?”

Sebagai langkah untuk tidak menggalakkan pembohongan, ibu bapa perlu membincangkan masalah ini dengan anak-anak secara aman dan tenang. Adalah penting untuk anak-anak tahu bahawa berbohong TIDAK boleh diterima dan agama melarang sama sekali kita berbuat demikian. Terangkan kesan-kesan negatif yang boleh diakibatkan oleh pembohongan. 

“Sara, ibu berasa marah dan kecewa apabila Sara berbohong dengan ibu. Jika Sara terus-terusan berbohong, ibu takut satu hari nanti tiada siapa yang akan mempercayai Sara lagi. Ibu dan ayah pun susah nak percaya jika Sara asyik berbohong. Kawan-kawan pun tentu tidak suka berkawan dengan Sara.Sara kena ingat, berdusta itu dilarang oleh agama kita”

Beri peluang anak-anak untuk menjadi seorang yang jujur ​​dengan memuji mereka setiap kali mereka bercakap benar. Sambutan positif kita terhadap tingkah laku  mereka itu akan menggalakkan mereka untuk mengulangi kejujuran mereka pada masa akan datang. 


Jika kita mendapati anak-anak sukar untuk tidak berbohong, kita mungkin perlu untuk membuat peraturan/perjanjian bertulis yang ditandatangani oleh kita dan anak. Peraturan/perjanjian ini hendaklah menyatakan apa yang kita mahu anak lakukan (bercakap benar) dan nyatakan dengan jelas ganjaran dan akibat (hukuman) yang akan diterima sekiranya anak mematuhi atau mengengkari peraturan/perjanjian tersebut. Lekatkan perjanjian bertulis itu di tempat yang mudah dilihat (contohnya pada peti sejuk) untuk mengelakkan kita dan anak berbalah. 




Print Friendly and PDF


Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com