Kita perlu memahami bahawa anak-anak prasekolah sering bercakap tentang sesuatu yang tidak betul tanpa ada niat untuk berbohong. Anak-anak prasekolah kadang-kadang keliru dan mencampur-adukkan antara realiti dan fantasi.
Anak prasekolah selalunya beria-ia mempertahankan dirinya terhadap kesalahan yang telah dilakukannya walaupun telah jelas bahawa dia yang melakukan kesalahan tersebut.
Sebagai contoh, anak prasekolah telah merosakkan mainan adiknya secara tidak sengaja. Ketika ibu/ayah bertanyakan hal itu kepadanya, dia akan menyangkal kejadian itu.
“Siapa yang rosakkan mainan adik ni? Along ye..”
“Bukan Along yang rosakkan mainan itu”
Kita mungkin akan berasa marah (disebabkan dia berbohong) kerana telah jelas bahawa dia yang merosak mainan adiknya. Atau mungkin pula kita akan bersikap keras kepadanya supaya dia mengaku. Menangani masalah ini dengan marah dan berkeras terhadap anak bukanlah merupakan satu langkah yang bijak, kerana kekerasan dalam hal ini tidak akan membantu anak untuk mengetahui bahawa perbuatan berbohong itu tidak baik dan tidak dapat diterima.
Apabila kita inginkan anak mengakui kesalahannya, maka pada waktu itu kita harus membuka jalan untuk anak mengaku secara sukarela. Misalnya, kita katakan begini kepada anak, “Ohhh…mainan ini telah rosak, ibu hairan, macam mana ia boleh rosak”. Insya Allah anak akan menjelaskan siapa yang merosakkan mainan tersebut.
Apabila anak-anak mencapai usia sekolah rendah, kita menjangkakan mereka sudah tahu dan memahami perbezaan antara kebenaran dan fantasi.
Jadi mengapa anak-anak pada usia ini masih berbohong? Antara sebabnya ialah:
• anak-anak percaya, apabila mereka memberitahu kebenaran, mereka akan dihukum. Justeru, untuk mengelakkan daripada dikenakan hukuman, mereka berbohong.
• anak-anak melihat orang lain terlepas daripada hukuman dengan berbohong, maka mereka mungkin terdorong untuk melakukan yang serupa.
• anak-anak mengada-ngadakan cerita di kalangan rakan sebaya untuk dilihat sebagai ‘cool’ dan diterima dalam kumpulan tersebut. Anak-anak yang bercakap besar juga mungkin kesunyian, bosan, atau mempunyai harga diri yang rendah.
Bagaimana untuk tahu jika anak-anak berbohong?
Anak-anak yang masih muda kadang-kadang mereka/mencipta cerita yang kedengarannya tidak begitu munasabah. Beberapa soalan yang mudah juga boleh membantu mendedahkan pembohongan. Sebagai contoh, bertanya dengan tenang dari mana datangnya RM10 yang kita jumpa di dalam poket seluar sekolahnya.
“Along, mama jumpa RM10 dalam poket seluar sekolah Along. Boleh Along bagitau mama, dari mana Along dapat duit sebanyak tu?”
Elakkan daripada cepat menuduh.
“Along, cepat bagitau mama dari mana Along dapat RM10 ni. Along curi dari beg duit ayah ye?”
Sebagai langkah untuk tidak menggalakkan pembohongan, ibu bapa perlu membincangkan masalah ini dengan anak-anak secara aman dan tenang. Adalah penting untuk anak-anak tahu bahawa berbohong TIDAK boleh diterima dan agama melarang sama sekali kita berbuat demikian. Terangkan kesan-kesan negatif yang boleh diakibatkan oleh pembohongan.
“Sara, ibu berasa marah dan kecewa apabila Sara berbohong dengan ibu. Jika Sara terus-terusan berbohong, ibu takut satu hari nanti tiada siapa yang akan mempercayai Sara lagi. Ibu dan ayah pun susah nak percaya jika Sara asyik berbohong. Kawan-kawan pun tentu tidak suka berkawan dengan Sara.Sara kena ingat, berdusta itu dilarang oleh agama kita”
Beri peluang anak-anak untuk menjadi seorang yang jujur dengan memuji mereka setiap kali mereka bercakap benar. Sambutan positif kita terhadap tingkah laku mereka itu akan menggalakkan mereka untuk mengulangi kejujuran mereka pada masa akan datang.
Jika kita mendapati anak-anak sukar untuk tidak berbohong, kita mungkin perlu untuk membuat peraturan/perjanjian bertulis yang ditandatangani oleh kita dan anak. Peraturan/perjanjian ini hendaklah menyatakan apa yang kita mahu anak lakukan (bercakap benar) dan nyatakan dengan jelas ganjaran dan akibat (hukuman) yang akan diterima sekiranya anak mematuhi atau mengengkari peraturan/perjanjian tersebut. Lekatkan perjanjian bertulis itu di tempat yang mudah dilihat (contohnya pada peti sejuk) untuk mengelakkan kita dan anak berbalah.
0 comments:
Post a Comment
Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.