Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Dec 25, 2012

Analogi mendidik anak..motivasi buat ibu bapa



Membesarkan dan mendidik anak-anak adalah merupakan satu cabaran bagi ibu bapa lebih-lebih lagi dalam zaman yang serba serbi canggih seperti sekarang. Anak-anak bukan robot yang boleh kita programkannya untuk melakukan apa yang diarahkan. Ketika anak-anak masih kecil, kita melakukan segala yang termampu untuk memastikan mereka dapat yang terbaik bagi membantu mereka membesar menjadi manusia yang bertanggung jawab. Kadang-kadang proses membesarkan dan mendidik itu tidak menjadi selancar yang kita harapkan. Ibu bapa akan berasa kecewa apabila memikirkan anak-anak seperti tidak mendengar arahan. Lain yang disuruh, lain pulak yang mereka lakukan sedangkan sudah berkali-kali kita mengingatkan mereka tentang perkara yang sama. Ibu bapa kadang-kala hilang kesabaran apabila anak-anak tetap mengamuk walaupun sudah dididik bahawa mereka tidak akan mendapat apa yang mereka inginkan dengan mengamuk begitu. 


Ibu bapa menjadi gusar namun kita harus cuba sedaya upaya agar tidak berasa kecewa dan berputus asa. Adalah normal apabila anak-anak perlu diberi peringatan berulang kali (mungkin berjuta kali) sebelum didikan itu meresap masuk dan menjadi sebati di dalam jiwa mereka. Ada dua analogi yang boleh membantu kita dalam memahami bahawa pentingnya kesabaran dalam membesarkan dan mendidik anak-anak.


Analogi pertama ialah analogi bahasa. Di dalam proses kita belajar bahasa asing, kesabaran dan pengulangan adalah dua elemen yang penting. Kita tidak akan menjadi mahir berbahasa asing tersebut jika hanya menghadiri kelas dua atau tiga kali sahaja. Ia akan mengambil masa bertahun sebelum kita mahir  bercakap menggunakan bahasa tersebut. Walaupun cuma sepatah perkataan, ia tidak akan meresap masuk ke dalam ingatan jika kita mendengar sebutan perkataan itu cuma sekali sahaja. Ia perlu diulang berkali-kali, perlu didengar penggunaannya dalam perbualan dan kita perlu menggunakan perkataan itu dalam kehidupan seharian kita. Itu barulah dianggap kita betul-betul belajar bahasa asing tersebut.


Analogi kedua ialah analogi pokok. Membesarkan dan mendidik anak adalah seperti menanam sebatang pokok bermula daripada biji benih. Apabila biji benih disemai, ia perlu dijaga dengan teliti. Air dan cahaya matahari yang cukup perlu diperhatikan untuk memastikan biji benih itu bercambah. Apabila anak benih telah tumbuh, penjagaan harus diteruskan. Ia perlu disiram setiap hari dan diberi baja yang cukup bagi memastikan kesuburannya. Jika tidak, anak pokok tidak boleh hidup atau kalau hidup pun, pembesarannya mungkin terbantut. Sama juga dengan anak-anak kita. Mereka perlu disiram dengan tunjuk ajar dan dibaja dengan kasih sayang berulang kali untuk memastikan mereka membesar menjadi individu yang positif.


Kedua-dua analogi ini diharapkan dapat membantu kita melihat dan memahami bahawa tidak ada sebab untuk kita merasa gusar, terganggu dan tidak bersemangat jika anak-anak kelihatan seperti lambat belajar. Proses pembelajaran dan perkembangan memerlukan masa dan praktis. Seorang anak mungkin berkemampuan untuk memahami kenapa tantrum itu tidak positif tetapi dia memerlukan peringatan dan penjelasan yang berulang-ulang sebelum ia meresap masuk dan sebati dalam jiwanya.


Mungkin payah untuk kita menerima, memahami dan memaafkan apabila anak-anak membuat tingkah laku negatif yang sama berulang kali. Pergelutan ini adalah normal dan dilalui oleh hampir semua ibu bapa. Sama seperti anak-anak kita yang perlu belajar berkelakuan positif dengan praktis yang berulang-ulang, ibu bapa juga perlu belajar sacara praktis agar tidak menjadi terganggu apabila anak-anak membuat tingkah laku yang negatif. Ibu bapa yang mempunyai kefahaman dan kesabaran sertai tidak jemu-jemu mengajar dan mendidik anak-anak, di akhirnya akan menikmati segala usaha, ketelitian, titik peluh mereka terbayar apabila anak-anak membesar menjadi seorang insan yang berkualiti. In shaa Allah.

Share:

Dec 22, 2012

Pujian atau Dorongan?


Kata Rudolf Dreikurs…"anak memerlukan dorongan seperti pokok memerlukan air", dalam erti kata lain, dorongan adalah satu keperluan. Anak tidak akan mati tanpa dorongan tapi mereka akan menjadi layu atau tidak bersemangat.


Hasil kajian yang dilakukan oleh Carol Dweck, Ph.D. (seorang professor di Colombia University) menunjukkan bahawa pujian tidak begitu elok untuk anak-anak. Beliau mendapati bahawa pujian boleh menyebabkan anak-anak tidak suka mengambil risiko (takut untuk mencuba sesuatu yang baru). Anak-anak yang dipuji sebagai seorang yang bijak apabila mereka berjaya menyelesaikan sesuatu kerja/perkara akan memilih kerja yang lebih mudah di masa depan. Mereka tidak suka mengambil risiko untuk melakukan kerja yang lebih mencabar kerana takut gagal dan dianggap tidak bijak. Sebaliknya anak-anak yang mendapat dorongan atas usaha mereka lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu yang lebih mencabar.


Berikan dorongan kepada usaha yang dilakukan oleh anak bukan kepada peribadi anak. Jika selalu kita katakan begini.."Wahh..anak ayah dapat 8A. Ayah bangga dengan kamu. Kamu memang pandai" adalah lebih baik kita ubah sedikit cara dorongan kita kepada begini…"Tahniah, kamu telah berusaha keras untuk dapat 8A. Kamu memang layak". Kelihatan seperti tiada perbezaan tapi ia boleh mengubah persepsi anak.


Anak-anak memang suka dipuji. Siapa yang tidak suka bila dipuji? (Saya pun suka). Anggap saja pujian itu seperti gula-gula. Makan sedikit dan jarang-jarang makan tentu tidak memudharatkan tapi jika makan banyak dan makan hari-hari, lambat laun, tentu akan menimbulkan masalah dari segi kesihatan. Justeru ibu bapa harus berwaspada dalam memberikan pujian kepada anak-anak, jangan sampai mereka ketagihan kepada pujian. Ingin dipuji setiap masa, jika tidak dipuji, mereka tidak ada initiatif untuk melakukan sesuatu. Untuk hasil yang cepat, pujian memang memberi kesan. Kita tentu suka melihat anak kita gembira, seronok dan muka bercahaya apabila dipuji. Namun kesan jangka panjang tidak begitu positif. Pujian mendidik anak kita menjadi "approval junkies". Mereka belajar untuk bergantung kepada pujian/penilaian orang lain bagi mendapatkan harga diri. Manakala dorongan pula mendidik anak supaya bijak bermuhasabah dan menilai diri sendiri.


Dorongan yang berkesan memerlukan sikap yang positif di pihak ibu bapa. Jangan memperkecilkan pendapat anak-anak dengan menunjukkan kelakuan kita yeng memberi mesej kepada anak-anak bahawa pendapat mereka tidak penting atau tidak betul. Tunjukkan minat kita untuk meneliti apa yang diperkatakan oleh anak-anak serta memberi peluang kepada mereka untuk belajar memahirkan diri dalam apa saja kerja yang dilakukan. Ini akan membantu mereka meningkatkan keyakinan diri serta ketahanan dalam menghadapi kritikan/pendapat yang negatif daripada orang lain.

Share:

Dec 21, 2012

Kesan Kemarahan Kepada Anak



Terkebil-kebil mata bulat Maira melihat ayahnya mengamuk sebaik saja pulang dari pejabat. Dia tidak tahu apa yang menyebabkan ayahnya naik angin pada petang itu. Muka ayahnya masam, agaknya lebih masam dari cuka. Terhenti niat Maira untuk bermain-main dengan ayahnya sebagaimana biasa di waktu petang. Dia tidak berani mendekati ayahnya yang seperti singa betina apa lagi untuk bersuara. Dalam hatinya tertanya-tanya…

"Salah akukah kerana menyepahkan barang-barang mainan di ruang tamu?"
"Salah adikkah kerana menangis tak berhenti-henti?"
"Salah ibukah kerana asyik melayan adik yang menangis sehingga tidak sempat menyediakan minuman petang untuk ayah?"


Samada marah itu ditujukan kepada anak ataupun orang lain, ia bukanlah sesuatu pengalaman yang menyeronokkan apabila sikecil melihat ayah atau ibunya naik angin.

Apabila ibu atau bapa sendiri tidak suka anak mengamuk begitu juga anak. Mengamuk atau naik angin di depan anak-anak bukanlah tingkah laku yang wajar dilakukan oleh ibu atau bapa. Matthew McKay, seorang ahli saikologi dari Wright University di Berkeley, California (penulis “When Anger Hurt Your Kids”) berkata bahawa tingkah laku mengamuk itu boleh menyebabkan gangguan kepada jiwa dan emosi anak. Kajian menunjukkan bahawa tingkah laku mengamuk atau bergaduh di depan anak oleh ibu dan ayah boleh menyebabkan anak tersebut menjadi kurang empati.

Anak tersebut lebih cenderung untuk menjadi agresif dan depress jika dibandingkan dengan anak yang tinggal dalam persekitaran yang tenang di mana ibu dan ayah tidak mempamerkan atau bergaduh di depan anak. Selain daripada itu, anak tersebut juga akan menunjukkan kemunduran dalam bidang akedemik atau kurang menonjol ketika di sekolah disebabkan dia kurang berkemampuan untuk beradaptasi dengan persekitaran.

Menurut seorang lagi ahli saikologi, Robert Puff (penulis "Anger Work: How to Express Your Anger and Still Be Kind"), semakin muda usia anak, semakin besar kesan negatifnya. Dalam proses anak membesar, dia akan hilang kepercayaan (trust) terhadap ibu dan bapa. 

Justeru itu ibu dan ayah, perasaan marah itu normal tapi cara kita menunjukkan kemarahan itu yang mungkin tidak normal dan memberi kesan yang negatif kepada orang-orang yang berada di sekeliling kita. Cubalah kawal kemarahan sebaik mungkin. Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah menyarankan beberapa tips untuk mengawal kemarahan. Di antaranya ialah…

~  Istighfar
~  Senyum
~  Melihat cermin untuk melihat bagaimana hodohnya rupa kita ketika marah.
~  Lambatkan tindak balas dan tarik nafas. Oksigen akan menenangkan fikiran.
~ Ta'awuz (auzubillah..)
~ Banyak minum air
~ Ambil wudhu
~ Tukar tempat
~ Pecahkan dengan melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan riadah.
~ Jaga pemakanan (orang yang suka makan daging merah cepat marah)
~ Memaafkan orang lain
~ Ingat mati


Share:

Dec 13, 2012

"Ayah perlukan pelukanmu..."


Aris berusia 4 tahun. Selalu benar dia mengamuk. Kadang-kadang mengamuk tanpa sebab yang jelas. Apabila Aris mengamuk, Firdauslah yang selalu memujuk tetapi selalu berakhir dengan kekecewaan atau kemarahan. Isterinya, Aina sudah tidak kuasa lagi untuk memujuk Aris. Semakin dipujuk semakin menjadi. 


Suatu hari, Firdaus bertemu dengan seorang rakan lamanya. Tidak disangka, rakan lamanya itu rupanya seorang doktor kanak-kanak. Firdaus menceritakan masalah yang dihadapi olehnya dan isteri tentang anak mereka, Aris.


"Aku dah tak tahu nak buat apa.. Kalau dia mengamuk, berjam-jam pujuk pun tak jalan. Masalahnya setiap hari memang dia akan mengamuk. Kadang-kadang aku sendiri tak tahu kenapa dia mengamuk" keluh Firdaus kepada kawannya.

"Masa dia mengamuk tu..cuba minta dia peluk kau. Aku pernah terbaca satu artikel yang ditulis oleh seorang ahli psikologi kanak-kanak tentang hal ini. Kau cubalah..mana tau kalau-kalau cara tu sesuai dengan Aris" kata rakannya itu.


Apabila Aris mengamuk, Firdaus terus melakukan seperti yang disarankan oleh rakannya itu. Firdaus menurunkan badannya untuk memandang tepat ke dalam mata Aris. Kedua-dua tangannya memegang bahu Aris.


"Aris..dengar ni..ayah nak cakap. Aris anak ayah. Ayah sayang Aris. Hari ni ayah nak minta Aris peluk ayah kuat-kuat."


Aris memandang ayahnya dengan sedikit rasa hairan. Selalu, ayahnya yang memeluk dia ketika dia mengamuk.


"Peluk ayah?"

"Ya, peluk ayah."

"Sekarang?"

"Ya, sekarang. Ayah perlukan pelukan daripada Aris sekarang"


Aris berhenti menjerit. Dalam sedu sedan, dia memeluk ayahnya kuat-kuat sebagaimana yang dipinta oleh Firdaus. Akhirnya Aris tenang berada dalam pelukan ayahnya. Anak dan ayah itu berpelukan seketika.


"Aris, terimakasih kerana memeluk ayah. Ayah sangat perlukan pelukan daripada Aris"

"Aris pun perlukan pelukan daripada ayah"


Sejak hari itu, apabila Aris mengamuk, dia akan memeluk ayahnya.


A primary principle of positive discipline is 'Connection before Correction'. Pelukan merupakan salah satu teknik untuk  kita berhubung. Teknik ini mungkin berkesan kepada seseorang anak tetapi tidak berkesan kepada anak yang lain. Apa yang penting adalah ibu bapa memahami prinsip. Tidak susah untuk mencari teknik jika kita memahami prinsip.



Share:

Dec 9, 2012

Elakkan Daripada Terlalu Memanjakan Anak


Apa yang dimaksudkan dengan "lerlalu memanjakan" anak? Memeluk anak dengan kasih sayang tidak sama dengan memanjakan anak. Begitu juga, memuji, bergurau senda dengan anak serta menyelami/memahami perasaan mereka tidak termasuk dalam maksud "terlalu memanjakan" mereka.


Memanjakan anak  adalah apabila kita melakukan sesuatu perkara untuk mereka sedangkan perkara tersebut mereka sendiri boleh lakukan. Anak-anak dilahirkan dan dibekalkan dengan sifat dan keinginan untuk berdikari. Keinginan ini mula terserlah pada usia lebih kurang dua tahun. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak pada usia ini (toddler) tentu sudah biasa dengan perlakuan anak yang ingin memakai pakaian sendiri, mandi sendiri, makan sendiri dan sebagainya. 


"Mama, Lina nak tolong mama masukkan pakaian ini ke dalam mesin basuh. Lina nak basuh pakaian Lina sendiri" kata Lina yang berusia 5 tahun.

"Lina kecil lagi untuk basuh baju sendiri. Nanti mama basuhkan. Lina pergi main" balas ibu Lina.


Apabila Lina meningkat remaja, ibunya mengeluh apabila Lina tidak betah membasuh pakaiannya sendiri. 


"Lina, tolong ibu masukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh"

"Ala ibu..Lina sedang main komputer ni.."


Ibu bapa biasanya melakukan sesuatu perkara untuk anak kerana mereka tidak sabar atau tidak ada masa. Untuk memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh bagi anak yang berusia 5 tahun tentu mengambil masa. Ibu bapa tidak mempunyai masa yang panjang untuk mengajar dan melatih mereka. Lebih cepat dan mudah jika ibu bapa sendiri yang melakukannya. Ibu bapa juga bimbang anak-anak tidak melakukannya dengan betul dan sempurna. Ibu bapa tidak yakin, anak pada usia 5 tahun mampu membasuh pakaian dengan sempurna. Memang tidak sempurna sebab itulah ibu bapa harus menunjukkan caranya dan biar anak-anak berlatih. Practice makes better. Bantu dan buatlah bersama anak-anak sehingga mereka berkemampuan untuk melakukannya sendiri. Ini akan mengambil masa dan kita mengharapkan kesan jangka panjang. Kita perlu memberi peluang kepada anak-anak dan mendidik mereka untuk menjadi seorang yang berkeupayaan dan bertanggung jawab.




Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com