Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Dec 24, 2014

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 2




Otak seorang kanak-kanak berkembang dengan pesat dalam tempoh lima tahun pertama kehidupan, terutama tiga tahun pertama. Ia adalah masa untuk kognitif, bahasa, sosial, emosi dan motor berkembang dengan pesat. Sebagai contoh, kanak-kanak belajar banyak perkataan bermula pada usia kira-kira 15-18 bulan dan akan berterusan sehingga pra sekolah.

Otak kanak-kanak tumbuh apabila mereka melihat, merasa, menghidu, menyentuh dan mendengar. Setiap kali kanak-kanak menggunakan salah satu deria, sambungan di antara saraf akan terbentuk di dalam otak mereka . Pengalaman baru yang berlaku berulang kali akan membantu membuat sambungan baru, yang membentuk cara kanak-kanak itu berfikir, merasa, bertindak dan belajar.

Hubungan rapat di antara kanak-kanak dan ibu bapa atau penjaga adalah cara yang terbaik untuk menyuburkan otak kanak-kanak yang semakin membesar. Apabila ibu bapa atau penjaga bermain, menyanyi, bercakap, membaca atau bercerita kepada kanak-kanak itu dengan penuh kasih dan sayang serta memastikan mereka mendapat permakanan yang seimbang dan berkhasiat, otak kanak-kanak akan berkembang dengan pesat dan sihat. Kesihatan fizikal yang baik, berinteraksi secara efektif dengan ibu bapa atau penjaga serta hidup dalam persekitaran yang selamat dan bersih boleh membuat perubahan yang besar dalam pertumbuhan, perkembangan kanak-kanak dan potensi masa depan mereka.

Bayi memerlukan penjagaan yang sempurna dan kasih sayang pada tahun-tahun awal kehidupan mereka. Mengusap, memeluk dan bercakap dengan kanak-kanak akan merangsang pertumbuhan otak dan menggalakkan perkembangan emosi. Berada berhampiran dengan ibu akan membuatkan bayi rasa selamat. Sebenarnya bayi menyusu untuk kedua-dua pemakanan dan keselesaan emosi.

Bagi bayi yang masih kecil, menangis ialah satu cara berkomunikasi. Tindak balas kepada tangisan itu dengan belaian dan bualan mesra akan membantu mewujudkan rasa percaya dan selamat.
Ini adalah ikatan atau hubungan awal dengan ibu, bapa atau penjaga yang dapat membantu kanak-kanak membangunkan pelbagai kebolehan yang bakal digunakan untuk membina kehidupan seterusnya. Ini termasuk keupayaan untuk:
  • belajar
  • menjadi yakin kepada diri sendiri dan mempunyai harga diri yang tinggi
  • mempunyai kemahiran sosial yang positif
  • mempunyai hubungan yang berjaya apabila dewasa
  • membangunkan rasa empati.


Emosi kanak-kanak turut berkembang seiring dengan perkembangan otak mereka. Kanak-kanak mudah menjadi kecewa jika mereka tidak dapat berbuat sesuatu atau tidak mampu memiliki sesuatu yang mereka mahukan. Mereka sering takut kepada orang yang tidak dikenali, situasi baru atau suasana yang gelap. Kanak-kanak yang sering ditertawakan, dihukum atau diabaikan berkemungkinan akan membesar menjadi seorang yang pemalu, tidak berkeyakinan dan tidak dapat meluahkan emosi secara sihat. Jika ibu bapa atau penjaga bersabar dan bersimpati ketika kanak-kanak meluahkan emosi samada dengan cara positif atau negatif, kanak-kanak itu lebih cenderung untuk membesar dengan ceria, selamat dan seimbang.

Kanak-kanak lelaki dan perempuan mempunyai keperluan fizikal, mental, emosi dan sosial yang sama. Kedua-duanya mempunyai kapasiti yang sama untuk pembelajaran. Kedua-duanya mempunyai keperluan yang sama dari segi kasih sayang, perhatian dan penerimaan dalam keluarga.

Kanak-kanak juga boleh mengalami tekanan yang berlebihan jika mereka secara fizikal atau emosi dihukum dengan kekerasan, terdedah kepada keganasan, diabaikan dan didera, atau hidup dalam keluarga yang mempunyai masalah mental dan sosial, seperti kemurungan atau penyalah gunaan bahan seperti dadah serta ketagihan seperti judi dan alkohol. Tekanan yang berlebihan ini akan mengganggu pembangunan otak dan seterusnya boleh membawa kepada kelewatan pembangunan kognitif, sosial dan emosi serta menimbulkan masalah tingkah laku pada zaman kanak-kanak dan remaja.

Kanak-kanak yang dari segi fizikal atau mental dihukum dengan kekerasan dan kekasaran adalah lebih cenderung untuk menjadi ganas dan suka memberontak. ibu bapa atau penjaga wajar menggunakan cara yang lebih positif dan berkesan untuk menangani tingkah laku kanak-kanak seperti:
  • menyediakan kanak-kanak dengan penjelasan yang jelas mengenai apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan
  • bertindak balas secara konsisten kepada kelakuan tertentu
  • memuji tingkah laku yang baik.


Kedua-dua ibu bapa, dan juga ahli keluarga yang lain, perlu terlibat dalam menyayangi dan memupuk pertumbuhan, pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak tidak kira samada kanak-kanak itu lelaki atau perempuan. Kasih sayang, penghargaan dan peluang yang diberi harus sama rata kepada kedua-dua jantina tanpa ada sikap pilih kasih.

Ibu-ibu secara amnya mengambil peranan utama menangani keperluan anak-anak mereka. Mereka menjaga, memberi makan, bermain, mengajar, mendidik dan menyayangi anak-anak. Peranan seorang bapa juga sama pentingnya dengan ibu dalam menyediakan segala keperluan, mendidik, menjaga anak-anak dan melindungi hak-hak mereka. Seorang bapa perlu membuat anak-anak perempuan dan anak-anak lelaki merasakan mereka adalah sama penting. Sama seperti ibu, bapa boleh membantu memenuhi keperluan anak dalam hal cinta, kasih sayang, penerimaan, galakan dan rangsangan. Bersama-sama, ibu dan bapa boleh memastikan bahawa anak-anak mereka menerima pendidikan yang berkualiti dan pemakanan yang baik dan penjagaan kesihatan yang sempurna.



Share:

Dec 18, 2014

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 1


Pembangunan kanak-kanak merujuk kepada perubahan-perubahan yang berlaku semasa kanak-kanak membesar dan berkembang. Perubahan-perubahan tersebut termasuklah yang berkaitan dengan fizikal, mental, spiritual, emosi dan sosial. 




Lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak menjadi asas penting. Ia adalah asas yang membentuk masa depan mereka. Kajian terbaru mengesahkan bahawa lima tahun pertama adalah penting untuk perkembangan otak kanak-kanak itu, dan tiga tahun pertama adalah waktu yang paling kritikal dalam membentuk  otak mereka. Pengalaman awal menyediakan asas untuk pembangunan organisasi otak yang akan berfungsi pada sepanjang hidup. Pengalaman awal ini mempunyai kesan langsung kepada bagaimana kanak-kanak mengembangkan kemahiran pembelajaran mereka serta kebolehan mereka bersosial dan mengendalikan emosi.


Kanak-kanak belajar dengan lebih cepat pada tahun-tahun awal kehidupan mereka berbanding dengan masa-masa lain. Mereka memerlukan kasih sayang dan asuhan untuk membangunkan rasa kepercayaan dan keselamatan yang akan bertukar menjadi keyakinan diri apabila mereka membesar. Bayi dan kanak-kanak membesar, berkembang dan belajar dengan cepat apabila mereka menerima kasih sayang, perhatian, dorongan dan rangsangan mental, serta makanan yang berkhasiat dan penjagaan kesihatan yang baik.


Memahami peringkat perkembangan kanak-kanak adalah penting. Dengan memahaminya, ibu bapa tahu bagaimana untuk memberi rangsangan, sokongan dan dorongan yang terbaik bagi memaksimakan potensi anak-anak. Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat  penjagaan kesihatan, pemakanan yang baik, pendidikan dan perlindungan daripada bahaya, penderaan dan diskriminasi. Kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran di mana mereka boleh mencapai potensi maksima dalam kehidupan mereka.


Justeru, menjadi kewajipan ibu bapa, penjaga, masyarakat dan kerajaan untuk memastikan bahawa hak-hak ini dihormati, dilindungi dan dipenuhi.







Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com