Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Apr 30, 2014

Belajar Berkongsi


Dalam artikel yang lepas, saya menulis tentang petua mendidik anak-anak berkongsi. Hari ini, saya akan kongsikan pengalaman seorang ibu yang menghadapi dan menangani kerenah anaknya yang belum mengerti erti perkongsian. Mudah-mudahan pengalaman ibu ini boleh kita jadikan panduan.

Aidil yang berusia 3 tahun masih belum mengerti erti ‘berkongsi’. Setiap kali kawan ibunya datang ke rumah mereka dengan membawa anak yang sebaya, dia bertindak seperti ‘pengawal’ yang menjaga barang-barang mainannya. Tiada siapa yang boleh menyentuh barang-barang mainan tersebut.

“Aidil punya!” dia akan menjerit jika ada rakan yang ingin mengambil mainannya.
“Aidil, share mainan tu dengan Ayden” kata Puan Amira, ibu Aidil.
“Tak boleh, ini mainan Aidil.” 

Situasi ini berterusan sehinggalah pada suatu hari, Puan Amira hilang kesabaran lalu berkeras dengan Aidil.

“Mama akan ambil semua mainan Aidil dan bagi kepada orang lain jika Aidil tak reti berkongsi. Dah berapa kali mama minta Aidil berkongsi. Kenapa Aidil tamak dan kedekut sangat?”

Aidil menangis. Pada malam itu, selepas menidurkan Aidil, Puan Amira berbincang dengan suaminya.

“Saya dah tak tahu nak buat macam mana.. Aidil tak reti berkongsi. Petang tadi, dia bergaduh dengan Ayden kerana berebutkan mainan.”

Kedua suami isteri itu berbincang tentang plan dan tindakan untuk menangani masalah Aidil yang tidak mahu berkongsi itu.

Apabila Ayden datang ke rumah mereka pada keesokan harinya, Puan Amira memberitahu Aidil tentang satu peraturan.

“Aidil, mama dah buat satu peraturan baru. Ayden boleh bermain dengan apa saja mainan di rumah ini asalkan mainan tersebut tidak dipegang oleh sesiapa. Jika mainan itu dipegang oleh Aidil, maka Ayden tidak boleh mengambilnya. Setiap orang boleh pegang dan bermain satu mainan sahaja pada satu-satu waktu. Ayden dan Aidil boleh bertukar-tukar barang mainan tersebut selepas itu. Barang mainan yang paling Aidil sayang, Aidil boleh simpan di dalam almari.”

Puan Amira memerhati dari jauh dan mendapati bahawa Aidil lebih tenang. Dia mengambil satu mainan, bermain dengannya dan membiarkan Ayden memilih mainannya sendiri daripada bakul yang menyimpan semua barang mainan.

“Mama rasa gembira dan bangga kerana Aidil boleh berkongsi bermain”

Puan Amira masuk ke dapur. Tiba-tiba dia terdengar Aidil menjerit.

“Aidil punya!”

Puan Amira berlari keluar untuk melihat. Ayden dan Aidil sedang berentap dan berebut sebuah kereta mainan.

“Okay. Mama akan ambik kereta mainan ini kerana ia menimbulkan masalah. Mama akan letakkan di kerusi ini selama 5 minit”

Aidil dan Ayden terkebil-kebil melihat kereta mainan tersebut tetapi mereka tidak berani mengambilnya. Selepas 5 minit, Puan Amira mengembalikan kereta mainan tersebut kepada Aidil dan Ayden tetapi mereka telah lupa tentang perebutan tersebut kerana mereka sedang bermain dengan blok.

Pada hari-hari yang berikutnya, Puan Amira nampak ada sedikit perkembangan. Pada kebanyakan waktu, Ayden dan Aidil sudah boleh bermain bersama-sama.


Untuk mengelakkan masalah

Pastikan ada sesetengah barang mainan hanya menjadi milik anak.
Sebelum anak boleh berkongsi, berilah peluang kepadanya untuk memiliki dan berkuasa atas sesuatu mainan yang disukainya. Pastikan barang mainan yang menjadi kegemaran anak disimpan di tempat tertutup supaya kita tidak perlu memaksa anak untuk berkongsi mainan tersebut. Ini juga akan mengurangkan punca perebutan di antara anak dah rakan-rakannya.


Modelkan perkongsian kita dengan kawan-kawan.
Tunjukkan kepada anak bahawa bukan dia sahaja yang diharapkan boleh berkongsi tapi kita juga sebagai ibu bapa wajar boleh berkongsi.

“Tadi auntie Yati pinjam buku resepi mama”


Berbual tentang makna berkongsi 
Beritahu anak-anak bahawa ‘berkongsi’ ialah satu perbuatan yang baik dan orang yang boleh berkongsi akan disukai ramai.

“Mama suka dan gembira melihat Aidil dan Ayden berkongsi kereta mainan itu dan bermain bersama-sama dengan baik”


Membuat peraturan
Sebelum kawan-kawannya datang ke rumah, seeloknya kita buat peraturan dan memberi penjelasan supaya anak faham.

“Ayden atau sesiapa saja boleh mengambil dan bermain dengan mainan yang tidak dipegang oleh sesiapa. Jika Aidil pegang mainan tersebut, orang lain tak boleh ambil tanpa kebenaran”


Memahami bahawa anak mungkin dapat berkongsi bermain dengan lebih baik jika dia berada di rumah kawannya.
Anak kita mungkin akan jadi kurang agresif jika berada di rumah orang lain apabila dia tahu mainan tersebut bukan seratus peratus miliknya. Ini perlu diterangkan oleh ibu bapa sebelum pergi ke rumah orang lain untuk bermain.


Menyedari bahawa berkongsi termasuk dalam sistem perkembangan kanak-kanak
Anak tidak boleh dipaksa dan digesa untuk berkongsi. Ibu bapa harus bersabar memberi didikan kerana kesannya tidak boleh dilihat dalam masa sehari. Biasanya, anak pada usia 3-4 tahun mula berkongsi tanpa perlu diberi peringatan oleh ibu bapa.

Menyelesaikan masalah/Apa yang perlu dibuat

Menyelia anak yang berusia 1 - 2 tahun bermain
Anak yang berusia kurang dari 3 tahun tidak boleh diharapkan untuk berkongsi. Awasi dan selia ketika mereka bermain untuk membantu jika terjadi perebutan. Mereka masih kecil untuk menangani masalah itu sendiri.


Menetapkan masa
Apabila terjadi perebutan atas satu mainan, kita boleh tetapkan masa atau jam loceng. Contohnya setiap anak diberi masa 10 minit untuk bermain dengan mainan tersebut. Apabila cukup 10 minit, jam loceng akan berbunyi dan mainan tersebut harus diserahkan kepada rakan yang lain untuk bermain. Melalui cara ini, anak dididik untuk bersabar mengambil giliran.


Jauhkan/Ambil mainan yang jadi rebutan
Jika satu mainan menjadi rebutan, ambil mainan tersebut sambil menerangkan kenapa kita bertindak demikian.

“Mainan ini jadi masalah so mama ambik dan letakkan di atas meja ini supaya tiada masalah lagi.”

Jika anak terus bergaduh tentangnya, simpan mainan tersebut untuk menunjukkan bahawa jika mereka tidak boleh berkongsi, tiada siapa yang boleh bermain dengannya.

Perkara yang tidak sepatutnya dibuat

Jangan naik darah/marah
Ingatlah bahawa anak akan belajar berkongsi apabila dia telah bersedia, bukan apabila kita memaksa dan menggesanya. Apabila kita nampak anak kita berkongsi sekali sekala, itu menunjukkan dia telah bersedia untuk itu dan haruslah kita memberi galakan dan dorongan.


Tidak perlu menghukum apabila kadang-kadang anak tidak berkongsi.
Ada masa-masanya anak kecil tidak mahu berkongsi. Jika ini berlaku, adalah lebih baik mengambil mainan tersebut daripada mengenakan hukuman keras ke atasnya. Dengan cara ini, kita meletakkan masalah kepada mainan bukan kepada anak.


Print Friendly and PDF




Share:

Apr 26, 2014

Petua Mendidik Anak-anak Kecil Berkongsi


“Nana punya!” Nana merampas anak patungnya dari tangan Alia. Alia pula menjerit hendakkan anak patung itu. Berlakulah satu perebutan. Ini mungkin situasi yang biasa ibu bapa alami. Anak-anak kecil tidak mahu berkongsi barang mainan dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Mereka masih kecil untuk memahami makna perkongsian dan belum tahu cara yang betul untuk berkongsi. Maka menjadi tanggung jawab kita untuk mendidik mereka. Di sini saya kongsi beberapa petua yang telah membantu saya mendidik anak-anak untuk berkongsi.

Tunjukkan contoh teladan
Pendidikan melalui contoh teladan adalah yang terbaik. Untuk mengajar anak berkongsi, maka ibu bapa perlu mempamerkan tingkah laku perkongsian itu di hadapan anak-anak. Terdapat banyak perkara yang boleh dikongsikan dengan ahli keluarga kita setiap hari, dan apabila kita berbuat demikian, serlahkan tindakan berkongsi itu di hadapan anak-anak supaya mereka boleh melihat. 

Penghargaan dan galakan
Kita perlu membuat anak mahu, ingin dan suka berkongsi. Salah satu cara untuk memberi inspirasi kepada tingkah laku ini ialah dengan memberi penghargaan. Berikan penghargaan setiap kali kita dapati anak boleh berkongsi barangnya dengan orang lain.

“Mama lihat Nana kongsi bermain anak patung kesayangan Nana dengan Alia tadi. Mama gembira tengok Nana dan Alia boleh bermain bersama-sama dengan baik.”


Berkomunikasi
Apabila anak-anak tidak mahu berkongsi, mungkin ada sesuatu yang berlaku di sebalik itu.  Berikan peluang untuk mereka menjelaskan sebab dan mengapa mereka tidak mahu berkongsi harta benda mereka dengan rakan sebaya. 

“Nana bukan tak nak kongsi anak patung ini dengan Alia. Dulu Alia dah rosakkan anak patung Nana. Anak patung yang ni Nana sayang sangat. Nana takut Alia akan rosakkan lagi.”

Ambil masa untuk berbincang dan memberitahu mengapa perkongsian adalah penting dan adalah satu perkara yang baik untuk dilakukan.

“Mama faham Nana takut Alia rosakkan anak patung kesayangan Nana ni.”
“Tapi Alia tentu sedih kalau Nana tak bagi dia main, mama.”
“Mama tahu Nana tak suka tengok kawan baik Nana sedihkan..”
“Ya mama.. mungkin Nana boleh ajar Alia cara pegang anak patung ni dengan betul atau Nana simpan aje anak patung ni dan main benda lain dengan Alia.”
“Nana buat keputusan. Mama yakin Alia tentu suka bermain dengan Nana.”


Bersabar
Belajar berkongsi tidak berlaku dalam sekelip mata. Ada fasa dalam tahap perkembangan kanak-kanak yang mana mereka menjadi terlalu posesif dan tidak suka berkongsi. Ketika menghadapi fasa ini, kita hendaklah bersabar, bersikap positif dan terus berusaha untuk mendidik dan memupuk semangat perkongsian di jiwa mereka.


Petua ini banyak membantu saya dan mungkin boleh membantu ibu bapa yang lain juga dengan izin Allah.


Print Friendly and PDF
Share:

Apr 24, 2014

Petua Bagi Menggalakkan Anak Membuat Kerja Rumah


Salah satu cara mudah untuk membantu anak-anak berkembang menjadi prihatin, bertimbang rasa dan bertanggungjawab apabila mereka dewasa adalah dengan memberi mereka tugas melakukan kerja-kerja rumah. Melalui tugas itu juga mereka belajar tentang kemahiran-kemahiran hidup yang akan diguna pakai apabila mereka telah mula hidup sendiri dan jauh daripada kita seperti apabila mereka melanjutkan pelajaran ke luar negeri dan sebagainya.

Namun, sering juga kita berhadapan dengan kerenah anak-anak yang liat apabila diminta untuk membantu melakukan kerja-kerja di rumah.  Ibu bapa perlu bertindak bijak untuk mengatasi kerenah ini. Menjadi sifat semula jadi manusia bahawa kita perlu berasa dikehendaki atau diperlukan dalam sesuatu kumpulan begitu juga anak-anak kita, mereka perlu berasa dikehendaki atau dipandang penting dalam keluarga. Anak-anak ingin tahu bahawa mereka menjadi sebahagian daripada ahli keluarga yang diperlukan untuk menjaga rumah supaya semuanya berjalan dengan lancar. Anak-anak yang dihargai di dalam rumah kerana membantu, mereka menjadi kurang cenderung untuk beralih kepada rakan-rakan untuk mendapat pengesahan dan semangat kekitaan.

Berikut ialah enam petua bagaimana menggalakkan anak-anak  untuk membantu dan menjalankan tugas-tugas di rumah.


1. Permintaan yang khusus
Jika anak-anak sukar untuk bekerjasama, kita boleh cuba memberikan mereka tugas yang lebih konkrit atau mempunyai tempoh masa yang terhad.

Daripada : "Kemaskan ruang tamu."
Cubalah: "Setiap orang perlu ambil dan simpan 10 mainan yang berselerak di ruang tamu.”
Daripada : "Kemas kain baju yang berselerak di bilik kamu."
Cubalah: " Mama nampak macam ada 5 helai baju yang perlu kamu gantung di dalam almari.” 
Daripada : “Kutip kain baju yang perlu dicuci.”
Cubalah: “Mama perlukan bantuan kamu selama 15 minit untuk mengutip semua pakaian yang perlu dicuci daripada semua bilik. Sekarang pukul 7, dan pada pukul 7.15, kamu boleh bermain di luar. "


2. Ambil masa untuk melatih
Anak-anak masih kurang kemahiran. Mereka tidak dilahirkan dan secara automatik pandai menyapu lantai dan mencuci pinggan. Wajar kita menunjuk ajar mereka melakukan sesuatu dengan cara yang menyeronokkan. 

" Okay Ella, masa untuk belajar  menyapu. Dah sedia? Jom kita cuba. Pertama, kita tarik kerusi-kerusi ni keluar dari bawah meja supaya kita boleh sapu di bawah meja dengan mudah.  Kemudian kita ambil penyapu dan sapu seperti ini. Kita sapu hingga ke sudut itu. Nah, Ella cuba sapu…” 


3. Menggalakkan bukan membebel
Ini mungkin petua yang paling penting. Apabila anak belajar buat pertama kalinya bagaimana memecahkan telur dan separuh daripadanya jatuh ke lantai, elakkan daripada marah sebaliknya cuba memahami bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. 

Elakkan daripada mengkritik secara negatif sebaliknya berikan galakan supaya mereka tidak takut untuk mencuba lagi dan lagi sehingga mereka menjadi mahir.

“Kesilapan ketika belajar memasak memang tidak boleh dielakkan, tetapi melalui kesilapan itu kita belajar bagaimana untuk melakukan sesuatu perkara dengan betul sehingga kita menjadi mahir.”

Elakkan daripada merungut tentang telur pecah yang mengotorkan lantai, sebaliknya ajar mereka untuk membersihkannya.

“Ella tolong ambik span itu dan mari kita bersihkan lantai ini sama-sama "

Berikan mereka peluang untuk mencuba lagi

“Boleh mama bagi cadangan? Ella boleh letakkan talam besar ini di bawah mangkuk.. Kalau telur pecah sebelum sempat Ella masukkan ke dalam mangkuk, ia akan jatuh ke dalam talam tersebut. 


4. Menyanyi atau berlagu
Ini lebih sesuai untuk anak-anak yang masih kecil. Jika kita ada CD lagu kanak-kanak tentang aktiviti mengemas, mungkin kita boleh pasangkan supaya anak-anak akan lebih ceria dan seronok. Jika tidak ada, mungkin kita sendiri boleh mencipta lagu dan senikatanya dan nyanyikan bersama anak-anak sambil melakukan kerja. Ia akan menceriakan keadaan dan kerja-kerja rumah akan menjadi lebih seperti permainan yang menyeronokkan.

Menyanyi sambil melakukan kerja juga adalah cara yang baik untuk menggalakkan perkembangan bahasa dan menarik perhatian. Bukan itu sahaja, muzik meningkatkan mood ceria , mengurangkan ketegangan otot dan meningkatkan perasaan bersantai.


5. Tunjukkan Penghargaan
Bagaimana perasaan kita jika usaha keras kita dihargai? Kita akan berasa puas hati, gembira dan seronok. Anak-anak kita juga akan merasai perkara yang sama. 

“Mama benar-benar menghargai kerja yang Ella lakukan. Apabila semua orang melakukan tugas dan tanggung jawab masing-masing, tentu rumah kita berada dalam keadaan yang kemas dan selesa. Terimakasih Ella. "

Penghargaan bukan sahaja membina harga diri anak-anak kita, bahkan ia juga boleh menjadi model bagaimana untuk mengucapkan terima kasih, rasa bersyukur dan menghargai orang lain.


6 Jangan menjadi lembut hati dengan aduan/alasan dan pujukan.
Anak-anak sering akan mengeluh apabila diminta untuk melakukan kerja mereka. Mereka akan memberi macam-macam alasan untuk mengelak seperti letih, tidak sihat, banyak kerja sekolah dan sebagainya. Alasan yang diberikan perlu kita teliti samada ia benar atau sekadar alasan untuk melepaskan diri. Kita perlu ada garis panduan untuk kekal fokus kepada matlamat iaitu mengajar anak-anak kemahiran hidup dan menjadi seorang yang bertanggung jawab. 

Apabila anak berkata:
“Mengapa asyik Ella aje yang kena buat kerja? Adik relax aje..tak payah buat apa-apa”

Kita boleh menjawab :
" Dalam keluarga ini, kita saling membantu antara satu sama lain”
" Papa dan mama cuba sebaik mungkin untuk memberi setiap orang dalam keluarga ini apa yang mereka perlukan.”
" Kadang-kadang Ella kena buat kerja lebih , kadang-kadang adik. "
" Kerja-kerja yang ditugaskan kepada setiap orang adalah mengikut tahap umur dan keupayaan masing-masing. Kerja yang mama suruh Ella buat ialah kerja yang Ella mampu buat sedangkan adik tidak mampu kerana dia masih kecil.”


Mengajar anak-anak membuat kerja rumah boleh membantu mereka untuk menilai diri mereka sendiri dan keupayaan mereka untuk menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar kepada diri mereka sendiri, keluarga dan masyarakat. Semuanya hendaklah bermula seawal yang mungkin, di peringkat mereka masih kecil.


Print Friendly and PDF
Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com