Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Apr 30, 2014

Belajar Berkongsi


Dalam artikel yang lepas, saya menulis tentang petua mendidik anak-anak berkongsi. Hari ini, saya akan kongsikan pengalaman seorang ibu yang menghadapi dan menangani kerenah anaknya yang belum mengerti erti perkongsian. Mudah-mudahan pengalaman ibu ini boleh kita jadikan panduan.

Aidil yang berusia 3 tahun masih belum mengerti erti ‘berkongsi’. Setiap kali kawan ibunya datang ke rumah mereka dengan membawa anak yang sebaya, dia bertindak seperti ‘pengawal’ yang menjaga barang-barang mainannya. Tiada siapa yang boleh menyentuh barang-barang mainan tersebut.

“Aidil punya!” dia akan menjerit jika ada rakan yang ingin mengambil mainannya.
“Aidil, share mainan tu dengan Ayden” kata Puan Amira, ibu Aidil.
“Tak boleh, ini mainan Aidil.” 

Situasi ini berterusan sehinggalah pada suatu hari, Puan Amira hilang kesabaran lalu berkeras dengan Aidil.

“Mama akan ambil semua mainan Aidil dan bagi kepada orang lain jika Aidil tak reti berkongsi. Dah berapa kali mama minta Aidil berkongsi. Kenapa Aidil tamak dan kedekut sangat?”

Aidil menangis. Pada malam itu, selepas menidurkan Aidil, Puan Amira berbincang dengan suaminya.

“Saya dah tak tahu nak buat macam mana.. Aidil tak reti berkongsi. Petang tadi, dia bergaduh dengan Ayden kerana berebutkan mainan.”

Kedua suami isteri itu berbincang tentang plan dan tindakan untuk menangani masalah Aidil yang tidak mahu berkongsi itu.

Apabila Ayden datang ke rumah mereka pada keesokan harinya, Puan Amira memberitahu Aidil tentang satu peraturan.

“Aidil, mama dah buat satu peraturan baru. Ayden boleh bermain dengan apa saja mainan di rumah ini asalkan mainan tersebut tidak dipegang oleh sesiapa. Jika mainan itu dipegang oleh Aidil, maka Ayden tidak boleh mengambilnya. Setiap orang boleh pegang dan bermain satu mainan sahaja pada satu-satu waktu. Ayden dan Aidil boleh bertukar-tukar barang mainan tersebut selepas itu. Barang mainan yang paling Aidil sayang, Aidil boleh simpan di dalam almari.”

Puan Amira memerhati dari jauh dan mendapati bahawa Aidil lebih tenang. Dia mengambil satu mainan, bermain dengannya dan membiarkan Ayden memilih mainannya sendiri daripada bakul yang menyimpan semua barang mainan.

“Mama rasa gembira dan bangga kerana Aidil boleh berkongsi bermain”

Puan Amira masuk ke dapur. Tiba-tiba dia terdengar Aidil menjerit.

“Aidil punya!”

Puan Amira berlari keluar untuk melihat. Ayden dan Aidil sedang berentap dan berebut sebuah kereta mainan.

“Okay. Mama akan ambik kereta mainan ini kerana ia menimbulkan masalah. Mama akan letakkan di kerusi ini selama 5 minit”

Aidil dan Ayden terkebil-kebil melihat kereta mainan tersebut tetapi mereka tidak berani mengambilnya. Selepas 5 minit, Puan Amira mengembalikan kereta mainan tersebut kepada Aidil dan Ayden tetapi mereka telah lupa tentang perebutan tersebut kerana mereka sedang bermain dengan blok.

Pada hari-hari yang berikutnya, Puan Amira nampak ada sedikit perkembangan. Pada kebanyakan waktu, Ayden dan Aidil sudah boleh bermain bersama-sama.


Untuk mengelakkan masalah

Pastikan ada sesetengah barang mainan hanya menjadi milik anak.
Sebelum anak boleh berkongsi, berilah peluang kepadanya untuk memiliki dan berkuasa atas sesuatu mainan yang disukainya. Pastikan barang mainan yang menjadi kegemaran anak disimpan di tempat tertutup supaya kita tidak perlu memaksa anak untuk berkongsi mainan tersebut. Ini juga akan mengurangkan punca perebutan di antara anak dah rakan-rakannya.


Modelkan perkongsian kita dengan kawan-kawan.
Tunjukkan kepada anak bahawa bukan dia sahaja yang diharapkan boleh berkongsi tapi kita juga sebagai ibu bapa wajar boleh berkongsi.

“Tadi auntie Yati pinjam buku resepi mama”


Berbual tentang makna berkongsi 
Beritahu anak-anak bahawa ‘berkongsi’ ialah satu perbuatan yang baik dan orang yang boleh berkongsi akan disukai ramai.

“Mama suka dan gembira melihat Aidil dan Ayden berkongsi kereta mainan itu dan bermain bersama-sama dengan baik”


Membuat peraturan
Sebelum kawan-kawannya datang ke rumah, seeloknya kita buat peraturan dan memberi penjelasan supaya anak faham.

“Ayden atau sesiapa saja boleh mengambil dan bermain dengan mainan yang tidak dipegang oleh sesiapa. Jika Aidil pegang mainan tersebut, orang lain tak boleh ambil tanpa kebenaran”


Memahami bahawa anak mungkin dapat berkongsi bermain dengan lebih baik jika dia berada di rumah kawannya.
Anak kita mungkin akan jadi kurang agresif jika berada di rumah orang lain apabila dia tahu mainan tersebut bukan seratus peratus miliknya. Ini perlu diterangkan oleh ibu bapa sebelum pergi ke rumah orang lain untuk bermain.


Menyedari bahawa berkongsi termasuk dalam sistem perkembangan kanak-kanak
Anak tidak boleh dipaksa dan digesa untuk berkongsi. Ibu bapa harus bersabar memberi didikan kerana kesannya tidak boleh dilihat dalam masa sehari. Biasanya, anak pada usia 3-4 tahun mula berkongsi tanpa perlu diberi peringatan oleh ibu bapa.

Menyelesaikan masalah/Apa yang perlu dibuat

Menyelia anak yang berusia 1 - 2 tahun bermain
Anak yang berusia kurang dari 3 tahun tidak boleh diharapkan untuk berkongsi. Awasi dan selia ketika mereka bermain untuk membantu jika terjadi perebutan. Mereka masih kecil untuk menangani masalah itu sendiri.


Menetapkan masa
Apabila terjadi perebutan atas satu mainan, kita boleh tetapkan masa atau jam loceng. Contohnya setiap anak diberi masa 10 minit untuk bermain dengan mainan tersebut. Apabila cukup 10 minit, jam loceng akan berbunyi dan mainan tersebut harus diserahkan kepada rakan yang lain untuk bermain. Melalui cara ini, anak dididik untuk bersabar mengambil giliran.


Jauhkan/Ambil mainan yang jadi rebutan
Jika satu mainan menjadi rebutan, ambil mainan tersebut sambil menerangkan kenapa kita bertindak demikian.

“Mainan ini jadi masalah so mama ambik dan letakkan di atas meja ini supaya tiada masalah lagi.”

Jika anak terus bergaduh tentangnya, simpan mainan tersebut untuk menunjukkan bahawa jika mereka tidak boleh berkongsi, tiada siapa yang boleh bermain dengannya.

Perkara yang tidak sepatutnya dibuat

Jangan naik darah/marah
Ingatlah bahawa anak akan belajar berkongsi apabila dia telah bersedia, bukan apabila kita memaksa dan menggesanya. Apabila kita nampak anak kita berkongsi sekali sekala, itu menunjukkan dia telah bersedia untuk itu dan haruslah kita memberi galakan dan dorongan.


Tidak perlu menghukum apabila kadang-kadang anak tidak berkongsi.
Ada masa-masanya anak kecil tidak mahu berkongsi. Jika ini berlaku, adalah lebih baik mengambil mainan tersebut daripada mengenakan hukuman keras ke atasnya. Dengan cara ini, kita meletakkan masalah kepada mainan bukan kepada anak.


Print Friendly and PDF




Share:

2 comments:

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Join 139 Other Subscribers

Recent Posts

Popular Posts

Blogviews


Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com