Kata Rudolf Dreikurs…"anak memerlukan dorongan seperti pokok memerlukan air", dalam erti kata lain, dorongan adalah satu keperluan. Anak tidak akan mati tanpa dorongan tapi mereka akan menjadi layu atau tidak bersemangat.
Hasil kajian yang dilakukan oleh Carol Dweck, Ph.D. (seorang professor di Colombia University) menunjukkan bahawa pujian tidak begitu elok untuk anak-anak. Beliau mendapati bahawa pujian boleh menyebabkan anak-anak tidak suka mengambil risiko (takut untuk mencuba sesuatu yang baru). Anak-anak yang dipuji sebagai seorang yang bijak apabila mereka berjaya menyelesaikan sesuatu kerja/perkara akan memilih kerja yang lebih mudah di masa depan. Mereka tidak suka mengambil risiko untuk melakukan kerja yang lebih mencabar kerana takut gagal dan dianggap tidak bijak. Sebaliknya anak-anak yang mendapat dorongan atas usaha mereka lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu yang lebih mencabar.
Berikan dorongan kepada usaha yang dilakukan oleh anak bukan kepada peribadi anak. Jika selalu kita katakan begini.."Wahh..anak ayah dapat 8A. Ayah bangga dengan kamu. Kamu memang pandai" adalah lebih baik kita ubah sedikit cara dorongan kita kepada begini…"Tahniah, kamu telah berusaha keras untuk dapat 8A. Kamu memang layak". Kelihatan seperti tiada perbezaan tapi ia boleh mengubah persepsi anak.
Anak-anak memang suka dipuji. Siapa yang tidak suka bila dipuji? (Saya pun suka). Anggap saja pujian itu seperti gula-gula. Makan sedikit dan jarang-jarang makan tentu tidak memudharatkan tapi jika makan banyak dan makan hari-hari, lambat laun, tentu akan menimbulkan masalah dari segi kesihatan. Justeru ibu bapa harus berwaspada dalam memberikan pujian kepada anak-anak, jangan sampai mereka ketagihan kepada pujian. Ingin dipuji setiap masa, jika tidak dipuji, mereka tidak ada initiatif untuk melakukan sesuatu. Untuk hasil yang cepat, pujian memang memberi kesan. Kita tentu suka melihat anak kita gembira, seronok dan muka bercahaya apabila dipuji. Namun kesan jangka panjang tidak begitu positif. Pujian mendidik anak kita menjadi "approval junkies". Mereka belajar untuk bergantung kepada pujian/penilaian orang lain bagi mendapatkan harga diri. Manakala dorongan pula mendidik anak supaya bijak bermuhasabah dan menilai diri sendiri.
Dorongan yang berkesan memerlukan sikap yang positif di pihak ibu bapa. Jangan memperkecilkan pendapat anak-anak dengan menunjukkan kelakuan kita yeng memberi mesej kepada anak-anak bahawa pendapat mereka tidak penting atau tidak betul. Tunjukkan minat kita untuk meneliti apa yang diperkatakan oleh anak-anak serta memberi peluang kepada mereka untuk belajar memahirkan diri dalam apa saja kerja yang dilakukan. Ini akan membantu mereka meningkatkan keyakinan diri serta ketahanan dalam menghadapi kritikan/pendapat yang negatif daripada orang lain.
0 comments:
Post a Comment
Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.