Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Jun 22, 2012

Aduhai anakku..jangan menangis!


[mother.jpg]


Kajian ada menunjukkan bahawa ibubapa mahir tentang tahap demi tahap perkembangan fizikal anak-anak sejak dari hari pertama anak dilahirkan (seperti duduk, merangkak, berjalan etc) kerana tumbesaran fizikal nampak jelas di mata. Walaubagaimana pun ibubapa agak ragu-ragu tentang perkembangan minda, sosial, dan lebih-lebih lagi emosi dan spiritual. Sebagaimana yang selalu saya katakan, semua perkembangan itu berlaku serentak. Perkembangan fizikal berlaku serentak bersama perkembangan minda, sosial, emosi dan spiritual. Contohnya ketika anak kita mula boleh berjalan, dalam masa yang sama dia mula merasakan sesuatu tentang dirinya ("aku dah boleh berdikari sekarang"). Stimulasi dan pendidikan yang diberi wajar meliputi semua aspek perkembangan ini.


Di antara usia 0 hingga 3 tahun, mungkin kita boleh ceraikan perkembangan anak kepada 4 fasa yang berbeza untuk memudahkan kita memahaminya. Dalam 4 fasa yang berbeza ini, ada perkembangan-perkembangan tertentu yang ibubapa harus tahu dan kemudian mereka dapat menyediakan persekitaran yang boleh menggalakkan perkembangan tersebut. 4 fasa perkembangan tersebut ialah:
0 - 2 bulan 2 - 7 bulan 7 - 15 bulan 15 - 36 bulan 
Fasa-fasa ini merupakan satu guideline semata-mata. Setiap anak-anak berkembangan mengikut tahap mereka sendiri. Ada anak-anak yang agak cepat dan ada anak-anak yang agak lambat sedikit perkembangannya. Selagi perkembangan mereka berada di dalam 'range' yang menasabah, ibubapa tidak perlu risau.


Saya mulakan dengan fasa yang pertama iaitu ketika anak berusia 0 hingga 2 bulan. Di sini ada dua kes yang hampir sama.


Kes pertama

Seorang ibu muda (mungkin anak sulong) tersedar apabila bayi menangis. Waktu itu pukul 3 pagi. Ibu muda itu cepat-cepat bangun dan pergi mendapatkan anaknya. Bayi boleh mengesan lampu dipasang kemudian dia rasakan sentuhan dan dakapan sayang ibunya. Walaupun mungkin ketika itu bayi lapar, namun apabila merasakan sentuhan dan dakapan ibu, bayi akan bertenang. Untuk setengah jam bayi menyusu, kadang-kadang bayi berhenti sambil memandang ke wajah ibunya. Si ibu pula bersuara lembut bercakap dengan bayinya sambil tersenyum. Setelah puas minum, ibu muda itu menepuk-nepuk belakang bayi hingga bayinya kembali tidur dengan tenang dan aman.

Kes ini adalah kes biasa - seorang ibu menyusui bayinya yang baru lahir. Tapi yang tersirat di sebalik yang tersurat adalah yang luar biasa. Bayi mempelajari sesuatu dengan situasi ini. Apa agaknya yang dipelajari oleh bayi itu?


Kes kedua

Situasi hampir sama, pukul 3 pagi seorang ibu muda tersedar apabila terdengar tangisan bayi. Ibu yang mungkin kali pertama melahirkan cahaya mata, belum ada pengalaman barangkali, bila terdengar tangisan bayi itu, hatinya menjadi geram kerana si ibu baru saja terlena setelah bergaduh besar dengan ayah si bayi. 

"Diamla!" si ibu menjerit. 

Bayi itu semakin kuat menangis. Kerana tidak tahan mendengar tangisan itu, si ibu bangun dengan perasaan yang tertekan sambil mendapatkan bayinya. Bayi itu diangkat dengan kasar dan diberi minum susu. Ketika minum, si ibu merungut tentang bermacam-macam perkara. Sebenarnya bayi itu boleh merasakan ketegangan yang dialami oleh ibunya. Bayi itu kemudian berhenti menyusu dan menangis semula. Si ibu bertambah tertekan dan naik angin. Si ibu meletakkan semula bayi yang sedang menangis di atas katilnya dan melarikan dirinya ke dapur. Bayi akhirnya berhenti menangis dan terlena keletihan.


Ini juga kes yang pernah berlaku - seorang ibu menyusui bayinya dalam keadaan yang tertekan. Juga ada yang dipelajari oleh bayi dengan situasi ini. Tapi apa yang dipelajari oleh bayi dalam kes pertama tentu berbeza dengan apa yang dipelajari oleh bayi dalam kes kedua. 

bersambung...

Share:

0 comments:

Post a Comment

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Recent Posts

Blogviews

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com