Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Jun 22, 2012

Pendidikan Kerohanian ( di bawah 6 bulan)




Sebagai orang Islam, penting bagi ibubapa menerapkan pendidikan rohani kepada anak-anak. Seperti pendidikan-pendidikan yang lain (mental, emosi dan sosial), pendidikan rohani juga wajar diterapkan kepada anak-anak ketika masih kecil di mana ketika ini perkembangan otak berlaku dengan pesatnya.

Menurut Islam, pendidikan rohani seorang kanak-kanak bermula seawal dan di saat memilih pasangan hidup. Seorang lelaki atau perempuan mestilah berhati-hati dalam memilih pasangan hidup masing-masing kerana ini akan menentukan corak hidup yang akan dilalui oleh pasangan tersebut selepas mereka berkahwin. Dalam memilih isteri/suami, sebolehnya kita mengikuti pesanan Nabi (saw) kita iaitu lebih mengutamakan yang beragama (beriman). Setelah mendapat pasangan yang sesuai, hendaklah menyegerakan ijab kabul bagi membolehkan pasangan tersebut bergaul secara sah. Sebelum melakukan hubungan intim, pasangan digalakkan berdo’a. Andainya ditakdirkan Allah mereka memperolehi zuriat ketika itu, InsyaAllah anak tersebut sedikit sebanyak akan terpelihara dari gangguan syaitan.

Saat yang ditunggu-tunggu telah tiba. Isteri disahkan mengandung. Alhamdulillah, suami dan isteri hendaklah bersyukur kepada Allah.

Dialah yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isterinya agar dia merasa senang kepadanya. Maka setelah dicampurinya, isterinya itu mengandung kandungan yang ringan, dan teruslah dia merasa ringan (beberapa waktu). Kemudian tatkala dia merasa berat, keduanya (suami isteri) bermohon kepada Allah, Tuhannya seraya berkata: “ Sesungguhnya jika Engkau memberi kami anak yang sempurna, tentulah kami termasuk orang-orang yang bersyukur”. (Al- A’raaf 7: 189) 

Bakal ibu yang sedang mengandung mengalami beberapa perubahan dari segi psaikologi, emosi dan fizikal. Ketika ini bakal ibu memerlukan sokongan dan penjagaan yang baik. Ketegangan yang berlaku boleh meninggalkan kesan yang kurang baik ke atas janin. Oleh itu suami hendaklah cuba elakkan dari melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan ketegangan terhadap isterinya yang sedang mengandung. Kadang kala disebabkan kesibukan, suami tidak dapat memberikan sepenuh sokongan dan penjagaan seperti yang diharapkan. Ketika ini, saudara mara dan rakan-rakan boleh membantu memberi sokongan.

Janin yang sedang membesar di dalam perut ibu sebenarnya boleh mendengar suara percakapan ibu dan merasai perasaan yang dirasai oleh ibu. Maka hendaklah ibu yang sedang mengandung melakukan solat wajib dan memperbanyakkan solat sunat serta membaca dan mendengar bacaan Quran. Ini akan membantu mententeramkan ibu dan janin. Ibu yang mengandung hendaklah sedaya upaya mengelak dari stress kerana stress boleh menyebabkan keletihan, kebimbangan, hilang selera makan, menurunkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan penyakit, darah tinggi dan penyakit jantung di mana penyakit-penyakit ini mendatangkan kesan terhadap perkembangan janin.

Penjagaan semasa mengandung menurut Islam sebenarnya bermula di rumah. Sokongan fizikal dan emosi yang diterima oleh ibu yang mengandung boleh mengelakkan dari kelahiran premature (tidak cukup bulan), kematian bayi dan perkembangan fizikal dan mental yang terencat pada seseorang bayi. Bakal ibu dan bakal bapa digalakkan supaya banyak berdo’a untuk kebaikan dan agar bayi yang bakal dilahirkan sempurna dalam semua segi.

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari satu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang paling baik. (Al-Mu’minun 23:12 - 14)

Setelah menjalani tempoh mengandung iaitu lebih kurang 40 minggu, maka bayi sudah bersedia untuk dilahirkan ke dunia. Maka hendaklah disambut kelahiran bayi dengan Azan di telinga kanan dan Iqamah di telinga kiri untuk mengingatkan anak yang baru lahir itu bahawa Penciptanya sentiasa bersamanya.

Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalam (tubuh)nya roh (ciptaan)-Nya dan dia menjadikan bagi kamu, pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur. (As-Sajdah 32:9) 

Bayi yang baru dilahirkan memerlukan sokongan, perhatian dan kasih sayang dari ibu dan ayah. Sebaiknya bayi diberi susu ibu. Dengan menyusu sendiri, akan terbentuklah hubungan dan ikatan di antara ibu dan anak yang mana ikatan dan hubungan ini amat penting dalam kita mendidik mereka. Susu ibu hendaklah diberi berterusan sehingga bayi berusia dua tahun.

Para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seseorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya, dan waris pun berkewajipan demikian. Apabila kedua ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberi pembayaran menurut yang patut. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah 2:233)

Sebagai menunjukkan rasa bersyukur di atas kurniaan Allah, maka pada hari ketujuh kelahiran anak, disunatkan membuat aqeeqah iaitu menyembelih binatang dan dagingnya diberi kepada sanak-saudara, jiran tetangga dan orang-orang miskin. Ketika ini juga disunatkan mencukur rambut bayi dan memberikannya nama yang baik-baik kerana nama itu kadang-kadang dapat mencerminkan peribadi seseorang. Hendaklah berhati-hati dalam menyebut nama anak supaya makna yang tepat dan betul contohnya Abdul Haqq (servant of Allah) tapi jika silap menyebutnya Abdul Hakk, maksudnya telah berubah (servant of scratching). Elakkan dari memberi nama yang menyerupai nama Allah seperti Rahim. Seeloknya letakkan Abdul menjadi Abdul Rahim (hamba yang Penyayang) dan elakkan juga dari memberi nama yang mempunyai maksud yang negatif dan tidak baik.

Bermula dari hari anak dilahirkan ke dunia, ibu dan bapa perlu menyediakan persekitaran yang bercorak Islam agar anak membesar dalam suasana Islam. Anak hendaklah dibiasakan dengan solat. Letakkan anak di tempat yang berdekatan supaya dia boleh melihat kita bersolat dan memerhati setiap pergerakan yang dilakukan ketika solat serta mendengar bacaan yang dibaca ketika solat. Apabila selesai solat, peluk dan ciumlah anak bagi memberi gambaran bahawa solat adalah menggembirakan. Jika anak dijauhkan walaupun dia menangis atau dimarahi kerana mengganggu, maka dia akan mendapat gambaran bahawa solat itu adalah perbuatan yang tidak senang dan menyusahkan. Sekiranya keadaan ini berterusan, anak akan menjadi malas untuk bersolat ketika dia meningkat remaja.

Selain dari itu, anak juga hendaklah dibiasakan dengan Quran. Ayah atau ibu hendaklah sentiasa memperdengarkan bacaan Quran kepada anak. Rakaman kaset juga boleh digunakan. Otak bayi berkembang dengan pesat. Oleh itu, jika didengarkan ayat-ayat Quran secara konsisten, ayat-ayat ini akan disimpan di dalam otak. Ini akan memudahkan apabila tiba masa anak mempelajari al-Quran kelak.

Ketika berinteraksi dengan anak dalam kehidupan seharian, ibu dan bapa juga boleh menerapkan nilai-nilai Islam. Ketika makan umpamanya, sebelum menyuapkan makanan ke mulutnya, hendaklah membaca do’a dan bismillah. Ibubapa juga boleh menggunakan masa “bedtime story” untuk membacakan buku-buku yang menceritakan kisah Nabi dan para sahabat supaya didengar oleh anak. Memang menjadi tabi’at anak suka kepada melodi, maka ibubapa boleh bernasyid atau memasang kaset nasyid di rumah.

Sebagai kesimpulan, dalam enam bulan pertama, pendidikan kerohanian boleh diterapkan kepada anak dengan menyediakan persekitaran yang bercorak Islam. Ayah dan ibu memainkan peranan yang penting untuk memperlihatkan contoh tauladan yang baik yang boleh diperhati oleh anak. Keadaan ini hendaklah berterusan.

Share:

0 comments:

Post a Comment

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Recent Posts

Blogviews

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com