Setiap anak adalah unik. Sama seperti orang dewasa, anak-anak juga mempunyai keistimewaan yang tersediri. Ada yang bijak dalam bidang matematik, ada yang bijak dalam bidang pertukangan dan sebagainya. Jika ibu dan bapa pernah melalui hari-hari yang lancar dan tidak lancar begitu juga anak-anak. Ada hari yang tidak begitu lancar bagi anak-anak lantas mereka menunjukkan tantrum dan tingkah laku yang menjengkelkan. Ada hari yang mereka berkelakuan yang menyenangkan hati ibu dan bapa.
Sebagai ibu bapa, biar bagaimanapun tingkah laku anak pada hari-hari tertentu, wajar kita menerima mereka seadanya. Jangan sampai tingkah laku kita memberi mesej kepada anak-anak bahawa mereka hanya akan diterima dan disayangi ketika mereka berkelakuan baik sahaja. Sebagai manusia biasa, ditambah lagi dengan perkembangan mereka yang belum matang, tingkah laku negatif itu tidak dapat dielakkan. Apabila kita menerima mereka tidak kira ketika mereka berkelakuan baik atau sebaliknya, sebenarnya kita menyampaikan mesej kepada anak-anak bahawa kita tidak mengharapkan kesempurnaan daripada mereka, tetap menghargai dan menyayangi mereka. Menerima anak-anak bukan bermakna kita bersetuju dengan tingkah laku negatif mereka tapi kita menerima mereka sebagai manusia yang tidak sempurna.
Ada ibu bapa yang terlampau banyak memberi teguran kerana mereka berfikir dengan berbuat begitu, anak-anak akan menjadi lebih baik. Teguran yang melampau dengan cara yang negatif kadang-kadang boleh menjadi sebaliknya. Bagaimana perasaan kita jika kawan kita setiap hari berkata begini kepada kita..
"Saya tahu apa yang tak betulnya dengan awak. Biar saya bagitau awak dan apa yang awak perlu buat ialah ubah perangai awak tu.."
Apa yang kita rasa, mungkin juga akan dirasai oleh anak kita. Walaupun kita mengharapkan anak-anak akan berkelakuan baik setiap masa, tetapi ada ketikanya mereka tidak menjadi seperti yang kita harapkan. Pada ketika itu, anak-anak sangat memerlukan kasih sayang dan penerimaan serta kefahaman dari ibu bapa. Malah ini juga yang mereka perlukan ketika mereka berkelakuan baik. Ini bermakna, tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, anak-anak memerlukan kasih sayang dan penerimaan dari ibu dan bapa.
Kes 1
Amar menunjukkan ringkasan yang ditulis untuk projek sejarah kepada ayahnya. Dalam ringkasan itu, guru sejarahnya banyak memberi komen.
"Cikgu Amin tak suka ringkasan Amar. Dia kata ringkasan yang Amar buat ini tidak lengkap dan kurang maklumat"
Ayah Amar meneliti ringkasan tersebut.
"Cuba Amar tengok komen cikgu di bahagian ini.. Cikgu tulis idea Amar di bahagian ini baik dan tepat. Dan ni..tengok apa cikgu tulis di sini..Cikgu kata ringkasan Amar padat cuma kurang detail saja"
"Betul la kata ayah.. Mungkin Amar kena bagi penerangan dengan lebih detail lagi.."
Kes 2
Leela berbohong kepada gurunya. Dia memberitahu cikgunya bahawa dia tertinggal homeworknya di rumah. Yang sebenarnya Leela tidak siap membuat homeworknya itu. Cikgu menalipon ibu Leela untuk memberitahu tentang hal tersebut. Malam itu, sewaktu hendak tidur, ibu Leena bertanya kepadanya. Leela menangis.
"Leela budak jahat..Leela tipu cikgu.."
"Leela, menipu memang salah tapi Leela bukan budak jahat. Leela cuma buat pilihan yang tidak tepat di depan cikgu siang tadi …iaitu antara bercakap benar dan bercakap bohong. Jom kita tengok apa yang patut kita buat untuk membetulkan keadaan"
Dalam kedua-dua kes, ayah Amar dan ibu Leela menerima anak mereka seadanya tetapi itu tidak bermakna mereka bersetuju dengan tingkah laku negatif yang dilakukan oleh anak masing-masing. We can accept our children without accepting their misbehaviour.
0 comments:
Post a Comment
Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.