Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Feb 8, 2015

Tips untuk Membangun Tabiat Membaca di Rumah




Adakah anda tahu bahawa anda boleh melakukan perkara-perkara yang mudah di rumah untuk membantu anak-anak tidak kira usia, membangunkan tabiat membaca? Pendedahan kepada tabiat yang baik ini akan membantu kanak-kanak menjadi pembaca tegar dan seterusnya menjadi pelajar yang lebih berpengetahuan. Langkah pertama dalam membangunkan tabiat membaca dan anak-anak yang cintakan ilmu pengetahuan bermula di dalam rumah dan di kalangan keluarga sendiri. Berikut adalah beberapa cadangan mudah yang boleh kita gunakan untuk membantu anak-anak membangunkan kemahiran membaca:

  • Pastikan anak-anak memerhati kita membaca secara tetap. Apa yang kita baca tidak penting - apabila melihat kita  membaca resipi, majalah, surat khabar, buku, dan bahan bacaan yang lain, ia akan mengukuhkan kepentingan membaca.

  • Untuk merangsang minat membaca, simpan bahan-bahan bacaan di seluruh rumah, di meja makan, di dalam bilik air, di dapur, di bilik tidur dan sebagainya. Ini akan meningkatkan  dan memudahkan anak-anak mendapatkan buku-buku dan bahan bercetak. Bantu mereka untuk memahami bahawa membaca tidak hanya berlaku di sekolah - ia boleh berlaku di mana-mana sahaja. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang membaca di luar sekolah adalah pelajar yang lebih berpengetahuan dan berjaya.

  • Jika kita tidak begitu lancar membaca, bercakaplah dengan anak-anak mengenai gambar-gambar yang ada di dalam buku, majalah dan surat khabar. Ia adalah penting untuk anak-anak melihat usaha yang kita lakukan untuk memperolehi kebolehan membaca. Di samping itu, minta  mereka membaca dengan kuat atau menceritakan semula  tentang apa yang mereka telah baca dengan menggunakan perkataan dan ayat mereka sendiri.

  • Bawa anak-anak ke perpustakaan awam selalu. Gunakan segala kemudahan yang ditawarkan di perpustakaan tersebut. Kita boleh mendapatkan kad perpustakaan untuk meminjam buku, CD, dan DVD secara percuma! Pastikan anak-anak kita juga ada kad perpustakaan mereka sendiri bagi membolehkan mereka meminjam buku kegemaran mereka.

  • Galakkan anak-anak membaca dalam bahasa ibunda. Membangunkan kemahiran membaca dalam bahasa ibunda tidak akan menghalang keupayaan anak-anak untuk membaca dalam Bahasa Inggeris - ia akan membantu!

  • Jangan biarkan anak-anak menonton televisyen sehingga mereka telah melakukan pembacaan harian mereka.

  • Apabila anak-anak kita telah boleh membaca dengan baik, berbuallah dengan mereka tentang apa yang telah mereka baca. Apabila anak-anak selesai membaca suatu cerita, bincangkan idea-idea utama, perkataan-perkataan baru dan konsep penggunaannya, serta seksyen atau watak yang menjadi kegemaran mereka. Ini akan membantu untuk mengukuhkan tahap kefahaman mereka.

Dengan mengambil langkah-langkah ini di rumah, kita bukan sahaja akan menggalakkan anak-anak untuk membaca  bahkan kita juga akan membantu mereka berjaya di dalam dan di luar kelas!


Share:

0 comments:

Post a Comment

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com