Aisya berusia 5 tahun. Dia suka membuat bising apabila ibunya bercakap di talipon. "Mama, mama…" Dia akan terus memanggil sehinggalah ibunya terpaksa meletakkan talipon atau kadang-kadang ibunya masuk bilik dan mengunci pintu untuk bercakap di talipon tanpa gangguan. Aisya yang ditinggalkan di luar akan meraung serta mengetuk-ngetuk pintu bilik. Tingkah laku Aisya itu kadang-kadang membuatkan ibunya naik angin.
Kanak-kanak sebaya Aisya perlukan 'approval' daripada ibu bapa. Mereka perlu kita mengiakan atau mengakui kebolehan yang baru mereka pelajari seperti melompat, mengangkat sebelah kaki dan sebagainya.
"Mama..mama..tengok ni..Aisya dah boleh melompat"
"Wahh..anak mama dah boleh lompat..Cuba lompat lagi, mama tengok"
Jika kita gagal memberi perhatian ketika mereka memerlukan perhatian dan 'approval', anak-anak akan belajar untuk memutuskan hubungan emosi dengan kita. Lama kelamaan, apabila mereka meningkat remaja hubungan antara kita dan mereka seperti ada jurang. Di saat itu tidak mudah bagi anak-anak untuk bercakap atau meluahkan segala permasalahan mereka kepada kita. Ketika itu, kita pula tertanya-tanya..
"Kenapa Aisya diam? Kenapa tak mahu berbual dengan mama?"
Zaman telah berubah. Pada masa dahulu, kebanyakan ibu tidak berkerja dan menjadi surirumah sepenuh masa. Setiap hari anak-anak pulang dari sekolah, mereka disambut dan dilayani oleh ibu dengan mesra. Tetapi zaman sekarang, ibu terpaksa keluar bekerja bagi menampung keperluan kewangan yang semakin meningkat. Apabila anak-anak pulang dari sekolah, mereka disambut dengan rumah kosong atau oleh pembantu rumah yang hanya bertugas menyediakan keperluan fizikal anak-anak bukan keperluan emosi.
Kita perlu berusaha untuk memberi perhatian yang diperlukan oleh anak-anak pada setiap kesempatan. Selepas bekerja dan setibanya di rumah, jika anak-anak perlukan perhatian, jangan menolak untuk memberi walaupun kita keletihan. Ketika ini, ibu dan bapa wajar saling membantu. Sekiranya kita betul-betul perlukan masa untuk menghilangkan kepenatan, beritahu mereka secara diplomasi bukan dengan nada marah dan garang.
"Mama..mama..tengok ni..Aisya dah pandai melompat"
Selagi tidak mendapat 'approval', anak-anak akan terus menagih.
"Mama..tengok la..Aisya dah pandai melompat ni"
"Aisya, mama baru balik. Mama penat la. Jangan kacau mama"
"Aisha..mai sini..Aisya dah pandai melompat ye.. Cuba lompat, ayah tengok"
Samada ibu atau ayah wajar memberi perhatian. Dan semua ini kita lakukan untuk mengukuhkan hubungan emosi antara mereka dengan kita. Hubungan emosi menjadi asas dalam mendidik anak-anak. Andainya hubungan itu kuat, maka mudahlah kita untuk membentuk dan mendidik mereka..
perkongsian yang berguna,
ReplyDeletehttp://nuurasrar81.blogspot.my/2015/11/momen-momen-indah-ku-tinggalkan-untuk.html