Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Apr 11, 2015

Kisah Choco Chip Spotties




Anak-anak saya dan choco chip spotties memang tidak boleh dipisahkan. Pertama kali saya perkenalkan cookies ini kepada mereka, mereka telah jatuh cinta. Dalam sekelip mata saja, hanya tinggal balang kosong di depan mata. Mereka merayu supaya saya buat lagi cookies itu untuk mereka. Saya kenakan syarat. Siapa yang ingin makan choco chip, kena tolong ibu masak. Sesuatu yang mereka suka, tentu mereka rajin untuk membantu.


Proses membuat choco chip pun bermula. Tugas dibahagikan kepada empat. Ada yang tolong baca resepi, ada yang tolong kumpulkan bahan-bahan dan kelengkapan, ada yang tolong mengadun dan ada yang tolong makan (yang tolong makan, tentulah si kecik tu). Tugas saya ialah menjadi supervisor. Anak-anak saya terdiri dari tiga orang lelaki dan seorang perempuan. Empat beradik menggembeling tenaga untuk membakar choco chip, cookies kegemaran mereka. Dan akhirnya mereka berjaya. Terbayang rasa kepuasan di wajah mereka, makan cookies hasil tangan mereka sendiri.


Bagi ibu-ibu yang selalu di dapur, proses membakar choco chip, satu proses yang biasa tapi bagi anak-anak, ia merupakan satu pengalaman baru yang tentunya membuatkan mereka teruja dan seronok. Sebenarnya banyak yang mereka pelajari dari proses membakar cookies ini. Dan tugas kita sebagai supervisor, menerangkan tentang proses tersebut.


Melalui proses ini, mereka dapat mengenali bahan-bahan memasak seperti tepung, mentega, gula dan sebagainya (menambah perbendaharaan kata). Apabila mereka menyukat dan menimbang bahan-bahan, mereka belajar tentang konsep matematik. Apabila mereka mengadun bahan-bahan, mereka belajar tentang konsep sains dan tindak balas bahan. Semua ini untuk menjana mental mereka. Apa yang diperlukan ialah supervisor yang mulut becok dalam memberi penerangan. Kita boleh memberitahu mereka fungsi baking powder, esen vanilla, kenapa mentega dan gula diputar dahulu dan sebagainya.


Mari kita tengok dari segi emosi pula, Mereka bekerja secara sukarela. Sesuatu yang dibuat secara sukarela, tentu akan mendatangkan keseronokan dan kegembiraan. Satu perkembangan yang positif untuk emosi.


Dari segi fizikal, mereka menggunakan "fine motor skill". Biasa kita tengok, anak-anak yang tidak dilatih memegang sudu dari kecil, jarinya agak kekok dan keras bila diminta memegang sudu. Proses mengadun cookies dapat melatih dan melembutkan jari jemari mereka.


Dari segi pembentukan sikap pula, melalui proses membuat cookies sikap bekerjasama, bertanggungjawab dan berkeyakinan kepada diri sendiri dapat dibentuk. Mereka bekerjasama, bekerja sebagai satu pasukan untuk menyiapkan tugas. Agihan kerja menjadikan mereka bertanggungjawab kerana jika mereka tidak menyiapkan kerja yang diberi, tentu cookies tidak menjadi. Keyakinan kepada diri sendiri tentu akan meningkat bila diberi kepercayaan oleh supervisor untuk menjalankan kerja. Sikap-sikap ini amatlah penting bila mereka dewasa kelak dan sikap-sikap inilah yang perlu kita bentuk ketika mereka masih kecil.


Dari segi spiritual pula, supervisor perlu menanamkan rasa bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan rezeki buat mereka. Banyak yang boleh diajarkan ketika ini seperti membaca "bismillah" sebelum memulakan kerja, alhamdulillah bila tengok hasil menjadi dan sebagainya.


Proses membuat choco chip, satu proses yang mudah tapi banyak yang dipelajari oleh anak-anak kita. Apa yang penting sekarang ialah kita sebagai supervisor. Layak atau tidak kita menjadi supervisor first class? Sebenarnya bukan soal layak atau tidak tapi mesti melayakkan diri kerana di hadapan kita ada anak-anak yang diamanahkan oleh Allah untuk kita didik dengan baik. Di antara kelayakan kita yang diperlukan ialah ILMU (ilmu khas iaitu ilmu parenting dan ilmu am yang meluas merangkumi semua bidang, bidang matematik, bidang sains, bahasa, agama, saikologi dan sebagainya), SIKAP YANG POSITIF, KREATIVITI, dan SKIL KOMUNIKASI. 


Ini cerita pengalaman saya beberapa tahun yang lepas.. Sengaja saya kongsikan untuk memberi sedikit idea kepada ibubapa. Proses pembelajaran bagi anak-anak kita bukan berlaku ketika mereka mengadap buku dan duduk di depan meja semata, sebaliknya situasi-situasi harian yang berlaku dalam lingkungan keluarga dan rumahtangga dapat memberi impak yang tidak kurang hebatnya dalam kehidupan mereka.




Share:

0 comments:

Post a Comment

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Join 139 Other Subscribers

Recent Posts

Popular Posts

Blogviews


Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com