Formula Dr. Danial Zainal Abidin
Setiap sesuatu yang baik bermula daripada perancangan yang baik. Perancangan yang baik memerlukan formula yang mantap dan berkesan. Bagaimana untuk menjadi ibu bapa terbilang? Al-Qur’an sudah menjelaskan secara terperinci sejak lebih 1, 400 tahun yang lalu, melalui garapan kisah Luqmanul Hakim di dalamnya, yang sarat dengan formula-formula unik. Antaranya:
1. Menguasai Ilmu dan Hikmah
Firman ALLAH SWT: “Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu: “Bersyukurlah kepada ALLAH. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada ALLAH), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya ALLAH Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” – Al-Qur’anul Karim; Surah Luqman (31) ayat 12.
Dalam ayat di atas, ALLAH SWT telah menjelaskan bahawa Luqman telah dikurniakan hikmah. Imam Ibn Katsir mentafsirkan hikmah sebagai ‘kefahaman, ilmu dan tadbir (iaitu pengurusan yang baik).’ Justeru ibu bapa perlu menguasai dan memahami ilmu, terutamanya ilmu agama berlandaskan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Penguasaan ini perlu disusuli dengan pengurusan hidup yang baik. Tanpa ilmu dan kefahaman ibu bapa menjadi seperti musafir yang berjalan tanpa peta dan petunjuk bintang. Ilmu dan hikmah adalah seiring. Menggunakan ilmu perlu dengan hikmah. Mencurahkan ilmu perlu dengan hikmah. Hikmah adalah penelitian terhadap segala sesuatu secara cermat dan mendalam dengan akal dan penalaran.
Sabda Nabi SAW: “Hikmah adalah harta yang hilang dari perbendaharaan kaum Muslimin, barangsiapa yang menemukannya, maka ia lebih berhak memungutnya.”
2. Mementingkan Iman dan Taqwa
Berhubung dengan ini, Luqman menjelaskan, jika ada suatu benda yang kecil, seperti biji sawi, disembunyikan di langit, dalam bumi, dalam batu yang besar atau di tempat-tempat lain, ALLAH SWT tetap mengetahuinya. Hal ini disebutkan dalam surah Luqman ayat 16. Pendidikan Luqman ini bertujuan untuk melahirkan perasaan muraqabah, iaitu merasai bahawa ALLAH SWT sentiasa melihat gelagat hambanya di mana saja hamba itu berada. Jika perasaan ini menguasai hati seseorang, ia akan menjadi penasihat dan penyelamat baginya.
“(Luqman berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya ALLAH akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya ALLAH Maha Halus lagi Maha Mengetahui.” – Al-Qur’anul Karim; Surah Luqman (31) ayat 16.
3. Memelihara Ibadah
Antara ibadah yang perlu diutamakan ialah solat. Luqman menyuruh anaknya menegakkan solat. Menegakkan solat bermaksud bersolat secara berterusan dengan memelihara waktu-waktu dan tatacaranya, di samping mementingkan khusyuk ketika bersolat. Solat mempunyai pengaruh yang besar kepada anak-anak. Sesungguhnya solat itu tiang agama. Sekiranya runtuh tiang tersebut, maka runtuhlah agama. Di hari akhirat, amalan yang pertama yang dihisab oleh ALLAH SWT adalah solat. Jika solat seseorang mukmin itu baik, maka baiklah amal-amal lainnya. Tetapi jika solat itu buruk, maka buruklah amal-amal lainnya.
4. Memelihara Akhlak
Antara akhlak yang ditekankan dalam surah Luqman ialah bersikap tawaduk dan tidak sombong ketika bergaul dengan manusia. Beliau juga mengingatkan anaknya agar bersederhana dalam hidup dan tidak meninggikan suara ketika bercakap. Akhlak yang mulia berkait rapat dengan iman seseorang.
5. Bersikap Positif Dalam Ujian
Dalam konteks ini, surah Luqman ayat 17 mengingatkan anaknya kepentingan sabar dalam hidup. Sabar berkait rapat dengan sikap positif. Dengan penekanan ini anak-anak akan cekal mengharungi pancaroba dan liku-liku kehidupan. Anak-anak juga perlu diingatkan bahawa sabar adalah proses ke arah kejayaan.
“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan kebaikan dan cegahlah (mereka) daripada kemungkaran dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh ALLAH).” – Al-Qur’anul Karim; Surah Luqman (31) ayat 17.
6. Membina Kemahiran
Antara kemahiran yang dinyatakan dalam surah Luqman ialah komunikasi berkesan. Luqman menasihati anaknya secara terus tanpa rasa kekok. Ini menunjukkan bapa memainkan peranan yang amat penting dalam pendidikan anak-anak. Ketika memberi nasihat, Luqman menggunakan perumpamaan untuk memudahkan kefahaman. Ini menunjukkan Luqman mempunyai kemahiran berkomunikasi. Antara aspek penting yang perlu ada ketika berkomunikasi ialah kelembutan. Menurut imam Ahmad dan Baihaqi, Nabi SAW bersabda: “Jika ALLAH menghendaki kebaikan bagi sesebuah keluarga diberikan sifat lemah lembut dalam keluarga itu.”
7. Peka dan Berperanan
Anak-anak perlu dididik agar berperanan dengan mengajak rakan-rakan mereka kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran sebagaimana dinyatakan di dalam ayat 17 surah Luqman tadi. Dengan nilai dan sikap ini, anak-anak tidak akan menjadi golongan yang terpengaruh sebaliknya menjadi golongan yang mempengaruhi.
RINGKASAN FORMULA
Dr. Danial Zainal Abidin menggarapkan ringkasan formula dalam menjadi ibu bapa terbilang sebagaimana berikut: “KHATT”
K: Kawan – Dengan siapa anak-anak kita berkawan?
H: Hero/Heroin – Siapakah idola anak kita?
A: Agama – Pupuk nilai-nilai agama dalam diri anak-anak.
T: Tauladan – Tunjukkan tauladan yang baik kepada anak-anak.
T: Teknologi – Bagaimana teknologi hari ini perlu dimanfaatkan.
KESIMPULAN
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seseorang anak Adam mati, maka terputuslah segala amalnyakecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang mendoakannya.” – Hadis Shahih, Riwayat Muslim dan lain-lainnya.
0 comments:
Post a Comment
Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.