Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Jan 10, 2015

Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak - Bah 3


Sentuhan, pendengaran, bau, penglihatan dan rasa adalah alat yang digunakan oleh bayi dan kanak-kanak untuk meneroka dan memahami diri dan dunia di sekeliling mereka.

Kasih sayang, perhatian dan rangsangan

Minda kanak-kanak berkembang dengan pesat:
  • apabila mereka disentuh dan dipeluk serta dilayan berbual oleh ibu bapa  
  • apabila mereka melihat wajah-wajah dan mendengar suara-suara yang biasa  
  • apabila mereka mengendalikan objek yang berbeza.

Kanak-kanak belajar dengan cepat: 
  • apabila mereka berasa disayangi dan selamat
  • apabila mereka bermain dan berinteraksi dengan ahli keluarga dan orang lain yang rapat dengan mereka. 

Lebih kerap ibu bapa bermain, bercakap dan bertindak balas kepada kanak-kanak itu, lebih cepat mereka belajar.

Ibu bapa perlu bercakap, membaca dan menyanyi kepada bayi dan kanak-kanak secara konsisten. Walaupun mereka belum lagi dapat memahami perkataan, 'perbualan' awal ini adalah untuk membangunkan kemahiran sosial dan bahasa serta keupayaan pembelajaran. Ibu bapa boleh membantu kanak-kanak belajar dan berkembang dengan memberikan mereka sesuatu yang baru, menarik dan selamat untuk mereka lihat, dengar, bau, sentuh, rasa dan bermain dengannya.

Kanak-kanak yang merasa selamat dan disayangi biasanya menunjukkan prestasi yang lebih baik di sekolah, lebih yakin kepada diri sendiri, mempunyai harga diri (self esteem) yang tinggi dan mampu bertahan menghadapi cabaran.

Permakanan yang baik

Penyusuan ibu sepenuhnya hendaklah diberi kepada bayi dalam tempoh enam bulan pertama. Pada usia 6 bulan, makanan yang sesuai, selamat dan berkhasiat boleh diperkenalkan kepada bayi manakala penyusuan ibu boleh diteruskan selama dua tahun supaya kanak-kanak itu mendapat manfaat permakanan yang seimbang dan kesihatan yang baik. Waktu penyusuan dan makan  sebenarnya membuka dan memberi peluang kepada bayi dan kanak-kanak untuk menerima kasih sayang dan membentuk hubungan yang erat dengan ibu dan bapa.

Pemakanan yang baik adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Diet seorang wanita yang mengandung dan kanak-kanak harus dipelbagai dan dipastikan ianya berkhasiat. Ia sepatutnya mengandungi nutrien penting seperti protein dan lemak adalah penting untuk membantu fizikal kanak-kanak berkembang dan mempunyai tenaga, vitamin A untuk membantu melindungi kanak-kanak daripada penyakit dan membantu mereka hidup sihat, iodin untuk memastikan pembangunan otak yang sihat, dan zat besi untuk melindungi mental kanak-kanak dan kebolehan fizikal.

Sementara ibu mempunyai peranan utama untuk menyusukan anak, bapa boleh memberi sokongan dengan memastikan ibu mendapat makanan yang berkhasiat, membantu menjaga anak dan membuat kerja-kerja rumah, memberi sokongan emosi bukan sahaja kepada ibu malah kepada ahli-ahli keluarga yang lain.

Penjagaan kesihatan yang sempurna

Kakitangan kesihatan perlu memaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai:
  • imunisasi yang perlu diberikan kepada anak secara berjadual.
  • bagaimana untuk mengelakkan anemia dan penyakit kepada kanak-kanak yang berusia lebih daripada 6 bulan.
  • mengapa rawatan cacing adalah penting
  • bagaimana untuk memastikan bahawa kanak-kanak itu mendapat nutrien yang mencukupi seperti zat besi dan vitamin A, untuk pembangunan mental dan fizikal yang sihat.

Kanak-kanak yang mengalami anemia, kekurangan nutrisi atau sering sakit lebih mudah menjadi takut dan kecewa berbanding kanak-kanak yang sihat. Mereka juga akan menjadi kurang berminat untuk bermain, meneroka dan berinteraksi dengan orang lain. Kanak-kanak ini memerlukan perhatian dan penjagaan khas untuk memastikan mereka makan makanan yang berkhasiat, bermain dan berinteraksi dengan orang lain untuk menjadi sihat.

Bayi yang telah menamatkan imunisasi mereka pada masa yang ditetapkan serta mendapat nutrisi yang lengkap, rawatan kesihatan dan kasih sayang mempunyai peluang yang baik untuk terus hidup dan berkembang dengan sihat. Mereka dapat memberi tumpuan kepada meneroka, belajar dan membangunkan kognitif, bahasa, sosial, emosi dan kemahiran motor.

Perlindungan dan penjagaan daripada ibu bapa yang responsif dan prihatin

Bayi dan kanak-kanak kecil tidak boleh ditinggalkan sendirian untuk jangka masa yang lama. Ini melambatkan pembangunan fizikal dan mental mereka. Ia juga meletakkan mereka pada risiko kemalangan.

Kanak-kanak perempuan memerlukan jumlah nutrisi, perhatian, kasih sayang dan penjagaan yang sama sebagaimana yang diperlukan oleh kanak-kanak lelaki. Semua bayi dan kanak-kanak tidak kira lelaki atau perempuan perlu digalakkan dan dipuji apabila mereka belajar untuk melakukan sesuatu yang baru seperti menyebut perkataan yang baru, memakai pakaian sendiri dan sebagainya.





Share:

0 comments:

Post a Comment

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com