Keluarga Bahagia, Negara Makmur
Sep 3, 2013
Aug 26, 2013
6 cara yang menyeronokkan bagi merangsang anak membaca dan menulis..
Apabila anak sudah mula boleh membaca dan menulis, seakan-akan dunia terbuka luas di hadapan mereka. Saya teringat ketika anak sulong saya baru pandai membaca di sekitar usia 4 tahun, semua tulisan yang dijumpainya dibaca, papan tanda di sepanjang jalan, tajuk buku dan majalah, label pada tin dan bungkusan makanan dan kadang-kadang tulisan pada Tshirt yang dipakai oleh seseorang pun, dia baca dengan kuat.
Ramai pakar yang mahir dalam pendidikan mental kanak-kanak telah mengkaji cara yang paling berkesan untuk mengajar anak-anak membaca. Glenn Doman misalnya menulis sebuah buku yang berjodol "How To Teach Your Baby To Read". Sejujurnya saya tidak pernah mengikut langkah demi langkah apa yang disarankan oleh Glenn Doman di dalam bukunya itu tetapi saya telah mendedahkan anak-anak saya kepada buku di peringkat mereka masih bayi seperti membacakan cerita untuk mereka dan sebagainya. Ibu bapa tidak perlu rasa tertekan jika tidak termampu untuk mengikut cara yang disarankan oleh pakar kanak-kanak. Ada banyak cara atau aktiviti yang dapat membantu kita merangsang kebolehan anak-anak membaca. Kuncinya..buat dengan rasa seronok baik pada ibu bapa atau pun pada anak-anak. Untuk mengajar anak-anak mengenal perkataan, kita tidak perlu memaksa serta menimbulkan perasaan yang kurang senang kerana ini akan menimbulkan kesan yang negatif pula. Anak-anak yang diajar membaca dalam keadaan yang terpaksa dan kurang seronok juga akhirnya boleh membaca tetapi minatnya terhadap buku dan membaca akan terbantut. Yang perlu kita pupuk ke dalam diri anak-anak ialah minat membaca bukan pandai membaca. Anak yang tiada minat membaca, apabila dia telah pandai membaca, dia akan berhenti membaca. Kita mahukan anak-anak yang akan berterusan membaca.
Di antara aktiviti yang pernah saya buat dengan anak-anak untuk meransang mereka mengenal perkataan ialah…
1. membaca buku cerita bersama-sama mereka sambil bermain-main dengan kad-kad perkataan yang saya buat sendiri. Perkataan yang ditulis di atas kad tersebut, saya ambil daripada buku yang mereka baca ketika itu. Buku yang saya gunakan ialah The Ladybird Key Words Reading Scheme. Banyak permainan yang boleh dicipta dengan kad-kad perkataan tersebut. Biasanya selepas membaca, saya akan meminta mereka menyusun kad-kad perkataan tersebut menjadi ayat yang lengkap.
2. Melukis bersama-sama mereka kemudian menulis beberapa ayat-ayat mudah yang menceritakan tentang gambar itu. Gambar berserta cerita tentangnya saya lekatkan pada peti sejuk ataupun pinkan pada soft board. Setiap kali mereka terpandang gambar tersebut, mereka akan membaca ceritanya. Untuk menyeronokkan lagi, saya beri hak milik cipta dengan mencatatkan… 'Cerita ini ditulis oleh…" pada bahagian bawah kertas.
3. mengajak mereka supaya bersama-sama menulis dan menyenaraikan nama barang-barang keperluan dapur yang perlu dibeli dan meminta mereka menyerahkan senarai tersebut kepada ayah mereka.
4. meminta mereka menulis senarai barang permainan atau apa saja yang mereka inginkan sebagai hadiah harijadi dan meletakkan senarai tersebut di dalam sekeping sampul surat yang dialamatkan kepada saya dan suami. Surat berserta senarai tersebut biasanya mereka lekatkan pada peti sejuk dengan menggunakan magnet.
5. Menggalakkan mereka menulis pesanan ringkas di atas nota kecil. Semua pesanan dan kepada siapa pesanan itu ditujukan dilekatkan pada peti sejuk atau pada soft board. Pada peringkat permulaan, sudah tentu mereka memerlukan bantuan saya untuk mengeja perkataan dan sebagainya tapi mereka seronok melakukannya apabila mendapat respon yang positif daripada saya dan ayah mereka.
6. Menggalakkan mereka menulis buku catatan rahsia. Mereka bebas menulis apa saja di dalamnya dan hanya mereka saja yang boleh membacanya. Anak-anak suka kepada idea "rahsia" itu dan sudah tentu tidak menjadi rahsia lagi kepada ibu mereka apabila mereka datang bertanya bagaimana untuk mengeja sesuatu perkataan yang agak susah tetapi ia tetap menjadi rahsia kepada ahli keluarga yang lain.
Inilah di antara aktiviti yang saya buat dengan anak-anak saya. Saya kongsikan di sini untuk menjadi panduan kepada ibu bapa yang lain. Ada banyak lagi aktiviti lain yang menyeronokkan. Guna kerativiti kita sendiri untuk mencipta aktiviti yang dapat merangsang minat anak-anak terhadap membaca dan menulis.
Aug 25, 2013
Memupuk Rasa Cinta dan Pertalian Kasih Sayang: 5 cara yang indah....
Bagi sepasang suami isteri, apa lagi yang lebih membahagiakan selain daripada dapat memeluk anak-anak dan membaluti mereka dengan kasih sayang. Kita memerhati anak-anak kita membesar, tingkah laku dan karekter muncul satu demi satu mengikut tahap umur. Kita merangsang kekuatan dan memperbaiki kelemahan mereka, kita rakamkan gambar dan mencatitkan jurnal setiap perkembangan mereka tahap demi tahap. Kita menyedari bahawa perkara-perkara kecil yang kita lakukan untuk anak-anak kita itu boleh menimbul dan mengekalkan kasih sayang dalam keluarga kita.
Kita mengungkapkan kasih sayang kita melalui perkataan sayang, masa yang berkualiti bersama mereka, pemberian hadiah, menyediakan keperluan mereka dan sentuhan fizikal. Buku yang ditulis oleh Gary Chapman, "THE FIVE LOVE LANGUAGES" telah menerangkan dengan panjang lebar bagaimana untuk menentukan bahasa kasih sayang kita dan juga bahawa kasih sayang anak-anak kita yang dominan. Seorang yang penyayang akan memiliki kasih sayang dan akan mampu memberikan kasih sayang..menjadikan dunia ini dipenuhi dengan kasih sayang dan tempat yang paling selamat untuk didiami. Kita boleh bergantung harap bahawa seseorang yang kita sayangi akan sentiasa berada di sisi kita untuk menjadi pendengar yang setia. Begitulah indahnya..jika di antara kita dan anak-anak ada pertalian kasih sayang yang ikhlas tanpa syarat. Di antara cara yang boleh kita lakukan untuk memupuk pertalian kasih sayang dengan anak-anak kita ialah…
Ritual "I love you.."
Ritual "I love you.." adalah kenangan yang berkekalan sepanjang hayat yang dapat menambah pengalaman serta menguatkan pertalian dan hubungan dalam keluarga. Sebagai contoh, kita mungkin boleh lakukan "Pelukan Sandwich" sebagai ritual "I love you.." keluarga kita. Ini sangat menyeronokkan. Peluk anak, kemudian ajak pasangan kita menyertainya. Anak yang dipeluk akan berada di tengah-tengah di antara ibu dan ayah dan membentuk sandwich. "Pelukan Sandwich" ini ialah model yang baik untuk memaparkan aksi memberi dan menerima kasih sayang.
Lagu-lagu kasih sayang yang boleh dinyanyikan mengikut rentak lagu yang disukai oleh anak-anak seperti lagu "twinkle, twinkle little star" dengan senikata yang kita cipta khas untuk anak-anak. Dan sudah tentu senikata yang kita cipta dapat memaparkan rasa kasih dan sayang kita kepada mereka.
Ritual "bedtime"
Menyatakan pengakuan yang mengukuhkan pertalian kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak sebelum mereka tidur bukan sahaja satu tindakan yang baik untuk dilakukan tetapi juga ia dapat membantu menaikkan imej kendiri dan harga diri mereka. Contoh pengakuan kasih sayang yang boleh kita lafazkan ialah:
"Ibu/ayah nampak ada keikhlasan dalam mata kamu dan tentunya hati kamu dipenuhi dengan kasih sayang.." sambil jari kita menyentuh dengan lembut mata dan dada mereka.
"Ibu/ayah gembira menjadi ibu/ayah kamu". Satu hari nanti, InsyaAllah mereka akan membalas.."Saya gembira menjadi anak ibu/ayah".
Ritual "bedtime" yang juga dapat menumbuhkan pertalian kasih sayang ialah meluangkan masa bercerita atau membaca buku cerita bersama anak-anak. Setelah selesai bercerita atau membaca buku cerita, bagi kita yang beragama islam, eloklah jadikan rutin membaca do'a sebelum tidur. Sebelum meninggalkan bilik mereka, cium pipi dan ucapkan salam.
Hadiah kata-kata cinta dan kasih
Ungkapan cinta dan kasih sayang adalah satu lagi cara yang indah untuk membuatkan anak-anak merasai kasih sayang daripada kita. Ucapkan secara spontan dan ikhlas untuk melahirkan rasa cinta dan kasih kita kepada mereka..
"Kasih ibu/ayah kepada kamu bertambah dari sehari ke sehari.."
"Kamulah permata hati ibu/ayah.."
"Besarnya kasih sayang ibu/ayah kepada kamu, sama macam jaraknya dari bumi ke bulan dan balik semula ke bumi.."
"Kamu adalah seorang anak yang saaaaaaaaangat (panjangkan harkat perkataan sangat..;)) layak untuk disayangi.."
Kita boleh cipta pelbagai ungkapan cinta dan kasih sayang yang lain mengikut cita rasa masing-masing. Be creative!
Sentuhan lembut dan penuh kasih sayang
Usapan pada rambut ketika anak berada di ribaan kita, mengosok perlahan-lahan belakang mereka, menyentuhkan hidung kita kepada hidung mereka boleh mencetuskan saat-saat indah dan bermakna serta meyakinkan anak-anak akan kasih sayang yang berterusan daripada kita walaupun pada hari-hari yang sibuk.
Footprints
Tindakan kreative yang juga boleh mengukuhkan pertalian kasih sayang sesama ahli keluarga yang lain adalah dengan merakamkan jejak-jejak tapak kaki anak (footprints) di atas kanvas atau kertas, bingkaikan dan kirim kepada datuk, nenek, bapa dan ibu saudara sebagai hadiah. Tentu mereka gembira dan berbesar hati menerima hadiah yang bernilai dengan kasih sayang seumur hidup seperti itu.
Mudah-mudahan cara yang disebutkan di atas dapat mencetuskan rasa keseronokan serta dapat mengukuhkan pertalian kasih sayang di antara ibu dan anak serta ahli-ahli keluarga yang lain. Selamat mencuba!
Jul 16, 2013
Bagaimana memilih tadika yang baik untuk anak
Penyelidikan
telah menunjukkan bahawa tahun-tahun pra-sekolah adalah tahun yang
paling genting terhadap perkembangan kanak-kanak dan proses
pembelajaran, maka ibubapa masa kini telah menyedari tentang kepentingan
untuk menghantar anak-anak kecil mereka ke pra-sekolah.
Di
Malaysia, jenis pra-sekolah yang dipilih oleh anda adalah bergantung
kepada umur anak anda. Kanak-kanak di bawah umur empat tahun sepatutnya
dihantar ke pusat penjagaan kanak, yang mana didaftarkan di bawah
Kementerian Perpaduan dan Pembangunan Sosial.
Kanak-kanak diantara
umur empat hingga enam tahun pula harus dihantar ke tadika, yang mana
didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan. Adalah menjadi keutamaan
anda menghantar anak-anak anda ke pra-sekolah yang telah didaftarkan
dibawah mana-mana badan berkuasa yang berkaitan. Dengan demikian, anda
boleh merasa tenang kerana mereka akan sekurang-kurangnya mengikuti
piawai minimum yang ditetapkan. Sekiranya anda merasa ragu-ragu, anda
boleh meminta mereka menunjukkan permit-permit mereka yang berkaitan.
Kanak-kanak kecil biasanya berbeza pembelajaran mereka dari kanak-kanak
yang besar, jadi pra-sekolah tidak sepatutnya dijalankan seperti
sekolah-sekolah kecil, dimana kanak-kanak mesti duduk di meja sepanjang
hari.
Ciri-ciri yang baik bagi sebuah pusat penjagaan kanak-kanak termasuklah:
Keadaan persekitaran fizikal
Kurikulum dan program
Kanak-kanak
Kakitangan
Penglibatan ibubapa
Persekitaran Fizikal
Pusat penjagaan haruslah kelihatan menarik daripada luar. Bilik-bilik
haruslah menyeronokkan, ceria dan mempunyai sistem pengudaraan yang
baik, dengan terdapatnya seberapa banyak tingkap yang dibuka untuk
membenarkan kemasukan udara segar dan cahaya matahari kedalam. Anda
harus memeriksa bilik-bilik air, dapur, ruang makan dan bilik permainan
samada ia bersih atau tidak.
Bilik-bilik permainan sepatutnya
boleh menarik minat kanak-kanak, mempunyai perabot-perabot khas untuk
kanak-kanak, dan para-para yang cukup rendah untuk dicapai oleh
kanak-kanak. Barang-barang permainan dan lain-lain sepatutnya dapat
dilihat dan diambil oleh semua kanak-kanak. Kerja-kerja tangan mereka
sepatutnya dipamerkan dengan menarik mengikut tinggi pandangan mata
mereka.
Bilik harus diatur menjadi pusat pembelajaran atau
kawasan aktiviti, dimana barang-barang dikumpulkan mengikut kegunaannya.
Ia juga harus termasuk sekali penjuru-penjuru bagi:
Permainan blok
Permainan manipulasi
Aktiviti-aktiviti yang senyap / membaca
Kesenian / aktiviti kreatif
Berlakon
Aktiviti sains
Muzik
Di pusat-pusat pembelajaran ini, pelbagai jenis barang-barang dan
aktiviti yang perlu disediakan, supaya kanak-kanak tersebut dengan
bebasnya boleh memilih aktiviti-aktiviti yang mereka ingini, kerana
sebagaimana yang diketahui, aktiviti-aktiviti yang berbeza akan menarik
minat kanak-kanak yang berbeza. Barang-barang permainan dan lain-lain
benda mestilah mencukupi dan selamat kepada kanak-kanak. Benda-benda
berbahaya seperti objek-objek tajam mestilah disimpan jauh dari capaian
kanak-kanak.
Sebagai tambahan, adalah perlu juga ruang yang
mencukupi untuk kanak-kanak bergerak dengan bebas, kerana kanak-kanak
biasanya belajar dengan cepat melalui penjelajahan benda-benda secara
aktif di persekitaran mereka.
Persekitaran luaran juga sama
pentingnya. Ia mestilah dipagar, selamat dan teduh, supaya kanak-kanak
dapat bermain diluar sekurang-kurangnya untuk satu tempoh masa yang
tertentu setiap hari. Persekitarannya mestilah kemas dan bersih, dan
rumput telah dipotong. Jika terdapat beberapa jenis pokok dan tumbuhan
yang ditanam, ia bukan sahaja memberi keteduhan tetapi boleh juga
membantu kanak-kanak tersebut belajar mengenai alam sekitar.
Perlu juga ruang yang cukup untuk pelbagai jenis permainan pada yang
dijaga dengan baik, yang mana memberikan peluang kepada kanak-kanak
untuk melatih kemahiran fizikal masing-masing. Peluang untuk bermain
pasir dan air juga seharusnya ada, kerana ia juga memberikan pengalaman
pembelajaran yang baik.
Kurikulum Dan Program
Ia mestilah
sesuai dengan perkembangan minda. Semua aktiviti-aktiviti tersebut
hendaklah diletakkan pada peringkat yang sesuai bagi umur seorang
kanak-kanak, dan juga menepati citarasa dan kemampuan kanak-kanak
tersebut.
Kanak-kanak mestilah kelihatan gembira dan tenang.
Mereka sepatutnya dapat berhadapan dengan orang-orang dewasa dan
kakitangan dengan penuh keyakinan, dan tidak takut untuk meminta
pertolongan.
Kakitangan pula mestilah kelihatan ceria,
berhati-hati, dan berminat pada apa-apa sahaja yang dilakukan oleh
kanak-kanak. Mereka mestilah bercakap dengan terang dan betul, dalam
nada suara yang sederhana dan menggalakkan kanak-kanak meluahkan
perasaaan mereka dengan bebas.
Semasa anda memerhatikan
interaksi diantara kakitangan dan kanak-kanak, anda sepatutnya dapat
merasakan bahawa kakitangan terlibat secara aktif dengan kanak-kanak,
dan mereka juga gembira dengan perhubungan yang rapat, hangat dan
bertindak balas dengan kanak-kanak tersebut. Mereka mesti menunjukkan
sikap hormat kepada semua kanak-kanak, dan menerima setiap kanak-kanak
sepertimana diri mereka masing-masing. Mereka mestilah menyokong
pembelajaran dengan bimbingan dan galakan, dan bukannya melalui
pembetulan. Mereka juga mesti mengakui usaha setiap kanak-kanak, supaya
mereka akan merasa gembira terdapat diri mereka sendiri.
Anda juga harus bertanya kepada pengarah pusat asuhan atau pengetua berkenaan mengenai maklumat kakitangan yang berikut:
Nisbah
Bagi kanak-kanak bawah umur tiga tahun, sepatutnya terdapat seorang
pengasuh bagi setiap lima orang kanak-kanak, manakala bagi kanak-kanak
berumur diantara tiga dan empat tahun, sepatutnya terdapat seorang
pengasuh bagi setiap sepuluh orang kanak-kanak. Nisbah yang baik akan
membenarkan perhatian individu yang lebih tinggi dan saiz kumpulan yang
kecil akan membenarkan interaksi yang lebih baik diantara orang dewasa
dan kanak-kanak.
Kelayakan Dan Pengalaman
Kakitangan yang
berpengalaman, yang mana telah dilatih dengan pengetahuan berkenaan
pendidikan awal bagi kanak-kanak dan perkembangan kanak-kanak adalah
lebih baik untuk menyediakan pengalaman pengajaran positif untuk
anak-anak anda.
Kadar Penggantian Kakitangan
Kanak-kanak
biasanya akan rapat dengan pengasuh mereka, dan akan merasa kehilangan
dan tidak selamat apabila terdapat kadar penggantian kakitangan yang
tinggi. Kadar penggantian kakitangan yang tinggi ini juga menghasilkan
suasana interaksi diantara kanak-kanak dan orang dewasa yang rendah
kerana kanak-kanak perlukan hubungan kepercayaan yang kukuh sebelum
proses interaksi dapat berkembang.
Penglibatan Ibubapa
Anda juga
perlu bertanya apakah peranan yang anda main didalam pengalaman
pra-sekolah anak-anak anda. Adakah penglibatan anda dialu-alukan? Adakah
anda dibenarkan untuk membantu anak anda membiasakan diri dipusat
tersebut, atau adakah anda mesti membiarkannya walaupun pada hari
pertamanya disana? Apakah polisi pusat asuhan tersebut berkenaan
perkara-perkara disiplin? Apakah akan terdapat sessi perbincangan
diantara kakitangan pusat asuhan dan ibubapa berkenaan perkembangan
anak-anak mereka dari masa ke semasa?
Sebagai ibubapa, anda
lebih mengenali anak anda, dan anda mempunyai kuasa untuk terlibat
secara aktif didalam pengalaman pra-sekolah anak anda. Oleh itu, anda
sepatutnya merasakan kehadiran anda dialu-alukan. Sekiranya dari
pemerhatian anda memberikan gambaran bahawa disitulah anak-anak anda
akan dapat berkembang dengan sepenuhnya, maka anda telahpun menemui
pra-sekolah yang betul.
credit : Dr Irene Leow
Recent Posts
Labels
Adap sopan
Akademik
Autism
Bayi
Berbohong
Disiplin
Disleksia
Gagap
Hiperaktif
Keibubapaan
Kerja sekolah
Keselamatan anak
Kesihatan
Koleksi-istimewa-kibc
Komunikasi
Kreativiti
Moral
Perkembangan Anak
Perkembangan Bahasa
Perkongsian Pengalaman
Praremaja
Prasekolah
Product Review
Quiz
Remaja
Self Improvement
Soalan
Survey KIBC
TICS
Tingkah laku
Tips Ibubapa Cemerlang
Toddler


