Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Mar 27, 2014

Mendidik anak menjadi sopan



Menghormati orang lain dan lebih-lebih lagi orang yang lebih tua adalah satu kelakuan yang dipandang tinggi. Semua ibu bapa seboleh-bolehnya mahu anak-anak tahu menghormati. Jika tidak, anak itu akan dilabelkan sebagai “anak kurang ajar” dan sudah tentu sedikit sebanyak kesalahan “tidak mengajar” itu terletak di atas bahu ibu bapa.  

“Sudah, berenti..kenapa dengan kamu ni?  Menjerit terlolong macam orang tak siuman”  seorang ibu menengking anaknya yang sedang mengamuk. 

Jika setiap hari, anak-anak mendengar tengkingan dan perkataan yang negatif dari ibu bapa, bolehkah kita mengharapkan mereka belajar untuk menghormati? 

Mengajar melalui tindakan

“Buat seperti apa yang saya katakan bukan seperti apa yang saya lakukan” adalah satu ungkapan yang sering kita dengar tetapi dalam pendidikan anak-anak, ia adalah satu alat yang kurang berkesan dan jarang berfungsi.  Kita ialah  guru pertama dan orang yang paling penting kepada anak-anak. Anak-anak belajar bercakap dengan mendengar kita bercakap, begitu juga mereka akan belajar bagaimana menghormati orang lain dengan melihat cara kita melayani orang lain. Lihat bagaimana kita melayani anak-anak, ahli keluarga  dan orang lain dalam hubungan kita seharian. Anak-anak memerhati dan secara kita tidak sedar, mereka belajar daripada perlakuan kita untuk berhubung dengan kita, adik beradik, kawan-kawan dan orang-orang yang berada di sekeliling mereka.

"Terima kasih.” ialah ungkapan yang positif tetapi ia boleh diucapkan dengan sopan atau tidak sopan. Apabila kita mengajar anak-anak tentang kesopanan, kita juga perlu membincangkan butir-butir yang tidak begitu jelas seperti menggunakan nada suara dan bahasa badan yang sopan. Anak-anak tidak dilahirkan dengan kebolehan ini maka kitalah yang bertanggung jawab mengajar aspek penting dalam akhlak yang baik.

Menyediakan disiplin positif dan konsisten

Ibu bapa yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjalankan tugas membesarkan  anak-anak akan lebih mudah untuk mendidik mereka menjadi sopan dan menghormati. Apabila kita mempunyai kemahiran keibubapaan yang baik, kita akan mendapati bahawa tugas mendisiplinkan anak-anak adalah satu tugas yang mudah . Ini bermakna kita perlu mencari ilmu keibubapaan sebanyak mungkin. Membaca buku-buku yang bagus, menghadiri kelas-kelas keibubapaan, menyertai kumpulan sokongan dan sebagainya boleh membantu kita dalam tugas mendidik anak supaya berkelakuan sopan. 

Tegas tetapi adil

Membiarkan anak-anak berkelakuan buruk tanpa didikan hanya menjadikan mereka semakin teruk. Pastikan anak-anak kita tahu dan jelas tentang peraturan keluarga dan kita akan mengenakan tindakan yang sesuai jika peraturan itu tidak diikuti.

Disiplin yang tegas dan adil ialah disiplin yang teratur dan tidak berubah mengikut kepada mood kita.  Ia memerlukan konsistensi supaya anak-anak jelas dan pasti. ( Mereka mungkin tidak suka, tetapi mereka pasti tentangnya.) Yang menjadikan disiplin itu berkesan bukan hukuman atau tindakan yang dikenakan tetapi konsistensinya. Apabila anak-anak tahu dan jelas tentang kemahuan (harapan) kita, dan akan ada penalti jika gagal memenuhi kemahuan (harapan) itu, mereka akan lebih cenderung untuk berkelaluan seperti yang sepatutnya.

Puji tingkah laku yang baik.

Pujian dan galakan daripada ibu bapa memberi kesan yang besar terhadap anak-anak. “Pujian" tidak semestinya secara lisan sahaja. Ungkapan bukan lisan seperti isyarat OK dengan tangan, kenyitan mata, senyuman, pelukan dan lain-lain boleh juga dilakukan . Semua ini menyampaikan mesej positif kepada anak-anak yang baru sahaja melakukan sesuatu yang betul. Mesej positif ini mengukuhkan perlakuan baik mereka serta menggalakkan lebih banyak perlakuan positif yang sama dilakukan di masa depan.



Print Friendly and PDF

Share:

1 comment:

  1. diana seorang ibu kepada 2 org anak. semua ibu bapa nak berikan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

    terima kasih untuk peringatan di atas

    ReplyDelete

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com