Gambar Hiasan |
Ramai ibu bapa yang mengeluh tentang sikap degil anak-anak mereka. Berkali-kali diberi arahan, berkali-kali disuruh, masih tidak bergerak. Semakin ditegur, semakin menjadi-jadi. Akhirnya ibu bapa hilang sabar lantas menengking untuk mendapatkan kerjasama daripada anak-anak. Anak-anak yang patuh bukanlah dibentuk dengan cara kekerasan atau hukuman. Matlamat kita adalah supaya kepatuhan tersebut terbit dari kesedaran dalam diri mereka. Oleh itu, kita sewajarnya mendidik anak-anak menjadi patuh dengan cara yang membuatkan mereka menyedari bahawa kepatuhan itu ialah satu nilai yang positif.
Namun proses mendidik anak-anak menjadi patuh bukanlah satu proses yang mudah. Walau bagaimana payah sekali pun, tentunya hal ini bukanlah sesuatu yang tidak mungkin. Semuanya memerlukan kesabaran dan usaha yang bersungguh daripada pihak ibu bapa. Berikut adalah cara untuk melatih dan membuat anak supaya menjadi lebih patuh:
1. Konsisten
Untuk melatih anak supaya menjadi lebih patuh, kita harus konsisten dalam menentukan peraturan. Jika hari ini kita menghalangnya daripada bermain di jalan raya, maka esok, lusa, dan hari-hari seterusnya pun peraturan ini mesti tetap berkuat-kuasa. Anak-anak akan selalu mencari helah untuk melanggar peraturan tetapi ibu bapa harus bertegas lebih-lebih lagi peraturan yang menjaga keselamatan mereka.
2. Bersikap lembut
Anak-anak biasanya tidak dapat memberi respon dengan baik jika kita marah-marah dan membentak-bentak. Tegas bukan bermakna kita harus bersikap keras. Dalam ketegasan, kita masih boleh berlembut. Sebagai ibu bapa, kita harus cuba untuk mengerti perasaan anak-anak dan tekankan/terangkan mengapa mereka harus mengikuti peraturan dan arahan kita.
3. Beri contoh
Ini adalah cara yang paling efektif untuk menjadikan anak-anak patuh. Tunjukkan contoh teladan apa yang seharusnya mereka buat. Jangan menjadi seperti ‘ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul’. Jangan sampai mereka melihat kita sendiri yang melanggar peraturan misalnya kita melarang mereka membuang sampah merata-rata tetapi ada ketikanya mereka melihat kita sendiri yang mencampak sampah merata-rata.
4. Memuji anak-anak
Jangan terasa berat hati untuk memuji anak-anak ketika mereka melakukan sesuatu yang kita arahkan. Sekurang-kurangnya mengucapkan terimakasih atas usaha mereka melaksanakan arahan kita. Dengan itu anak-anak akan merasa lebih dihargai atas usaha mereka.
5. Memberi penjelasan
Berikan penjelasan kepada anak-anak akan maksud dan tujuan baik kita menetapkan sesuatu peraturan sehingga mereka memahami kenapa mereka harus mematuhi peraturan tersebut. Apabila mereka tahu bahawa peraturan yang dibuat itu adalah untuk kebaikan mereka, In Shaa Allah, mereka akan lebih mudah mematuhi.
0 comments:
Post a Comment
Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.