Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Dec 8, 2013

Merangsang kreativiti anak-anak




Berikut adalah 8 cara mudah untuk meningkatkan kreativiti anak-anak:

1. Kesilapan adalah peluang. Kanak-kanak yang takut kepada kegagalan kurang cenderung untuk berfikir secara kreatif. Jika anak-anak kita berasa kecewa apabila berlaku kesilapan, cuba naikkan kembali semangat mereka dengan komunikasi yang positif.
“Apa yang kita boleh lakukan untuk mengubah keputusan ini?" 
“Mungkin kita ada cara lain untuk meneruskan projek ini”
Lihatlah kesilapan sebagai peluang untuk membuat perubahan dan berkembang dan bukannya kegagalan.


2. Berlapang hati dengan keadaan yang berselerak. Kebanyakan kita suka ruang yang bersih serta kemas dan akan berasa terganggu apabila keadaan menjadi sebaliknya. Walau bagaimanapun, apabila anak-anak sedang berkreatif, keadaan ruang yang bersepah memang tidak akan dapat dielakkan dan kita terpaksa tutup mata dan bersabar. Fikirkan tentang manfaatnya kepada anak-anak kita yang sedang belajar untuk menjadi kreatif, Kesulitan yang kita alami hanya buat sementara tetapi apa yang mereka pelajari akan kekal bersama mereka sehingga dewasa. Kita boleh menyediakan satu ruang khas di sudut atau di luar rumah untuk anak-anak berkreatif menggunakan warna atau cat air.


3. Berhati-hati apabila memuji. Kita telah banyak mendengar tentang bagaimana pujian boleh menghalang pemikiran bebas kanak-kanak. Pujian yang tidak kena caranya tidak akan memupuk motivasi intrinsik ke dalam diri mereka. Namun bukan semua pujian itu tidak baik. Setiap kali kita terdorong untuk memuji anak-anak, cubalah katakan sesuatu yang objektif.
 "Mama nampak anak mama dah boleh pakai kasut sendiri.” 
 “Ayah tahu Along benar-benar berusaha untuk menyelesaikan masalah matematik ini."


4. Berfikiran terbuka. Menawarkan pilihan kepada anak-anak adalah sebagai satu cara untuk menggalakkan pemikiran bebas. Kita mungkin tidak biasa makan nasi pada waktu pagi tetapi jika anak kita ingin makan nasi goreng sebelum pergi ke sekolah, mungkin kita boleh pertimbangkan permintaannya itu. Jika anak mahu membantu di dapur, cuba jadikan dapur kita seperti makmal sains dengan memberi kebenaran kepada anak untuk mencuba beberapa jenis bahan-bahan dan alatan dapur yang selamat dan tidak merbahaya.


5. Modelkan kreativiti. Apakah kreativiti kita? Di manakah tempat yang paling menyeronokkan untuk kita meletakkan kreativiti itu? Memasak, menyanyi, berkebun, melukis, menulis? Anak-anak yang sering melihat ibu bapa berkreativiti dalam bidang tertentu akan lebih cenderung untuk turut serta. Cuba ingatkan kembali waktu kita kecil dahulu, apakah yang paling kita suka lakukan dan apakah yang membuat kita rasa sangat bahagia di waktu itu? Mungkin kita boleh meluangkan sedikit masa untuk melakukan perkara tersebut bersama dengan anak-anak.


6. Jangan mencelah ketika anak sedang berkreativiti. Ini mungkin kelihatan sedikit bercanggah dengan kenyataan #5. Ada masanya kita boleh melakukan sesuatu aktiviti bersama mereka dan ada kalanya kita perlu juga membiarkan mereka melakukan aktiviti bersendirian supaya ada keseimbangan. Jika anak-anak merasakan bahawa ibu bapa sentiasa mengawasi,  mungkin mereka menjadi kurang cenderung untuk mengambil risiko, yang mana ini akan mengurangkan kreativiti mereka. Jika kita memberi sedikit ruang kepada mereka serta menggalakkan autonomi, In Shaa Allah kita akan dapat melihat imaginasi dan kreativiti mereka akan berkembang mekar. Misalnya, apabila kita mendapati anak-anak tenang dan khusyu’ melukis atau menulis, tahan diri daripada mencelah walaupun sekadar bertanya, “Along lukis apa?” Ini akan mengganggu konsentrasi dan menarik mereka keluar daripada alam imaginasi.


7. Luangkan masa untuk kreativiti. Ini boleh menjadi sukar, terutamanya bagi ibu bapa yang bekerja, tetapi anak-anak memerlukan masa dan bantuan kita untuk berimaginasi. Mungkin kita boleh luangkan 30 minit selepas makan malam untuk melukis sebelum ‘bedtime story’ atau satu jam bermainan permainan yang melibatkan imaginasi setiap hujung minggu. Susun jadual kita dan pastikan ada masa yang diperuntukkan untuk tujuan ini.


8. Mengurangkan masa menonton tv. Ia boleh menjadi sukar bagi sesetengah keluarga untuk mengelak daripada menonton TV sama sekali, tetapi kita masih boleh berusaha untuk mengurangkannya. Ini termasuk juga mengurangkan masa bermain dengan pelbagai ‘gadget’ terkini (seperti smartphone, ipad, tab, laptop dan sebagainya). Masa yang dihabiskan untuk menonton video atau TV atau bermain dengan ‘gadget’ itu lebih baik jika dihabiskan dengan melukis, bermain lego, puzzle atau permaianan imaginasi yang lain.


Share:

2 comments:

  1. mohon kongsi kn ya.. singgah blog http://kasihmamaaqil4.blogspot.com/

    ReplyDelete
    Replies
    1. silakan..sharing is caring. thanks for dropping by.

      Delete

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Recent Posts

Blogviews

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com