Pada suatu hari, seorang remaja berjumpa dengan saya untuk sesi kaunseling. Rutin biasanya ialah datang setiap bulan, tetapi pada pagi ini dia datang untuk berkongsi sesuatu yang tersimpan di hatinya yang dirahsiakan bertahun-tahun. Saya telah mengenali remaja ini sejak dia kecil lagi dan dia ialah seorang yang bijak, kreatif, bersemangat tinggi dan penyayang. Pada ketika saya memberikan kaunseling kepadanya, dia kelihatan seperti orang lain, tidak seperti budak yang saya kenali dulu. Kelihatan ada sesuatu yang telah mati dalam dirinya. Tiada lagi sinaran di matanya.
Dia memberitahu saya bahawa beberapa tahun kebelakangan ini keluarganya melalui waktu=waktu yang sangat getir. Bapanya menjadi mangsa keadaan dalam dua situasi, satu daripadanya ialah politik di pejabat yang akhirnya menyingkirkannya daripada jawatan tinggi dan tempat kerja. Keduanya, wujudnya orang ketiga dalam rumah tangga ibu bapanya yang telah menggoncang keharmonian sehingga hampir runtuh. Pada ketika itu, sebagai anak lelaki sulung dalam keluarga, dia mesti menjaga keluarga bersama-sama ibunya yang sentiasa tabah melakukan yang terbaik untuk memastikan keluarganya terus bersama. Bapanya kini menjadi seorang yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini, selalu marah dan mencari kesilapannya.
Pada mulanya, dia berasa cukup cekal untuk menerima semua hukuman yang tidak sepatutnya itu, kemarahan dan teriakan daripada bapanya kerana dia tahu bapanya kini di bawah pengaruh ilmu hitam. Pada suatu hari, dengan rasa marah, ayahnya memanggilnya anak tidak berguna. Ini membuatkan dirinya berasa sungguh dibenci dan tidak disayangi oleh orang yang amat dikagumi dan dihormati selama ini.
Suatu pagi yang telah memang ditakdirkan Tuhan, terjadinya suatu insiden. Pada ketika itu, dia berasa sungguh letih kerana tidak cukup tidur kerana menolong ibu bapanya mengemas barang-barang untuk berpindah sehingga lewat malam. Dia duduk sambil cuba untuk menjamah sedkit makanan kerana dia berasa sungguh letih. Bapanya turun dari tingkat atas dan terus memarahinya tanpa usul periksa kerana dia belum mengisi barang-barang ke dalam van. Dia ingin memberitahu bahawa dia seolah-olah kehabisan tenaga dan terlalu penat dan dia memerlukan sedikit sahaja masa untuk mendapatkan tenaganya semula, tetapi dia gagal bersuara kerana bapanya terus mengeluarkan kata-kata yang lebih kasar dan melukakan hati.
Bersambung....
============================
Cerita ini dipetik daripada kisah benar yang diceritakan oleh Ibu Rose @ Prof Rozieta Shaary dalam bukunya yang berjodol MEMBINA ANAK-ANAK CEMERLANG. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada kisah ini. Terimakasih saya ucapkan kepada Ibu Rose kerana telah mengizinkan saya menyalin semula kisah ini untuk dimasukkan ke blog Ibubapa Cemerlang.
Prof Rozieta Shaary ialah seorang pakar Pembangunan Modal Insan yang berpengalaman luas dalam bidang ini, terutamanya dalam membina personaliti perkasa dalam diri individu. Beliau bukan sahaja seorang jurulatih dan penulis yang dinamik dan berdaya tinggi, tetapi juga berpengalaman serta mempunyai ilmu yang luas dalam bidang ini. Oleh itu, beliau sering muncul dalam ruangan temu bual sama ada di media cetak mahupun media elektronik seperti akhbar, majalah, RTM1, RTM2, TV3, TV9 dan ASTRO. Pendekatan unik serta mesej yang dikongsikan oleh beliau sentiasa meninggalkan impak yang besar. Beliau berpegang teguh kepada perinsip ‘Kasih Sayang ialah Tenaga Yang Terkuat’ dan ini menjadi pendorong utama beliau membawa ke tengan mesej penting ini; “Saya Membawa Perbezaan Ke Dunia Ini”. Prof Rozieta juga banyak berkongsi ilmu dan idea menerusi laman FACEBOOK beliau https://www.facebook.com/familyguru
0 comments:
Post a Comment
Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.