Dia hanya mempunyai sedikit minat untuk belajar dan bersekolah. Dia tidak dapat mencari apa-apa alasan lagi. Wiranya (iaitu ayahnya) telah bertukar menjadi raksasa. Itulah yang ada dalam fikirannya. Dia merasakan dirinya sudah tidak penting dan dia tidak lagi sayang akan dirinya. Jadi apakah gunanya hidup ini?
Saya bertanya kepadanya, apakah yang mendorongnya untuk berubah. Katanya, dia tidak sampai hati lagi melihat ibunya terus bimbang melihat keadaan dirinya. Pada pendapatnya, ibunya tidak bersalah langsung dan tidak patut menanggung kesakitan melihat anaknya ini menghancurkan kehidupannya sendiri. Oleh yang demikian, dia berusaha untuk keluar daripada dunia gelapnya. Kini, dia melakukan yang terbaik untuk memperbaiki hubungan dengan bapanya. Bapanya juga telah berubah. Dia memberitahu saya, kini dia faham dengan lebih baik akan tujuan kewujudannya dalam keluarga dan dia akan terus memperbaiki dirinya. Dia juga ada memberitahu saya, “Pada saat dia mula membenarkan hatinya merasa kembali, semua perasaan datang kembali secara serentak; gembira, sedih, marah, seronok dan macam-macam lagi berbaur dan menjadi kucar-kacir di dalam hatinya.” Dia hampir sesak nafas disebabkan ledakan pelbagai emosi yang tercetus pada waktu yang sama.
Mengapakah saya menceritakan cerita sedih ini kepada anda? Tujuan saya adalah untuk berkongsi dengan anda suatu contoh yang baik bagaimana hati seseorang boleh tertutup. Apabila hati sudah tertutup, semangatnya juga menjadi lesu. Gary Smalley di dalam bukunya, ‘The Key to Your Child’s Heart’ telah menamakan keadaan ini sebagai ‘semangat yang tertutup’ (closed spirit)
Lihatlah di sekeliling kita, ramai remaja dan muda-mudi menderita kerana mengalami derita jiwa ini. Mereka merayau-rayau seperti mayat hidup. Mereka melakukan perkara yang buruk dan tidak baik kerana hati dan perasaan mereka tidak bernyawa lagi dan semangat mereka hampir mati. Lihatlah mereka dengan belas kasihan. Sekiranya anda tidak dapat menolong mereka, do’akan agar mereka mendapat pertolongan kerana anak-anak ini sedang menderita lantaran pintu hati mereka telah tertutup dan semangat mereka telah terpadam.
Tamat.
============================
Cerita ini dipetik daripada kisah benar yang diceritakan oleh Ibu Rose @ Prof Rozieta Shaary dalam bukunya yang berjodol MEMBINA ANAK-ANAK CEMERLANG. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada kisah ini. Terimakasih saya ucapkan kepada Ibu Rose kerana telah mengizinkan saya menyalin semula kisah ini untuk dimasukkan ke blog Ibubapa Cemerlang.
Prof Rozieta Shaary ialah seorang pakar Pembangunan Modal Insan yang berpengalaman luas dalam bidang ini, terutamanya dalam membina personaliti perkasa dalam diri individu. Beliau bukan sahaja seorang jurulatih dan penulis yang dinamik dan berdaya tinggi, tetapi juga berpengalaman serta mempunyai ilmu yang luas dalam bidang ini. Oleh itu, beliau sering muncul dalam ruangan temu bual sama ada di media cetak mahupun media elektronik seperti akhbar, majalah, RTM1, RTM2, TV3, TV9 dan ASTRO. Pendekatan unik serta mesej yang dikongsikan oleh beliau sentiasa meninggalkan impak yang besar. Beliau berpegang teguh kepada perinsip ‘Kasih Sayang ialah Tenaga Yang Terkuat’ dan ini menjadi pendorong utama beliau membawa ke tengan mesej penting ini; “Saya Membawa Perbezaan Ke Dunia Ini”. Prof Rozieta juga banyak berkongsi ilmu dan idea menerusi laman FACEBOOK beliau https://www.facebook.com/familyguru
Kita orang dewasa sering melihat kesalahan anak-anak itu terletak kepada diri anak-anak, hanya kerana kita lebih dahulu makan garam. Namun hanya segelintir yg dapat melihat kesalahan itu sebenarnya kepada yang pihak memandang, yang menilai, bukan yang dipandang dan bukan yang dinilai....
ReplyDelete