Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Nov 18, 2013

Kenapa anak kecil suka menjatuhkan benda?

Gambar Hiasan
Menemani anak-anak yang berusia setahun bermain kadang-kadang boleh membuatkan kita kehairanan jika kita tidak memahami perkembangan asas mereka. Anak-anak pada usia setahun suka menjatuhkan barang yang dipegang. Setelah diambilkan, barang itu akan dijatuhkan semula dan begitulah seterusnya sehingga kadang-kala kita merasa bosan kerana terpaksa berulang kali mengambil barang tersebut. 


Setiap anak kecil akan melalui fasa ini walaupun mungkin pada usia yang berbeza dan jangka masa yang berbeza. Ada anak yang melalui fasa ini dalam jangka waktu yang singkat, tetapi ada juga anak yang melalui fasa ini dengan lebih lama. Yang wajar kita waspada ialah pada usia setahun, kemampuan anak untuk menggenggam barang belum begitu baik. Untuk melatihnya, berikan anak benda-benda yang tidak merbahaya dan tidak mudah pecah.


Apakah sebenarnya yang anak-anak rasakan ketika mereka menjatuhkan barang? Apakah yang menarik minat mereka untuk melakukan perkara yang sama berulang kali sedangkan kita menjadi bosan untuk melayan?


Pada usia ini keinginan mereka untuk mengetahui tentang persekitaran adalah tinggi. Ketika anak-anak menjatuhkan barang, mereka telah menemui satu fenomena yang menarik. Di antaranya ialah deria pendengaran mereka akan mendengar bunyi benda yang jatuh. Deria penglihatan mereka pula akan melihat benda yang bergerak dari atas ke bawah. Sementara deria sentuhan mereka akan merasa benda yang dipegang ada di tangan dan kemudian terlepas dari genggaman.


Disebabkan mereka melakukan ini aktiviti berulang kali, kadang-kadang kita menjadi bosan untuk melayan. Bagi kita yang tidak memahami asas perkembangan kanak-kanak pula akan menganggap perbuatan ini sebagai satu aksi yang nakal lalu kita menghalang mereka daripada melakukannya. Sebenarnya anak-anak belajar sesuatu daripada perbuatan tersebut. Mereka melatih kemahiran menggunakan tangan dan jari. Mereka belajar mengkoordinasikan gerakan tangan, jari dan mata di mana ini penting untuk pembelajaran di tahap yang seterusnya. 


Selain daripada itu, aksi menjatuhkan barang ini dapat mengembangkan persepsi anak-anak tentang konsep ruang. Di sinilah bermulanya anak mengenali tentang posisi atau kedudukan atas dan bawah walaupun mereka masih belum mampu bercakap untuk memberitahu kita yang mana satu atas dan yang mana satu bawah.


Anak-anak juga belajar tentang hubungan di antara sebab dan akibat. Mereka belajar bahawa sesuatu yang dilakukan dapat menyebabkan sesuatu kejadian yang menyenangkan seperti ‘bunyi’ benda jatuh, kelakuan ‘lucu’ ayah atau ibu ketika bongkok mengambil benda yang dijatuhkan dan sebagainya. Oleh kerana aksi ini menyeronokkan, maka anak-anak akan cenderung untuk melakukannya berulang-ulang.


Pertama kali menjatuhkan benda, mungkin berlaku secara tidak sengaja. Namun setelah mendengar dan melihat reaksi yang dihasilkan oleh benda yang terjatuh itu, anak merasa terhibur dan kemudian mengulanginya. Selanjutnya tindakan menjatuhkan benda menjadi tindakan yang sengaja dilakukan. Ini bermakna anak-anak sudah mampu mengembangkan daya berfikir dan merancang melakukan sesuatu untuk tujuan tertentu. Dalam hal ini, menjatuhkan benda untuk mendapatkan bunyi dan melihat benda bergerak.


Setiap tahap yang dilalui oleh anak-anak akan ada manfaatnya walaupun di mata kita nampak perbuatan itu seolah-olah perbuatan yang sia-sia. Sekali pun kita rasa bosan untuk melayan, jangan sampai kita marahkan mereka kerana perbuatan tersebut. Malah lebih baik jika kita bersama dengan anak-anak untuk menikmati detik-detik itu. Inilah peluangnya untuk kita merangsang bagi memaksimakan potensi mereka. Apa yang boleh kita bantu?
  • berikan benda/mainan plastik atau yang selamat untuk dijatuhkan.
  • berikan pelbagai jenis benda yang menghasilkan bunyi yang berlainan, dengan itu anak-anak akan belajar bahawa benda yang berlainan akan menghasilkan bunyi yang berlainan.
  • ibu bapa digalakkan terlibat sama dalam aktiviti ini dengan banyak bercakap dan beri penerangan walaupun ketika itu anak belum boleh bercakap. Bercakap dan beri penerangan hendaklah dalam keadaan yang ceria dan gembira…(“Ala..bola jatuh ke bawah..”)
  • selain daripada mengajar konsep ruang, kita juga boleh mengajar nama-nama benda yang dijatuhkan oleh anak-anak. Bila disebut berulang-ulang kali, anak-anak akan dengan sendirinya dapat mengingat nama benda tersebut. Apabila dia pandai bercakap, tentu dia akan menyebut nama benda itu kelak.
  • berikan banyak benda yang selamat untuk dijatuhkan. Setelah habis semua, cara untuk menghentikan aktiviti tersebut adalah dengan mengalihkan perhatiannya kepada aktiviti lain seperti memukul-mukul tin kosong dan lain-lain. Elakkan daripada menghentikan aktiviti menjatuhkan benda begitu saja tanpa ada aktiviti lain yang mengganti.
  • ibu bapa juga boleh memberikan kembali bola yang dicampakkan anak dengan menggolek. Walaupun anak belum mampu menggolek, sekurang-kurangnya kita mengajarnya bahawa ada pelbagai aktiviti yang boleh dibuat dengan sebiji bola.
  • proses pembelajaran seharusnya tidak memberi tekanan atau rangsangan yang berlebihan. Sekiranya ternampak tanda-tanda anak keletihan, maka rangsangan hendaklah dihentikan.


Walaupun aktiviti menjatuhkan benda ini banyak manfaatnya bagi anak yang masih kecil tetapi ibu bapa harus berwaspada jika aksi ini masih lagi dominan selepas anak berusia 3 tahun (kecuali bagi anak istimewa). Jika anak yang berusia lebih 3 tahun tapi masih kerap melakukan aktiviti ini, ibu bapa harus meneliti apakah ia bertujuan untuk melepaskan kemarahan atau mahukan perhatian. Jika demikian halnya, maka sewajarnya ibu bapa segera mengatasinya. Ibu bapa perlu menenangkan anak dan menunjukkan contoh teladan yang betul untuk meluahkan rasa marah. Tentu saja bukan dengan melemparkan barang.



Share:

13 comments:

  1. Terima kasih atas artikel ini. Sangat menarik dan bermanfaat. Barakallahufik.

    ReplyDelete
  2. salam,

    memang perkara itulah yang anak saya lakukan sekarang ni.
    kekadang tu pelik jugak, habis semua benda dibuangnya. Tapi bila baca info ni barulah saya faham..
    terima kasih yer..

    ReplyDelete
  3. Anak2 memang banyak belajar melalui apa yang dia lalui sehari2...
    Mereka bereksperimen, dan melalui eksperimen itulah mereka belajar...
    Belajar mengenali benda, bunyi, bentuk, warna...

    Kita sebagai ibu bapa memang kena faham dan sabar banyak2... Memang kadang2 ada benda yang buat kita rasa nak marah tapi tula kena ingat balik bahawa otak mereka sedang berkembang dan anak2 kita anak2 yang pintar...

    Biarkan mereka meneroka dunia, daripada berikan mereka ipad utk mereka diam...

    ReplyDelete
  4. tq best artikel ni..baru tahu npe anak saya suke cmpak brg..just jgn bg die hp je..nt die baling..ade gk yg benjol ;p

    ReplyDelete
  5. Anak say buang barang dari tingkat 3 berulang kali... mcm mane pulak...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dia nak suruh anda eksesais..hehehe

      Delete
  6. Nice info..my son also suka buang n baling brg yg dia dpt..apa yg ada kt tgn, semua nk diblng..termsk hp sy..now i knw y he did tat, tq so much,

    ReplyDelete
  7. aa..betul sgt info ni..anak sy masa 12 bulan suka sgt buat mcm tu..skang 16 bulan dh boleh sebut atas bawah, sana sini, golek2..

    ReplyDelete
  8. Bgs info ni..anak sy sering buang ape saje yg di pegang n minta kita ambilkan balik then ulang lg seawal umur 6 bln..ingatkan dia terlebih aktif..

    ReplyDelete
  9. Anak saya pantang ada brg atas sofa atau katil mesti dia buang / tolak ke bwh.. remote astro da brapa kali ganti. Dia jumpa dia buang.

    ReplyDelete
  10. Im from indonesia and i feel so blessed to know this article..my 9 month baby is on this phase btw...������

    ReplyDelete

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Recent Posts

Blog Archive

Blogviews

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com