Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Nov 30, 2013

Ibu bapa ialah cermin kepada anak-anak



Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:

“ Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, masa lapang sebelum datang masa sibuk, masa senang sebelum susah, masa sihat sebelum sakit, masa muda sebelum tua, dan masa hidup sebelum datangnya maut”

Sayugia kita sedar, umur umat akhir zaman ini sepertimana sabda rasulullah dalam sebuah hadisnya ialah antara 60 hingga 70 tahun sahaja. Oleh itu marilah kita pergunakan sewajarnya umur kita yang masih ada, yang muda cara yang muda manakala yang tua sesuai dengan umur yang tua. Keadaan generasi yang akan datang banyak bergantung kepada apa yang kita perlakukan pada hari ini.


Bagi mereka yang mempunyai anak-anak terutama yang masih kecil, marilah kita isikan umur mereka dengan membina asas yang kukuh yang diperlukan untuk hidup bagi tempoh masa sekurang-kurangnya lima puluh tahun yang akan datang. Bila sampai waktu itu sebahagian dari kita sudah pasti tiada bersama kerana tiada siapa yang boleh menongkat dunia selama-lamanya.


Kalau kita telah berusaha memberi didikan yang baik untuk anak-anak kita, maka bolehlah berharap dan berdoa agar Allah kurniakan kebaikan kepada mereka, berdoa tanpa berusaha tidak menjamin apa-apa.


Firman Allah dalam Al-Quran,
  1. “ Sesungguhnya tidak akan mendapat seseorang itu melainkan sekadar usahanya”
  2. “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri berusaha mengubahnya”


Dalam banyak perkara terutama waktu masih kecil, anak-anak kita tidak faham apa yang kita perbuat atau perkatakan, tetapi kebolehan mereka untuk mendengar dan melihat, banyak mempengaruhi cara berfikir dalam pembentukan tingkahlaku mereka pada masa hadapan atau bila diwasa nanti.


Disamping itu kita hendaklah sentiasa berusaha menjaga makan minum serta pakaian dari perkara-perkara yang meragukan.. Adalah dituntut memperbanyakkan selawat sewaktu menyediakan makanan dan minuman agar kita mendapat keberkatannya.

Di sini diperturunkan ( sekadar contoh ) beberapa perkara yang dianjurkan oleh Islam.

Sewaktu dalam kandungan

  1. Suami dan isteri bergaullah secara Islam, pakaian , percakapan dan sebagainya.
  2. Banyak memperdengarkan bacaan Al-Quran sejak dari dalam kandungan terutama selepas tiga atau empat bulan iaitu bila roh telah ditiupkan ke jasadnya. Dianjurkan supaya ibu dan bapa membaca sendiri Al-Quran bukan dengan memperdengarkan kaset atau sebagainya, kemerduan suara ibubapa akan diingati sampai bila-bila.
  3. Ibu-ibu yang mengandung perlu mengelakkan mengunjungi tempat-tempat terlarang atau berlama ditempatnya.
  4. Ibubapa sentiasa melakukan perkara atau amalan yang baik dan menjauhi perkara-perkara dosa dan mungkar.
  5. Sentiasa harmoni sesama suami-isteri, bertutur dengan sopan dalam semua perkara terutama bila kandungan sudah sampai waktu boleh mendengar.

Sewaktu bayi atau kanak-kanak

  1. Mengazankan dan mengiqamatkan sewaktu anak atau anak-anak dilahirkan.
  2. Mendodoikan dan menidurkan mereka dengan bacaan Al-Quran atau sekurang-kurangnya dengan perkara yang dibenarkan Islam.
  3. Berselawat dan mengusap ubun-ubunnya serta sentiasa berdoa kebaikan untuknya.
  4. Banyak membaca Surah Al Insyiraah sewaktu menidurkannya dan bila-bila sahaja kita berpeluang bersama dengannya.
  5. Bila kepergian samaada sendirian atau berkeluarga , usahakan supaya kita pulang ke rumah tanpa melewati waktu maghrib.
  6. Memelihara penglihatan dan pendengaran mereka dari perkara-perkara yang melalaikan dan perkara-perkara seumpamanya.
  7. Bila umur meningkat, dekatkan mereka dengan Al-Quran secara perlahan-lahan. Adalah suatu yang amat dituntut ibubapa sendiri mengajar mereka bukan dengan menyerahkan tugas itu kepada orang lain. Kalaupun tak dapat selalu, sekali sekala bacalah bersama mereka.
  8. Solat berjemaah, jika tidak dapat selalu buatlah sekerap mungkin. Bawalah anak-anak mengunjungi tempat-tempat ibadat Islam dan di mana yang sesuai buatlah ibadat berjemaah serta jangan lupa berdoa bersama mereka..
  9. Sekali sekala bawa anak-anak menziarahi orang yang menjadi sahabat atau jiran kita atau ibubapa kita. Mengekalkan silaturrahim sebegini amatlah dituntut oleh Islam.
  10. Elakkan mengunjungi tempat-tempat yang tidak dianjurkan agama Islam.
  11. Tunjukkan sikap toleransi antara ibubapa dalam apa perkara sekalipun dan jangan sekali-kali meninggikan suara terutama ibu kerana pengaruh ibu cukup kuat dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Sentiasa berusaha menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.
  12. Sebanyak mungkin amalkan makan bersama demi mengelakkan sikap individualistik dan dalam waktu yang sama tidak membazir serta dapat menjimatkan makanan
  13. Bila memasuki alam persekolahan eloklah dimulakan dengan pendidikan secara Islam.
  14. Sentiasa memberi nasihat supaya menjaga tingkahlaku dan adab sopan.
  15. Sebelum melepaskan mereka keluar rumah, usaplah kepala anak-anak dengan doa yang baik-baik dan berpesan supaya berhati-hati dalam semua perkara, jika masih belajar, doakan supaya sentiasa rajin dan istiqamah dalam pelajaran mereka.
  16. Banyakkan solat tahajjud dan seumpamanya dan pohonlah Redha Allah terhadap apa yang kita kerjakan.

Walaupun kini kita sedia maklum, kebanyakan kita tidak mampu untuk melakukan semua perkara-perkara tersebut kerana terlalu sibuk dengan urusan harian, tetapi kita kena ingat, usaha yang baik atau kelalaian pada hari ini akan hanya dapat dilihat kesannya sepuluh atau lima belas tahun kemudian, bila anak-anak itu dewasa nanti. Waktu itu nasi sudah menjadi bubur dan kita tidak berupaya berbuat apa-apa lagi.


Dalam melakukan sebarang tindakan, kadang-kadang kita tersilap memberi keutamaan. Apa yang kita lakukan adakah semuanya mengikut landasan yang dibenarkan Islam. Kadang-kadang kerana terlalu sibuk kita terlupa bahawa anak kita tidak pergi ke sekolah. Kita terlupa mengadakan keperluan mereka. Kita juga tidak pernah menyiasat dengan siapa mereka berkawan. Kita juga ada masanya tidak sedar mereka tidak sampai ke sekolah, atau lewat pulang ke rumah kerana melencong ke tempat lain. Juga kita tidak tahu adakah mereka solat atau berpuasa secukupnya dan lain-lain lagi.


Sesungguhnya sebahagian besar kelakuan anak-anak adalah cermin kepada kehidupan kita masa lalu.
Mari kita lihat sekadar beberapa contoh cara hidup ibubapa yang negatif dan tidak baik yang boleh mempengaruhi perangai anak-anak kemudian hari nanti.

  1. Pakaian yang tidak kemas dan ambil mudah tentang aurat
  2. Tiada perasaan hormat dan bercakap kasar antara suami isteri, lebih malang kalau sampai ke peringkat bertengkar, bergaduh atau sebagainya. Anak-anak akan terbiasa dengan keadaan begitu.
  3. Tidak berbahasa secara lembut, tidak ada panggilan sopan satu sama lain, hanya memanggil dengan nama sahaja. Dalam susunan ahli keluarga sepatutnya ada status quo supaya ada rasa hormat antara yang muda dengan yang tua dan sebaliknya.
  4. Cucu melihat sikap ibubapa yang tidak hormat pada datuk dan nenek atau mengabaikan mereka.
  5. Tidak menghormati waktu solat atau suka melewatkannya.
  6. Suka keluar malam tanpa urusan atau suka pulang lewat.
  7. Tidak tertib sewaktu makan iaitu gopoh dan tidak berdoa atau terdapat makanan yang tidak halal, tidak baik atau meragukan..
  8. Suka pergi ke tempat-tempat yang tidak sesuai
  9. Boros berbelanja dan sentiasa akur sahaja kemahuan anak-anak. Walaupun ianya penting, kadang-kadang perlu dilewatkan sedikit supaya anak-anak tahu bahawa kita berhati-hati dalam mengawal perbelanjaan.
  10. Tidak berhati-hati dalam memilih kawan dan tidak menjaga batas pergaulan.
  11. Suka berahsia walaupun perkara tersebut perlu dikongsi bersama, manakala pada waktu yang lain celupar sedangkan ia sepatutnya menjadi rahsia.
  12. Ibu atau bapa mempertahankan anak-anak walaupun mereka melakukan kesalahan.
  13. Tidak mengambil berat jiran yang sakit atau meninggal dunia. Tidak menziarahi jiran yang sakit, tidak berdoa untuknya atau tidak menyembahyangkan jenazah walaupun kita ada kelapangan.
  14. Kedekut untuk bersedekah atau selalu mengungkit-ungkit berkaitannya.

Cukuplah sekadar beberapa contoh untuk kita fikirkan dan ambil tindakan memperbaikinya. Kita boleh mendapat banyak lagi perkara yang boleh membantu menyemarakkan syiar Islam dengan terdapatnya banyak buku-buku agama dan kitab-kitab di pasaran.


Marilah sama-sama kita berusaha selagi mempunyai masa lapang, badan masih sihat, umur masih muda, semasa masih ada harta dan tentunya sebelum maut mendatangi kita. Apabila telah berusaha bolehlah kita berdoa dan berharap yang terbaik untuk anak-anak atau ahli keluarga supaya generasi yang akan datang tidak mencaci atau memperlecehkan kita. Kita hanya berusaha dan Allah sahajalah penentu segala sesuatu.


Sebagai penutup catatan kali ini, mari kita renungkan maksud dari beberapa Firman Allah dalam Al-Quran.
1. “ Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka ‘’
2. “ Neraka itu antara bahan bakarnya adalah manusia ”


====================
Ditulis oleh Md Zainal MZD


Share:

0 comments:

Post a Comment

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Recent Posts

Blog Archive

Blogviews

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com