Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Nov 5, 2013

Guru besar yang bijak

Gambar hiasan

Kejadian berlaku di satu kelas di sebuah sekolah menengah. Guru yang bertugas mengajar di kelas tersebut tidak dapat hadir disebabkan sakit. Kelas tersebut menjadi bising dan tidak terkawal. Terjadi satu pergaduhan di antara dua orang murid lelaki di kelas tersebut. Murid-murid lain menjadi penonton sambil memberi tepuk sorak. Tiba-tiba seorang guru muncul di muka pintu kelas. Semua murid yang tadinya bising spontan menjadi kaku. Guru tersebut meleraikan pergaduhan sambil mencatitkan nama dua orang murid yang bergaduh, kemudian berlalu pergi. Keadaan kelas menjadi tenang. Tidak lama kemudian, muncul guru besar di muka pintu kelas.

“Radzi, nanti lepas sekolah sebelum balik, datang ke bilik saya”

Semua murid terdiam dan memandang ke arah Radzi sedangkan Radzi menjadi gementar dan wajahnya pucat lesi.

“Baik cikgu” kata Radzi dengan suara yang menggeletar.

“Habis la aku kena rotan dengan cikgu besar sebab pergaduhan tadi” hati kecil Radzi berkata-kata.

Selepas habis sekolah, seperti yang dijanjikan, Radzi pergi ke bilik guru besar. Dia mengetuk pintu bilik itu perlahan-lahan. Jantungnya berdegup kencang dan peluh dingin memercik di dahinya.

“Masuk” terdengar suara guru besar dari dalam.

Radzi pun masuk. Dengan takut-takut, dia berdiri di hadapan meja yang bertentangan dengan guru besar tersebut. Dia menundukkan kepalanya. Inilah kali pertama dia masuk ke bilik itu.

“Duduklah Radzi. Kamu sudah tentu boleh meneka kenapa cikgu memanggil kamu ke sini kan? Tentu ia berkaitan dengan pergaduhan kamu tadi” kata guru besar sambil memandang wajah Radzi. Radzi hanya menganggukkan kepalanya.

“Kamu telah melanggar peraturan sekolah yang melarang murid-murid bergaduh sesama sendiri di dalam kawasan sekolah apalagi di dalam kelas. Tetapi ada beberapa perkara yang cikgu ingin sampaikan berkaitan dengan kelakuan kamu. Pertama, cikgu berbesar hati kerana kamu datang ke sini pada waktu yang ditetapkan, itu menunjukkan kamu adalah seorang murid yang berdisiplin.” 

Guru besar membuka lacinya dan mengambil sebatang pen lalu meletakkannya di atas meja.

“Kedua, cikgu menghargai kedatangan kamu di saat ini. Itu bererti kamu menghargai cikgu sebagai guru dan sebagai guru besar di sekolah ini. Kamu adalah seorang murid yang berjiwa besar dan bertanggung jawab. Betul begitu kan Radzi?”

Radzi mengangguk kepalanya dalam diam. Guru besar mengambil sebatang pen lagi dari dalam lacinya dan meletakkannya di atas meja.

“Cikgu telah bercakap dan berbincang dengan guru yang meleraikan pergaduhan kamu tadi dan mendengar daripada beberapa orang kawan sekelas kamu. Kamu bergaduh dengan Azmi karena membela seorang murid perempuan yang diejek oleh Azmi. Benar begitu bukan? Cikgu tabik kamu. Itu tandanya kamu adalah seorang yang gentleman, seorang laki-laki sejati. Tapi kamu harus ingat, bergaduh bukanlah pilihan yang bijak untuk menyelesaikan masalah. Kamu harus menjadi lebih bijak dalam membuat tindakan, bukan dengan bergaduh seperti tadi.”

Guru besar tersebut meletakkan sebatang pen lagi di atas meja.

“Terakhir yang ingin cikgu katakan ialah karakter positif yang telah kamu tunjukkan hari ini harus dipertahankan dan dikembangkan di masa depan. Cikgu yakin kamu akan berubah dan akan maju di kemudian hari. Belajarlah sesuatu yang baik daripada apa yang berlaku pada hari ini.” 

Sambil tersenyum,  guru besar menambahkan sebatang pen lagi di atas meja dan menghulurkan pen-pen tersebut ke arah Radzi. 

“Ambillah pen-pen ini sebagai hadiah dan kenang-kenangan dari cikgu. Letakkan di tempat yang senang kamu lihat. Setiap kali kamu terpandang pen-pen ini, kamu akan ingat segala yang cikgu katakan kepada kamu pada hari ini.”

Radzi yang pada awalnya takut dan bimbang akan mendapat hukuman rotan, sebaliknya tidak menyangka sama sekali akan mendapat “penghargaan” daripada guru besar sekolahnya. Dia mengangguk-angguk kepala sambil tersenyum lega. 

“Terima kasih, cikgu. Saya sangat terkejut. Cikgu tidak menghukum saya bahkan memuji dan menghargai saya. Saya berjanji akan berubah dan akan lebih rajin belajar untuk masa depan saya sendiri.”


Renungan :

Betapa pentingnya nilai budi pekerti ditanamkan kepada anak-anak sejak mereka masih kecil lagi. Kadang-kadang mereka melakukan kesalahan dan kesilapan tetapi kalau kita asyik tangani mereka dengan kekerasan dan hukuman tanpa diberi penjelasan dan pengertian yang baik, tentu akan memberi kesan yang negatif terhadap perkembangan mental dan emosi mereka seperti sakit hati, dendam, benci, tertekan, putus asa dan lain-lain lagi. Namun apabila kita mampu memberikan penjelasan, itu akan mendidik mereka menjadi seorang yang baik budi pekertinya, sekalipun ada hukuman, tetapi nilainya akan berbeza. Harga diri dan kepercayaan diri anak-anak tetap terjaga dan sangat positif untuk pertumbuhan mereka seterusnya.




Share:

0 comments:

Post a Comment

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Recent Posts

Blog Archive

Blogviews

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com