Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Nov 22, 2013

Bila Tertutupnya Hati, Tertutuplah Semangat #2



Bila Tertutupnya Hati, Tertutuplah Semangat #1


Dia menggagahkan diri mengangkat peralatan letrik yang paling ringan yang dapat dicapainya sebagai pengisi masa sebelum ibunya datang sebagai penyelamat. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja beliau mengangkat barang-barang itu ke dalam van, bapanya terus berleter dan melontarkan kata-kata cacian, pedih, kasar dan menghancurkan hatinya. Dia tidak dapat mengawal ledakan emosinya lalu longlai dan hampir terjatuh ke atas simen yang masih sejuk. Dia berteriak memanggil ibunya dengan sekuat hati untuk mengharapkan pembelaan. Ibunya menerkam ke arahnya dengan sepantas kilat dan berjaya menyambutnya sebelum dia tersembam ke lantai. Betapa hiba hati ibunya kerana ayahnya tidak mahu melihat begitu bertanggungjawabnya anak mereka ini kerana dalam keadaan runcing begitu pun, dia masih memegang erat set perakam video di tangannya kerana takut alat tersebut akan rosak, sedangkan dirinya sendiri sudah jatuh terkulai.


Dia masih ingat betapa ibunya terus menyerang bapanya dengan kata-kata umpama seekor ibu singa yang marah demi melindungi anak-anaknya, membuatkan bapanya diam terpaku. Lalu ibunya menarik dirinya ke dalam rumah lalu memandangnya dengan perasaan penuh kasih sayang. Ibunya memeluknya lalu berkata, “Ibu tahu, kamu dalam ‘kesakitan’ yang teramat sangat. Ibu tahu dalam hati kamu, kamu rasa tidak disayangi. Namun, sekiranya kamu melakukan sesuatu yang buruk terhadap diri kamu, ingatlah, ibu sayangkan kamu. Ibu perlukan kamu di dalam hidup ibu. Ingatlah, genggam kasih sayang ibu kepada kamu. Sekiranya kamu tidak dapat menyayangi ibu, tak apa, tetapi peganglah kasih sayang ibu untuk kamu ini dengan erat.”


Dengan linangan air mata dia menceritakan kepada saya, pada hari itu dia hampir-hampir mengakhiri hidupnya, tetapi kata-kata ibunya yang meminta dia mendakap erat kasih ibunya itu terus terngiang-ngiang di telinganya dan itulah satu-satunya yang menongkat semangat dirinya selama bertahun-tahun. Sejak insiden itu, dia tidak lagi merasai kasih walaupun kepada dirinya sendiri. Pada masa yang sama, kepercayaannya yang kuat terhadap agama Islam berjaya menyekatnya daripada mengambil nyawanya sendiri. Namun begitu, tahun demi tahun dia menjadi lebih parah dan menjadi seperti mayat hidup (zombie). Dia masih ingat bagaimana dia menutup hatinya daripada merasai apa-apa supaya dia tidak lagi perlu berasa sakit yang tidak tertanggung oleh dirinya; bermula ketika runtuhnya hubungan baik dengan bapanya sendiri. Dengan menutup hatinya sebegitu merupakan satu-satunya cara dia boleh meneruskan kehidupan, walaupun dengan hanya menjadi mayat hidup.


Semenjak itu, dia tidak merasa apa-apa perasaan di hatinya. Dia tidak dapat merasakan keseronokan maupun kesedihan, kegembiraan maupun kesakitan, marah atau apa-apa sahaja perasaan. Hati dan perasaannya seolah-olah berhenti berfungsi. Dia dapati tingkah lakunya terhadap orang lain menjadi bertambah teruk dan perkara yang melukakan hatinya ialah dia sangat sayang akan adik perempuannya, tetapi di luar kemahuannya dia sering menyakiti hati adiknya. Kadangkala dia bertengkar dan bersikap buruk terhadap adiknya itu. Dia merasakan seolah-olah  ada sesuatu yang menyokong dirinya untuk menyakiti orang lain. Hal inilah yang membuatkan dia lebih mengutuk dirinya sendiri


Bersambung…


============================
Cerita ini dipetik daripada kisah benar yang diceritakan oleh Ibu Rose @ Prof Rozieta Shaary dalam bukunya yang berjodol MEMBINA ANAK-ANAK CEMERLANG. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada kisah ini. Terimakasih saya ucapkan kepada Ibu Rose kerana telah mengizinkan saya menyalin semula kisah ini untuk dimasukkan ke blog Ibubapa Cemerlang. 



Prof Rozieta Shaary ialah seorang pakar Pembangunan Modal Insan yang berpengalaman luas dalam bidang ini, terutamanya dalam membina personaliti perkasa dalam diri individu. Beliau bukan sahaja seorang jurulatih dan penulis yang dinamik dan berdaya tinggi, tetapi juga berpengalaman serta mempunyai ilmu yang luas dalam bidang ini. Oleh itu, beliau sering muncul dalam ruangan temu bual sama ada di media cetak mahupun media elektronik seperti akhbar, majalah, RTM1, RTM2, TV3, TV9 dan ASTRO. Pendekatan unik serta mesej yang dikongsikan oleh beliau sentiasa meninggalkan impak yang besar. Beliau berpegang teguh kepada perinsip ‘Kasih Sayang ialah Tenaga Yang Terkuat’ dan ini menjadi pendorong utama beliau membawa ke tengan mesej penting ini; “Saya Membawa Perbezaan Ke Dunia Ini”. Prof Rozieta juga banyak berkongsi ilmu dan idea menerusi laman FACEBOOK beliau https://www.facebook.com/familyguru


Share:

2 comments:

  1. Baru baca sikit dah seronok untuk memilikinya. Berlinang airmata...saya mesti cari buku ni.

    ReplyDelete
  2. Baru baca sikit dah seronok untuk memilikinya. Berlinang airmata...saya mesti cari buku ni.

    ReplyDelete

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Recent Posts

Blog Archive

Blogviews

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com